Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyeru pada PETRONAS untuk menarik balik semua pelaburan dan menghentikan segala operasinya di negara Myanmar. Seruan ini telah dibuat dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 6 April 2021, untuk menggesa syarikat milik sepenuh Kerajaan Malaysia tersebut supaya berhenti membiayai rejim tentera Myanmar yang zalim dengan menghentikan operasi di negara itu.

PETRONAS mengumumkan baru-baru ini bahawa operasi pengeluarannya diberhentikan untuk sementara waktu ini di lapangan Yetagun berikutan pengumuman “force majeure” (keadaan memaksa) pada 1 April 2021 oleh anak syarikatnya, PC Myanmar (Hong Kong) Limited (PCML), kerana kadar pengeluaran gas di lapangan itu telah menurun ke bawah ambang teknikal untuk loji pemprosesan gas di luar pesisir itu. Namu, pihak syarikat PETRONAS menyatakan bahawa ia “kekal berkomited kepada projeknya di Yetagun dan sedang mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memulihkan pengeluaran secepat mungkin”. Ini jelas menunjukkan bahawa PETRONAS cuba berurusan seperti biasa dengan tidak mempedulikan langsung krisis teruk yang sedang melanda negara Myanmar pada ketika ini, dengan ratusan orang telah dibunuh oleh pihak pemerintah tentera Myanmar sejak rampasan kuasa tentera pada 1 Februari 2021.

Menurut perangkaan yang dikemukakan oleh Persatuan Bantuan Tahanan Politik (AAPP), sebuah organisasi hak asasi manusia yang beribupejabat di Thailand dan Myanmar, setakat 9 April 2021, adalah disahkan bahawa sebanyak 618 orang telah dibunuh oleh rejim tentera Myanmar dalam tempoh lebih 2 bulan yang lalu, sementara seramai 2931 orang berada dalam tahanan, termasuklah ahli-ahli parlimen, wartawan-wartawan, anak-anak muda, pekerja-pekerja dan warga-warga umum di Myanmar yang hanya berprotes untuk mempertahankan demokrasi dan melawan rejim tentera yang zalim.

“Untuk sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia untuk meneruskan pelaburan dan operasinya di Myanmar pada masa sekarang, bukan sahaja satu pengiktirafan kepada rejim tentera yang haram dan kejam di Myanmar, malah juga sedang membiayai tindakan zalim pemerintah tentera yang membunuh rakyatnya. Ini harus diberhentikan serta-merta,” katanya kenyataan yang dikeluarkan oleh Choo Chon Kai, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM merangkap Penyelaras Biro Antarabangsa PSM.

PSM menyeru pada Kerajaan Malaysia supaya mengambil tindakan segera untuk mengarahkan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan di bawahnya untuk menghentikan segala kerjasama dengan pihak tentera Myanmar, dan menarik balik semua pelaburan dari negara itu, demi berhenti membekalkan bantuan hayat kepada rejim tentera yang gila membunuh.

Kenyataan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 19 Mac 2021 yang menyeru pada rejim tentera Myanmar untuk “mengubah haluannya, dan memilih satu jalan menuju penyelesaian secara aman”, adalah tidak mencukupi jika tiadanya tindakan tegas daripada Kerajaan Malaysia terhadap rejim tentera Myanmar yang sedang mengganas terhadap rakyatnya. “Kerajaan Malaysia harus membawa mesej yang kuat melalui pemutusan kerjasama ketenteraan dan ekonomi dengan pemerintah tentera Myanmar serta-merta. Ini termasuklah kerjasama seperti penghantaran pulang warga migran Myanmar dengan menggunakan kapal perang tidak harus berlaku lagi!” tegas kenyataan PSM.

PSM juga menegaskan pendiriannya yang bersolidariti dengan rakyat Myanmar yang sedang berani berjuang untuk melawan rejim kudeta tentera dan menegakkan demokrasi di negara itu.

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s