(sumber gambar: UNICEF Malaysia)

Penularan wabak COVID-19 telah membawa impak yang besar kepada kehidupan masyarakat kita, dan yang paling terjejas ialah golongan berpendapatan rendah. Sebuah kajian yang dilakukan secara bersama oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFPA) mendapati bahawa keadaan sosio-ekonomi separuh daripada isi rumah berpendapatan rendah di Kuala Lumpur terus merosot kerana impak daripada pandemik COVID-19 dengan kadar pengangguran berlipat ganda. Jika keluarga miskin di kawasan bandar ibu negara kita sudah pun menghadapi masalah yang serius, apatah lagi dengan keluarga miskin yang tinggal di kawasan bandar dan luar bandar yang lain?

Sejak bulan Mei 2020, UNICEF dan UNFPA mengadakan projek kajian yang bertajuk “Keluarga-keluarga di Pinggiran” (Families on the Edge) untuk meninjau kesan krisis pandemik COVID-19 ke atas wanita dan kanak-kanak dalam keluarga berpendapatan rendah di kawasan bandar di Malaysia. Dua laporan telah diterbitkan sebelum ini, dan bahagian ketiga laporan kajian ini diterbitkan pada 8 Februari 2021.

Bahagian pertama kajian ini yang diterbitkan pada 24 Ogos 2020, menganalisis kesan sosio-ekonomi COVID-19 yang awal, dengan memfokus pada tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara 18 Mac 2020 hingga 3 Mei 2020, dan juga kerelevanan, kecukupan dan kebolehcapaian dasar pengurangan impak COVID-19 yang utama serta perkhidmatan sosial yang penting untuk kumpulan-kumpulan rentan. Bahagian kedua kajian ini yang diterbitkan pada 29 Oktober 2020 pula meninjau sejauh mana keluarga-keluarga miskin di kawan bandar berpulih selepas tamatnya tempoh PKP pada 4 Mei 2020, sementara menganalisis lebih mendalam tentang pengalaman kanak-kanak, ibu-ibu tunggal dan isi-isi rumah yang terkesan oleh ketidakupayaan dan penyakit kronik.

Bahagian ketiga kajian “Keluarga-keluarga di Pinggiran” terus menjejak kesan daripada krisis COVID-19 ke atas keluarga-keluarga berpendapatan rendah di kawasan bandar, dengan memfokus pada perubahan petunjuk sosio-ekonomi yang penting sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (14 Oktober 2020 – 23 Disember 2020). Ketidakjaminan pekerjaan dalam kalangan isi rumah yang diketuai wanita telah diberi penekanan khusus dalam kajian ini. Sementara itu, kajian ini juga meninjau secara mendalam tekanan kewangan yang dialami oleh isi-isi rumah berpendapat rendah, khususnya untuk ibu-ibu tunggal, golongan kurang upaya dan mereka yang berpenyakit kronik. Pengkaji dalam projek ini telah menemuramah 500 orang ketua keluarga dengan persoalan yang memfokus pada situasi kewangan mereka.  

Kajian “Keluarga-keluarga di Pinggiran” mendapati bahawa pemulihan kehidupan ekonomi isi-isi rumah yang terkesan oleh krisis pandemik COVID-19 adalah tidak seimbang. Banyak isi rumah yang berpendapatan rendah masih belum berpulih semula ke tahap sebelum krisis, malah banyak yang mengalami keadaan yang lebih teruk lagi.

Dr Rashed Mustafa Sarwar, Wakil UNICEF di Malaysia, berkata, “Data yang terbaru daripada laporan ‘Keluarga-keluarga di Pinggiran’ menunjukkan bahawa pada ketika sesetengah keluarga mula berpulih, keadaan keluarga-keluarga yang lain terus merosot, dan menghampiri takat putus pada awal pelaksanaan PKP 2.0. Kita perlu membayangkan semula perlindungan sosial untuk golongan yang paling rentan di Malaysia, termasuk melalui perluasan sokongan pendapatan untuk keluarga-keluarga berpendapatan rendah, peruntukan sokongan sara hidup yang bersasar, khususnya untuk golongan yang kerja sendiri. Kami telah memanjangkan sokongan kami kepada kerajaan dan berharap untuk bekerjasama demi memperkukuhkan dasar-dasar dan program-program bagi keluarga-keluarga yang memerlukannya.”

Menurut laporan kajian “Keluarga-keluarga di Pinggiran”, didapati bahawa kadar pengangguran dalam kalangan ketua isi rumah berlipat ganda dari 7% kepada 15% dalam tempoh tiga bulan dari September 2020 hingga Disember 2020. 1 daripada 3 orang dewasa dalam isi rumah yang disoal selidik masih menganggur. Walaupun pendapatan isi rumah median secara keseluruhannya telah pulih semula ke tahap sebelum krisis, tetapi 46% atau 1 daripada 2 isi rumah yang disoal selidik dalam kajian ini belum lagi berpulih semula kepada tahap sebelum krisis. Pendapatan isi rumah median untuk keluarga yang diketuai oleh wanita dan orang kurang upaya adalah masing-masing 24% dan 36% lebih rendah berbanding tahap sebelum krisis (pada penghujung tahun 2019). Pendapatan dalam kalangan isi rumah yang diketuai wanita dan isi rumah yang diketuai orang kurang upaya menurun sebanyak 20% dan 31% masing-masing sejak bulan September 2020.

Pengurangan pendapatan yang berterusan yang dialami oleh sebahagian besar keluarga-keluarga yang disoal selidik dalam kajian ini, mendatangkan masalah kemiskinan yang berkekalan dalam kalangan kumpulan masyarakat berpendapatan rendah ini. Kadar kemiskinan dalam kalangan keluarga yang disoal selidik dalam kajian ini ialah 42% pada bulan Disember 2020, dengan kadar yang lebih tinggi dalam kalangan isi rumah yang diketuai oleh orang kurang upaya (55%) dan keluarga yang diketuai oleh wanita (61%). Lebih-lebih lagi, banyak keluarga yang berpendapatan hanya sekadar melepasi garis kemiskinan rasmi sedang menghadapi kesukaran untuk memenuhi keperluan asas mereka.

Najib Assifi, Wakil UNFPA di Malaysia, berkata, “Dinamik sosial keluarga-keluarga di pinggiran ini sedang berubah kerana mereka sedang mencuba sedaya upaya untuk menyesuaikan diri dengan keadaan ekonomi yang semakin teruk. Dengan perasaan pesimis yang meningkat sehingga memburukkan lagi masalah kesihatan mental, ia mula membentuk persekitaran hidup yang tidak sihat, secara psikologi dan kadang-kadang secara fizikal. Tiada sesiapa yang lebih terkesan berbanding kanak-kanak, mereka yang berpenyakit kronik, orang kurang upaya dan sudah tentu juga golongan yang menjaga mereka.”

Kajian “Keluarga-keluarga di Pinggiran” juga mendedahkan bahawa 7 daripada 10 (70%) keluarga yang disoal selidik tidak mempunyai simpanan wang, khususnya dalam kalangan isi rumah yang diketuai orang kurang upaya (83%) dan keluarga yang diketuai oleh wanita (80%). 3 daripada 5 (63%) ketua keluarga yang ditemuramah mengatakan bahawa mereka mempunyai kesukaran untuk mendapatkan keperluan asas kerana kekurangan pendapatan. Lebih kurang 57% isi rumah tidak mampu membeli makanan yang mencukupi dan 56% tidak mampu membayar bil-bil perkhidmatan harian mereka tepat pada masanya.

Hasil kajian yang terbaru ini adalah berasaskan data yang dikumpulkan oleh projek “Keluarga-keluarga di Pinggiran” semasa tempoh pelaksanaan PKPB yang tamat pada bulan Disember 2020 dan sebelum bermulanya PKP 2.0. PKP diperkenalkan semula pada 13 Januari 2021 apabila kes jangkitan COVID-19 harian semakin meningkat. PKP 2.0 telah dilanjutkan ke 18 Februari 2021 untuk semua negeri kecuali sebahagian kawasan di Sarawak yang melaksanakan PKPB. Sementara itu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) turut dilaksanakan di kawasan yang mengalami penularan wabak COVID-19 yang teruk.

Masyarakat miskin sentiasa menjadi mangsa dan paling terkesan setiap kali berlakunya krisis ekonomi. Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia sejak setahun yang lepas, telah memberi impak yang besar kepada ekonomi seluruh dunia, termasuk Malaysia. Banyak kajian telah menunjukkan bahawa jurang kekayaan akan terus melebar dan ketidakadilan sosial akan menjadi lebih teruk lagi sekiranya kerajaan-kerajaan tidak mengambil tindakan yang sewajar untuk mewujudkan ekonomi yang lebih samarata dan lebih inklusif supaya membasmi kemiskinan, menghapuskan ketidaksamarataan ekonomi dan melindungi ekologi bumi kita.

Sistem ekonomi kapitalis yang berlandaskan pemaksimuman keuntungan korporat kerana logik pengumpulan modal, bukan sahaja tidak dapat mengatasi krisis mendalam yang sedang kita hadapi sekarang, malah ia boleh memburukkan lagi ketidakadilan sosial jika kerajaan tidak mencampurtangan untuk mewujudkan dasar ekonomi yang benar-benar berfungsi bagi menjamin kesejahteraan rakyat. Oleh itu, kita perlu mendesak kerajaan kita untuk mengambil langkah-langkah yang lebih proaktif dalam mewujudkan sistem ekonomi yang lebih adil, samarata dan berlandaskan kesejahteraan bersama masyarakat kita, supaya mengatasi krisis mendalam pada hari ini.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah mengemukakan cadangan pelan tindakan nasional untuk menangani kegawatan ekonomi negara akibat krisis wabak COVID-19 sejak bulan Julai 2020. Cadangan PSM merangkumi aspek seperti jaminan bekalan makanan, pelaksanaan skim Jaminan Pendapatan Asas untuk mereka yang kehilangan punca pendapatan, penyediaan subsidi sewa, peningkatan kapasiti sistem perkhidmatan kesihatan, jaminan keselamatan masyarakat awam daripada jangkitan COVID-19, pengambilalihan kilang-kilang yang tertutup oleh kerajaan untuk pengeluaran barangan keperluan, pengwujudan peluang pekerjaan melalui pengalihan sumber negara ke dalam sektor pemulihan alam sekitar dan usaha membangunkan amalan demokrasi di peringkat akar umbi. Semua cadangan ini amat penting, bukan sahaja untuk memulihkan masyarakat kita daripada kemelesetan ekonomi akibat penularan wabak COVID-19, malah juga menyediakan asas untuk sebuah ekonomi yang lebih bersifat kemanusiaan dan menjamin kesejahteraan masyarakat.

One thought on “Perlindungan sosial lebih meluas diperlukan untuk selamatkan keluarga miskin daripada belenggu COVID-19

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *