(foto oleh Joseph Odelyn / AP Photo)

Gelombang protes yang baharu tercetus di Haiti sejak 10 Januari 2021, untuk menentang kerajaan pimpinan Presiden Jovenel Moïse yang mendapat sokongan daripada kuasa imperialis Amerika Syarikat (AS). Ribuan warga awam, pelajar, pekerja, anggota gerakan sosial dan parti politik pembangkang telah bermobilisasi di seluruh negara itu untuk melawan cubaan Presiden Jovenel Moïse memegang pada kuasa pemerintahan.

Jovenel Moïse yang mengamalkan dasar ekonomi neoliberal sehingga mendatangkan kesusahan teruk kepada kehidupan rakyat Haiti, cuba untuk melanjutkan tempoh kepresidenannya sehingga bulan Februari 2022, tetapi tidak dipersetujui oleh rakyat Haiti yang telah berprotes untuk mendesak perletakan jawatannya sejak tahun 2018. Tempoh perlantikan Jovenel Moïse sebagai Presiden Haiti sepatutnya tamat pada 7 Februari 2021 mengikut ketetapan Perlembagaan Haiti, tetapi Jovenel Moïse telah cuba melanjutkannya untuk setahun lagi. Jovenel Moïse merancang untuk mengadakan pilihanraya pada bulan September 2021, tetapi rakyat yang berprotes menuntut perletakan jawatannya serta-merta dan menubuhkan sebuah kerajaan peralihan untuk tempoh tiga tahun supaya mengaturkan pilihanraya umum.

Rakyat Haiti yang berprotes juga menolak keputusan Jovenel Moïse untuk mengadakan satu referendum yang bertujuan untuk menggantikan perlembagaan yang wujud sekarang. Perlembagaan Haiti yang wujud sekarang merupakan hasil pencapaian utama bagi gerakan demokratik di Haiti pada tahun 1986.

Jovenel Moïse bukan sahaja enggan meletak jawatannya sebagai Presiden, malah mengerahkan pasukan keselamatan untuk mematahkan aksi demonstrasi rakyat di bandar-bandar utama. Polis Haiti telah menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan demonstran jalanan. Pada 7 Februari 2021, iaitu sepatutnya hari terakhir untuk Jovenel Moïse berkuasa sebagai Presiden, pihak berkuasa Haiti mendakwa bahawa mereka telah mendedahkan rancangan kudeta yang bertujuan untuk menjatuhkan Kerajaan Jovenel Moïse. Penangkapan besar-besaran dilancarkan, dengan hakim Mahkamah Agung dan pegawai polis kanan turut ditangkap.

Sejak bulan Julai 2018, rakyat Haiti telah bermobilisasi secara berterusan untuk melawan rejim Jovenel Moïse yang mengamalkan dasar ekonomi neoliberal dan dicemari dengan gejala rasuah yang serius. Dasar ekonomi neoliberal yang diamalkan oleh Jovenel Moïse telah mendatangkan krisis sosial, politik dan ekonomi yang mendalam kepada negara Haiti. Jovenel Moïse dan pegawai-pegawai kerajaannya telah dituduh menggelapkan wang sebanyak USD3.8 bilion daripada dana Petrocaribe Venezuela. Langkah-langkah penjimatan yang diperkenalkan oleh Kerajaan Jovenel Moïse, selaras dengan kehendak Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), telah mengakibatkan majoriti rakyat Haiti terus hidup dalam kemiskinan.

(foto oleh Valerie Baeriswyl / Agence France-Presse / Getty Images)

Ramai rakyat Haiti berprotes kerana kekurangan makanan, kekurangan bekalan bahan api, kenaikan harga barangan dan korupsi yang berleluasa. Gelombang protes yang melanda pada bulan September dan Oktober 2020, berkisar pada ketidakpuasan hati rakyat terhadap respon kerajaan dalam krisis pandemik koronavirus yang gagal melindungi rakyat biasa. Ramai orang marah kerana kerajaan tidak memberi bantuan yang mencukupi kepada mereka yang hilang kerja kerana penularan wabak.

Gelombang protes yang terbaru juga mengecam keganasan yang semakin meningkat, termasuk kes penculikan oleh geng-geng jenayah yang bertujuan untuk memeras ugut wang. Ramai mangsa kepada keganasan jenayah geng ini ialah mereka yang juga merupakan golongan bawahan yang miskin. Banyak sekolah ditutup bukan kerana mencegah COVID-19, tetapi untuk melindungi pelajar-pelajar dan guru-guru daripada ancaman penculikan yang sudah menghantui negara itu sejak setahun yang lalu. Banyak keluarga di Haiti sedang berpindah ke negara jiran, Republik Dominica, untuk melarikan diri daripada ketidakjaminan hidup yang semakin hebat di Haiti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *