oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Apakah belanjawan yang paling sesuai untuk Malaysia mengharungi kemelesetan ekonomi yang timbul daripada pandemik COVID-19? Ini ialah isu penting yang patut kita bincangkan agar penyelesaian yang sesuai dapat ditemui. Setiap negara perlu membangunkan konsensus nasional mengenai bagaimana kapasiti kewangan negara yang terhad harus digunakan untuk mengurangkan kesan pandemik yang sedang berlaku terhadap kesihatan rakyat dan ekonomi negara. Malangnya, perhatian kita di Malaysia telah terlalu lama diganggu oleh komplot-komplot politik.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) ingin berkongsi analisis kami tentang masalah kemelesetan sekarang dan mengemukakan satu set idea berkenaan dengan bagaimana kita harus menangani krisis ekonomi yang diakibatkan pandemik COVID-19. Kita perlu pemahaman yang jelas tentang keadaan di mana kita berada supaya kita dapat merancang secara masuk akal untuk setahun akan datang.

Analisis dan cadangan kami adalah seperti berikut:

1. Kita tidak boleh optimis terhadap ekonomi

Terdapat sesetengah pemimpin kerajaan dan penganalisis ekonomi yang nampaknya percaya bahawa masalah yang terutama adalah kekurangan keyakinan golongan peniaga. Mereka berpendapat bahawa kekurangan keyakinan inilah sebab kenapa golongan peniaga tidak melabur. Jadi, mereka cuba memberi gambaran yang cerah tentang ekonomi dan mengemukakan ramalan seperti “ekonomi Malaysia akan pulih secara mendadak pada suku tahun pertama 2021” dan “KDNK negara kita akan bertumbuh sebanyak 6% pada tahun akan datang”.

Analisis PSM: Masalah yang utama di sini ialah jelasnya penurunan permintaan agregat dalam ekonomi dunia. Sekatan perjalanan yang harus dilaksanakan oleh banyak negara menjejaskan aktiviti ekonomi, mengurangkan perbelanjaan isi rumah dan perniagaan serta melemahkan permintaan pasaran untuk banyak barangan dan perkhidmatan. Menafikan realiti ini dan cuba menggalakkan keyakinan dengan memberi gambaran yang sangat optimistik adalah langsung tidak produktif. Orang ramai akan mula berfikir bahawa kerajaan tidak tahu apa yang dikatakannya, sehingga kredibiliti kerajaan akan turut merosot.

2. Mengepam masuk lebih banyak kredit ke dalam sistem tidak akan berhasil

Sesetengah orang percaya bahawa kerajaan patut mengurangkan kos modal – dalam erti kata lain, menjadikannya lebih murah untuk golongan peniaga meminjam wang. Ekoran daripada pendekatan sebegini adalah berhujah untuk pengurangan cukai korporat dan cukai individu. Persepsinya adalah jika golongan peniaga mempunyai lebih banyak dana, maka mereka akan melabur dalam pengeluaran lebih banyak barangan dan perkhidmatan. Pelaburan ini akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan dan ekonomi akan bertambah baik.

Analisis PSM: Kebolehcapaian kredit hanyalah salah satu daripada faktor yang mendorong golongan peniaga untuk mengembangkan pengeluaran dan mengupah lebih banyak pekerja. Faktor yang jauh lebih penting adalah permintaan pasaran yang berkesan. Jika golongan peniaga tidak dapat menjual apa yang dikeluarkan mereka, mereka akan mengurangkan skala pengeluaran walaupun betapa banyak kredit yang boleh dicapai mereka. Hakikatnya, apa yang golongan T10 (berpendapatan teratas 10%) akan buat adalah mencari jalan lain untuk melaburkan kredit yang ditawarkan kepada mereka. Inilah sebabnya kenapa pasaran saham di begitu banyak negara mengalami peningkatan dalam beberapa bulan yang lepas walaupun ekonomi sebenar negara-negara ini telah dijejaskan dengan teruknya oleh pandemik.

Analisis PSM: Kerajaan perlu mengepam kredit ke dalam sistem untuk memastikan bahawa perniagaan yang berdaya maju tidak menjadi muflis kerana masalah aliran tunai yang diakibatkan oleh permintaan yang lemah untuk barangan mereka semasa kemeselesatan ekonomi yang timbul daripada pandemik. Perniagaan-perniagaan ini akan memerlukan kredit mudah untuk menyelesaikan hutang yang tertunggak – gaji, faedah pemberhentian kerja, hutang kepada pembekal dan bank, dan sebagainya. Kerajaan juga perlu mengepam kredit ke dalam sistem dalam bentuk pemindahan tunai kepada keluarga dengan pendapatan isi rumah kurang daripada RM1,000 sebulan, supaya keluarga-keluarga ini boleh mendapatkan keperluan asas – makanan, penginapan dan perkhidmatan kesihatan. Namun dalam kedua-dua kategori ini, peruntukan kredit adalah untuk melindungi kumpulan sasaran, bukannya untuk memulakan semula ekonomi.

3. Kerajaan harus mengambil peranan kepimpinan dalam menguruskan ekonomi dan melindungi rakyat.

Doktrin ekonomi yang konvensional di banyak tempat di dunia adalah menganggap pasaran dapat memperbetulkan dirinya dan campurtangan kerajaan patut dikekalkan pada tahap minimum untuk mengelakkan daripada “mengganggu” pasaran. Doktrin konvensional ini berpegang pada pandangan bahawa perniagaan yang berusaha untuk meningkatkan pendapatan mereka akan mewujudkan pekerjaan dan pendapatan untuk seluruh masyarakat.

Posisi PSM: Pandemik COVID-19 telah mengubah segalanya. Langkah-langkah penjarakan fizikal yang kita harus memperketatkan setiap kali angka kes baru meningkat menyekat agak banyak aktiviti perniagaan dan menjejaskan usaha untuk memulakan semula ekonomi. Bergantung pada sektor swasta untuk melabur, mengembangkan pengeluaran dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan tidak akan berjaya dalam situasi sekarang. Dalam “normal baru” di mana kita berada, kerajaan merupakan satu-satunya agensi dalam masyarakat yang mempunyai kapasiti untuk memastikan bahawa kerugian pada ekonomi dan rakyat dapat diminimumkan. Tanggangjawab ini tidak boleh disubkontrakkan kepada sektor swasta.

4. Ini bukannya kemelesetan dalam bentuk V

Sesetengah orang bercakap seperti Trump. Mereka percaya bahawa vaksin yang selamat dan berkesan akan diperoleh sebelum penghujung tahun 2020 dan berkhayal bahawa “keimunan kelompok” akan dicapai dengan mudah; maka dengan itu kita akan dapat kembali kepada urusan seperti biasa tanpa keperluan untuk mengamalkan penjarakan fizikal.

Pemahaman PSM: Walaupun terdapat lebih kurang 60 buah syarikat dan kumpulan sedang berusaha untuk membangunkan vaksin, tetapi masih tiada bukti yang pasti bahawa vaksin-vaksin ini akan membawa keimunan terhadap COVID-19. Calon-calon vaksin yang sekarang ini berada dalam ujian Tahap 3 boleh merangsang antibodi melawan COVID-19 dalam kalangan peserta ujian, tetapi ini tidak semestinya bermakna bahawa antibodi ini akan menjana keimunan terhadap COVID-19. Ujian untuk HIV aktif adalah ujian darah yang membuat saringan terhadap antibodi untuk virus HIV. Serupa juga dengan ujian untuk Hepatitis C sekarang adalah mencari antibodi Hepatitis C dalam pesakit. Dalam kedua-dua contoh HIV dan Hepatitis C, kewujudan antibodi ini tidak membawa kepada keimunan. Kita perlu melihat sama ada ujian klinikal sekarang menjana bukti bahawa kewujudan antibodi yang disebabkan oleh vaksin COVID-19 sebenarnya membawa perlindungan daripada jangkitan COVID-19 atau tidak.

Dan apakah tahap perlindungannya? Ini adalah kritikal. Dalam erti kata epidemiologi, kita perlu mengurangkan kadar jangkitan (RoT) ke bawah 1.0 jika kita hendak mencegah angka kes daripada bertumbuh secara eksponen. Kita sekarang boleh melakukannya dengan cara penjarakan fizikal dan kawalan pergerakan dan sebagainya, tetapi ini juga penghalang besar kepada ekonomi. Jika kita hendak mengurangkan RoT ke bawah 1.0 dengan mewujudkan “keimunan kelompok”, maka kita perlu menjadikan lebih daripada 75% populasi mempunyai keimunan melalui program pemvaksinan COVID-19. Hanya dengan demikian, barulah COVID-19, dengan anggaran RoT 4.0 dalam keadaan tiadanya langkah-langkah penjarakan fzikal, tidak dapat bertahan dalam kalangan populasi. Untuk setiap orang yang dijangkiti COVID-19, masih akan menyebarkan virus kepada 4 orang yang lain secara purata. Namun, 3 daripada 4 orang ini akan mempunyai keimunan terhadap virus kerana mereka telah mengambil vaksin COVID-19. Oleh itu, COVID-19 tidak akan bertahan sebagai wabak dalam populasi sebegini.

Ini bermakna kita perlu memastikan vaksin yang selamat dan berkesan boleh dicapai untuk hampir seluruh penduduk dunia agar kita dapat memperolehi keimunan kelompok sebanyak 75% yang kita perlukan untuk kembali kepada “berurusan seperti biasa” tanpa langkah-langkah penjarakan fizikal. Akan tetapi, terdapat segelintir orang yang bodoh percaya bahawa membiarkan jangkitan secara semulajadi ke dalam populasi boleh mewujudkan keimunan kelompok yang kita perlukan. Pada masa kini (sehingga 27 Oktober 2020), hanya 0.086% (28,864 kes dalam kalangan populasi 33 juta orang) daripada penduduk Malaysia mempunyai keimunan kepada COVID-19 (dengan anggapan bahawa jangkitan secara semulajadi akan membawa kepada keimunan – sesuatu yang masih tidak dapat dipastikan 100%). Malah, di Amerika Syarikat dengan angka kematian mencecah 231,254, tahap keimunannya pun hanya lebih kurang 2.71%. Adalah amat memedihkan untuk cuba membangunkan “keimunan kelompok” dengan membiarkan jangkitan secara semulajadi untuk merebak dalam kalangan populasi.

5. Lebih banyak bantuan bersasar untuk keluarga termiskin

Golongan terbawah 20% dalam masyarakat – mereka yang berpendapatan kurang daripada RM2,500 per isi rumah sebulan – merupakan golongan yang paling terkesan kerana pandemik ini. Sesetengah keluarga B20 terpaksa mengurangkan pengambilan makanan mereka kerana pendapatan mereka sudah merosot. Sebahagian besar keluarga B20 bekerja dalam pekerjaan yang tidak menentu sebagai pekerja kontrak yang bergaji harian – mencuci pinggan mangkuk di restoran, memunggah barangan di kilang dan kedai, di kebun kecil, dan sebagainya. Sebahagian lagi keluarga B20 bergantung kepada perniagaan mikro untuk pendapatan mereka. Sekiranya terdapat pengecutan dalam aktiviti perniagaan atau pengetatan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pekerja-pekerja bergaji harian dan perniagaan-perniagaan mikro mungkin tidak mempunyai apa-apa pendapatan. Kumpulan-kumpulan ini tidak dilindungi oleh apa-apa faedah pemberhentian kerja seperti yang ada untuk pekerja-pekerja dalam sektor ekonomi formal. Tambahan pula, keluarga yang lebih miskin mempunyai simpanan kewangan yang jauh lebih sedikit untuk membolehkan mereka mengharungi tempoh masa yang susah ini. Ramai tidak mempunyai simpanan wang atau pelaburan yang dapat dicairkan oleh mereka untuk membekalkan wang pada tempoh masa ini.

Program Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang melibatkan peruntukan sejumlah RM10 bilion yang dilaksanakan oleh kerajaan pada bulan April dan Mei 2020, telah membantu banyak. Begitu juga dengan BPN 2.0, yang melibatkan pemindahan tunai RM4.8 bilion kepada 10.6 juta orang penerima, akan dilancarkan dalam bulan Oktober 2020 diikuti dengan satu lagi pembayaran sebanyak RM2.2 bilion pada bulan Januari 2021. BPN 2.0 akan memberi bantuan yang dialu-alukan kepada banyak keluarga. Namun, ini masih tidak mencukupi untuk 10% keluarga yang pendapatan isi rumah sudah merosot ke bawah RM1,000 sebulan. Keluarga-keluarga ini memerlukan pemindahan tunai bulanan secara berkala. Namun, bolehkah negara kita mengekalkan perbelanjaan tambahan RM10 bilion sebulan untuk 2 tahun akan datang? (Jumlah belanjawan kerajaan kita pada tahun 2020 ialah RM300 bilion.)

Cadangan PSM: Keluarga-keluarga dengan pendapatan semasa kurang daripada RM1,000 sebulan patut diberikan pemindahan tunai sebanyak RM500 hingga RM1,000 – pendapatan minimum yang terjamin – supaya keperluan asas mereka dapat dipenuhi. Kami menganggarkan bahawa terdapat lebih kurang 1 juta keluarga yang memerlukan bantuan sedemikian pada masa kini – ini bersamaan dengan RM1 bilion sebulan jika RM1,000 dipindahkan kepada 1 juta keluarga ini setiap bulan.

6. “Tawaran Baru Hijau” (Green New Deal) untuk Malaysia

PSM sudahpun menyeru untuk perkara berikut:

  • Pembinaan rumah oleh entiti bukan berdasarkan keuntungan untuk disewa kepada keluarga anak muda dan keluarga B20. Kita perlu mengembangkan stok “perumahan sosial” dalam negara kita.
  • Program untuk memperbaiki, memulihkan dan membersihkan rumah-rumah pangsa kos rendah di bandar-bandar kita. Banyak perumahan ini berada dalam keadaan yang teruk sekarang.
  • Program penghutanan semula untuk memulihkan hutan yang telah dibalak.
  • Menaiktaraf pengurusan sisa buangan pepejal kita – pengasingan sisa buangan domestik pada sumbernya, melakukan kitaran semula sebanyak mungkin, dan pembuangan selamat untuk sisa yang tertinggal.
  • Membersihkan sungai kita.
  • Program untuk memperkembangkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui.

Projek-projek ini memenuhi keperluan sebenar dalam masyarakat kita. Pelaksanaan program-program ini akan menjana pekerjaan dan pendapatan untuk ribuan rakyat dan ini akan mempunyai kesan berganda dalam ekonomi. Penambahbaikan dalam penyediaan perumahan dan penghijauan masyarakat kita akan menyuntik harapan dan semangat positif ke dalam masyarakat kita pada saat-saat yang sukar ini.

Namun, di manakah dana untuk semua program ini datang? Pendapatan kerajaan akan merosot pada tahun 2021 kerana hasil cukai korporat akan lebih rendah dan harga petroleum telah turun.

7. Kerajaan patut menggunakan kaedah “Pengewangan Hutang” (Debt Monetization) sebagai salah satu cara untuk mendapatkan dana untuk program-program yang dinyatakan di atas.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz pernah menyatakan bahawa belanjawan tahun ini akan mempunyai defisit sebanyak 6%. Ini bersamaan dengan RM84 bilion (berasaskan anggaran KDNK RM1,400 bilion). Kerajaan Malaysia biasanya mengisi defisitnya dengan menjual sekuriti kerajaan (MGS) kepada pelabur-pelabur sektor swasta. Secara umumnya, kerajaan perlu membayar kadar kupon lebih kurang 3% hingga 4% terhadap MGS ini. Negara kita sudah membayar RM35 bilion setahun sebagai pembayaran kupon terhadap MGS yang telah dijual sebelum ini.

Malangnya, walaupun dengan RM84 bilion belanjawaan tambahan ini, masih tidak cukup untuk semua program-program yang dicadangkan di atas. Kerajaan boleh menjual lebih banyak MGS kepada pelabur swasta tetapi ini akan membebankan kerajaan masa hadapan dengan kos pembayaran kadar bunga yang lebih tinggi.

“Pengewangan hutang” ialah satu strategi yang telah digunakan oleh beberapa kerajaan, termasuk Indonesia, India, Jepun dan New Zealand, di mana kerajaan menjual sekuriti kerajaan kepada Bank Pusatnya sendiri tetapi pada kadar faedah yang lebih rendah (katakan 0.1%). Strategi ini membekalkan dana tambahan yang diperlukan kepada kerajaan dalam situasi krisis tanpa kelemahan yang menyebabkan negara terikat pada pembayaran kadar faedah tinggi pada masa hadapan.

Sejujurnya, terdapat potensi kelemahan untuk strategi ini. Sekiranya jumlah wang yang terlalu banyak diperoleh melalui pengewangan hutang, ia boleh menyebabkan penyusutan nilai matawang ringgit dan inflasi. Namun, satu jumlah yang bersamaan dengan 4% KDNK (lebih kurang RM56 bilion) tidak akan menyebabkan kesan negatif dan kerajaan patut mempertimbangkannya sebagai strategi pada masa yang mencabar ini.

Marilah kita berfikir di luar kotak!

Beberapa idea yang diutarakan oleh PSM adalah berbeza daripada perkara yang biasa dilakukan di Malaysia. Namun, adalah tidak boleh dinafikan bahawa kita sedang berada dalam “normal baru” dan pasaran tidak berupaya untuk memberikan respon yang tersusun terhadap kemelesetan sekarang ini. Tanpa campurtangan kerajaan yang mencukupi, ekonomi  akan terus merosot dan kesusahan ekonomi yang dihadapi oleh isi-isu rumah dan perniagaan-perniagaan akan meningkat secara mendadak. Kerajaan mempunyai peranan yang penting dalam membantu kita untuk mengharungi krisis kesihatan dan ekonomi yang tergabung ini.

Sekiranya kita menanganinya secara betul – dengan mengutamakan solidariti dan memastikan tiada orang dinafikan keperluan asas – kita akan bangkit semula sebagai sebuah negara yang lebih kuat, lebih bersatu dan lebih harmoni. Bukankah ini sesuatu yang berbaloi untuk diusahakan? Sertailah kami dalam mengarusperdanakan cadangan-cadangan yang terkandung dalam tulisan ini. Kita perlu menggalakkan perbincangan yang lebih luas berkenaan dengan cadangan-cadanagan sebegini.

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

One thought on “Belanjawan 2021: Idea baru diperlukan untuk tangani kemelesetan zaman COVID-19

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s