25 Januari 2021 yang akan datang ini menandakan genapnya setahun kes COVID-19 pertama disahkan Malaysia. Sepanjang setahun yang lalu, bukan sahaja negara Malaysia, malah negara-negara di seluruh dunia, telah mengalami impak yang teruk akibat daripada pandemik yang paling hebat pada zaman kita. Setakat ini (8 Januari 2021), jumlah kes jangkitan COVID-19 yang terkumpul di seluruh dunia sudah melebihi 88 juta, sementara jumlah kematian kerana COVID-19 mencecah 1.9 juta.

Apabila negara Malaysia melangkah masuk ke dalam tahun 2021, keadaan pandemik COVID-19 telah berkembang menjadi lebih teruk lagi, begitu juga dengan keadaan di banyak negara di dunia. Walaupun vaksin untuk mencegah jangkitan COVID-19 sudah berjaya dibangunkan, tetapi ia akan mengambil masa untuk diberikan kepada masyarakat umum secara meluas supaya dapat mencapai tahap keimunan kelompok (herd immunity). Adalah dilaporkan bahawa Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) masih dalam proses memperhalusi Pelan Imunisasi Kebangsaan COVID-19 sebelum membentangkannya kepada Kabinet Kerajaan Persekutuan.

Penghantaran vaksin COVID-19 yang pertama dijangka akan sampai di negara kita pada hujung bulan Februari 2021. Kerajaan Malaysia telah memesan sebanyak 12.8 dos vaksin yang dibangunkan bersama oleh Pfizer dan BioNTech, yang akan diberikan kepada 6.4 juta orang penduduk Malaysia, iaitu 20% daripada sejumlah 32 juta orang penduduk Malaysia. Selain itu, Kerajaan juga cuba mendapatkan vaksin untuk 10% penduduk Malaysia lagi melalui satu perjanjian yang ditandatangani dengan program COVAX. Namun, pemvaksinan kepada 30% daripada jumlah penduduk seluruh Malaysia masih tidak mencukupi untuk mencapai keimunan kelompok, kerana ia memerlukan sekurang-kurangnya 70% penduduk mendapat imunisasi untuk mencapai keimunan kelompok yang berkesan.

Oleh itu, selain vaksin Pfizer-BioNTech, Kerajaan Malaysia juga sedang memperoleh bekalan vaksin COVID-19 daripada AstraZeneca, di samping dalam peringkat akhir rundingan untuk perolehan vaksin daripada Sinovac, CanSino dan Gamaleya, dengan sasaran memberikan vaksin COVID-19 kepada sekurang-kurangnya 80% ataupun 26.5 juta penduduk Malaysia. Walau bagaimanapun, ia akan mengambil masa yang lama lagi di mana keimunan kelompok hanya dapat dicapai sekurang-kurangnya pada hujung tahun 2021 atau awal tahun 2022 sekiranya proses imuninasi dapat berjalan dengan lancar. Oleh itu, sehingga kita mencapai keimunan kelompok yang berkesan, masyarakat Malaysia masih terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19 yang tinggi, lebih-lebih lagi dengan penemuan strain mutasi koronavirus yang baru yang dikatakan lebih mudah berjangkit dan juga gelombang penularan wabak COVID-19 pada masa kini yang agak membimbangkan.

Setakat 8 Januari 2021, jumlah kes jangkitan COVID-19 yang terkumpul di Malaysia telah mencecah 131,108, dengan jumlah kematian ialah 537 kes. Ini telah menjadikan negara Malaysia berada di tangga yang ke-3 di Asia Tenggara dari segi angka kes jangkitan terkumpul (di belakang Indonesia dan Filipina), dan tangga ke-4 di Asia Tenggara dari segi jumlah kematian (di belakang Indonesia, Filipina dan Myanmar). Pada masa kini, terdapatnya sebanyak 25,140 kes aktif, dengan 170 orang pesakit berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 82 orang pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan. 7 Januari 2021 telah mencatatkan pertambahan kes positif sehari yang tertinggi setakat ini, iaitu 3,027 kes.

Dalam tempoh dua bulan yang lalu, pertambahan kes positif baru harian sering mencecah 4-digit, dengan angka kes baru yang tertinggi semakin meningkat sejak hujung bulan Disember 2020. Mengikut jangkaan unjuran kes dari 4 Januari sehingga 31 Mei 2021 yang dikemukakan oleh Kementerian Kesihatan, sekiranya kadar kebolehjangkitan Ro/Rt kekal pada 1.1, negara kita akan mencatatkan jumlah kes positif yang baru dalam sehari sebanyak 8,000 pada minggu ke-4 bulan Mei 2021; sekiranya kadar kebolehjangkitan Ro/Rt berada pada 1.2, angka kes baru 8,000 akan dicatatkan pada minggu ke-3 bulan Mac 2021. Ini akan meningkatkan lagi beban yang dipikul oleh sistem kesihatan awam negara kita.

Kita perlu ingat bahawa, negara kita pernah berjaya menyekat penularan wabak COVID-19 dan meratakan lengkung jangkitan wabak COVID-19 semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18 Mac 2020 hingga 3 Mei 2020, diikuti dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei 2020 hingga 9 Jun 2020 sebelum digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Sementara itu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pula dilaksanakan di kawasan di mana dikesannya kumpulan jangkitan COVID-19 yang besar. Namun begitu, pelaksanaan PKP telah memberi impak kepada kehidupan ekonomi masyarakat umum, di mana ramai orang kehilangan pendapatan kerana tidak dapat bekerja ataupun berniaga. Ini menyebabkan Kerajaan perlu mengemukakan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang sedikit sebanyak mengurangkan kesan dan meringankan beban rakyat yang disebabkan oleh pelaksanaan PKP.

Dengan masyarakat sedunia semakin memahami wabak COVID-19 yang masih menular ini, kita sudah adanya tatacara pengendalian piawai (SOP) yang mampu mengurangkan risiko jangkitan wabak, dan vaksin sedang dalam perjalanannya untuk diakses masyarakat, memang kita tidak perlu lagi satu PKP seperti yang dilaksanakan selama dua tiga bulan pada tahun 2020. Namun, kita masih perlukan langkah yang lebih berkesan daripada apa yang ada sekarang untuk menangani penularan wabak COVID-19 yang semakin teruk pada masa kini. Ini termasuklah pelaksanaan PKP secara bersasar di kawasan di mana jumlah kes yang dikesan adalah tinggi. Jika tidak, lebih banyak lagi nyawa rakyat akan terancam. Dan sememangnya apa-apa langkah drastik yang diambil, akan memberi kesan kepada ekonomi. Pengusaha-pengusaha industri tidak mahukan PKP yang sepenuh seperti sebelum ini, kerana ini akan menjejaskan keuntungan mereka. Peniaga-peniaga kecil juga bimbang satu lagi PKP akan menjejaskan pendapatan mereka yang sudah pun merosot. Pekerja-pekerja juga akan menerima impak daripadanya seperti kehilangan kerja. Oleh itu, selain langkah mencegah COVID-19 yang lebih berkesan, kita juga perlukan langkah berkesan untuk mengendalikan masalah ekonomi yang sedang membelenggui negara kita.

Akan tetapi, kita harus sedar bahawa seluruh dunia sudah berada dalam kemelesetan yang paling teruk sejak tahun 1930-an. Itulah sebabnya Parti Sosialis Malaysia (PSM) pernah memberi amaran dan mengkritik Belanjawan 2021 kerana Kerajaan terlalu optimis tentang pertumbuhan ekonomi pada tahun 2021, di mana Kerajaan menjangkakan kadar pertumbuhan KDNK antara 6.5% hingga 7.5%. Dengan beberapa hari sahaja kita memasuki tahun 2021, berdasarkan angka jangkitan COVID-19 di Malaysia dan di dunia, ada sesiapa lagi yang masih mempunyai angan-angan bahawa ekonomi negara kita akan pulih seperti biasa dalam tahun ini?

Oleh itu, Kerajaan harus membuang khayalan bahawa ekonomi negara kita akan pulih kepada keadaan seperti biasa dalam masa terdekat. Bukannya dalam beberapa bulan akan datang, bahkan mungkin juga bukannya dalam tempoh satu dua tahun akan datang ini. Pemulihan ekonomi, jika berlaku pun, tidak akan terjadi secara automatik dan bergantung sepenuhnya kepada pasaran. Sebaliknya, Kerajaan harus memainkan lebih banyak peranan dalam membangunkan semula ekonomi yang berfungsi untuk menjamin kesejahteraan rakyat, seperti peranan penting yang dimainkan oleh Kerajaan, melalui sistem kesihatan awam, dalam menangani krisis penularan wabak COVID-19.

PSM pernah mengemukakan satu pelan tindakan nasional untuk menangani kegawatan ekonomi negara akibat krisis wabak COVID-19, dengan saranan yang merangkumi aspek seperti jaminan bekalan makanan, pelaksanaan skim Jaminan Pendapatan Asas untuk mereka yang kehilangan punca pendapatan, penyediaan subsidi sewa, peningkatan kapasiti sistem perkhidmatan kesihatan, jaminan keselamatan masyarakat awam daripada jangkitan COVID-19, pengambilalihan kilang-kilang yang tertutup oleh kerajaan untuk pengeluaran barangan keperluan, pengwujudkan peluang pekerjaan melalui pengalihan sumber negara ke dalam sektor pemulihan alam sekitar dan usaha membangunkan amalan demokrasi di peringkat akar umbi. Semua perkara ini memerlukan komitmen dan kesungguhan politik daripada pihak Kerajaan untuk melaksanakannya. Ia juga memerlukan anjakan paradigma di peringkat pembuat dasar, di mana kita tidak boleh lagi bergantung pada sistem pasaran bebas di bawah ekonomi kapitalis sedia ada untuk melindungi masyarakat kita daripada impak pandemik koronavirus, sebaliknya kita perlu membangunkan satu alternatif yang berdasarkan solidariti dan mengutamakan kesejahteraan semua rakyat.

Untuk masyarakat umum, kita juga harus memikul tanggungjawab untuk menjaga diri kita sesama sendiri dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan wabak seperti penjarakan fizikal, penjagaan kebersihan diri dan sebagainya dalam kehidupan harian. Selain itu, kita juga harus menghindarkan diri daripada sentimen xenofobia dan prejudis terhadap golongan migran. Golongan pekerja migran di Malaysia merupakan salah satu kumpulan masyarakat yang paling terkesan dengan penularan wabak COVID-19, oleh sebab keadaan kehidupan mereka yang teruk akibat daripada eksploitasi golongan pemodal yang lebih mengutamakan keuntungan berbanding kesejahteraan pekerja. Keadaan tempat kediaman atau asrama pekerja yang penuh sesak menjadi salah satu faktor utama penularan wabak dalam kalangan pekerja migran. Selain itu, golongan migran juga menghadapi pelbagai ancaman seperti penangkapan oleh pihak berkuasa (sama ada mereka berdokumen atau tidak) dan sikap permusuhan daripada masyarakat tempatan yang terpengaruh oleh fahaman perkauman anti-migran yang diapi-apikan oleh sesetengah pihak yang cuba mencari modal politik daripada tindakan mengkambinghitamkan golongan migran ataupun hendak mengalihkan perhatian rakyat daripada isu masyarakat yang asas (seperti ketidakadilan ekonomi yang disebabkan oleh sistem kapitalis itu sendiri). Migran juga manusia, dan kita tidak mungkin akan dapat menangani krisis kesihatan awam tanpa memberi perlindungan yang samarata kepada semua orang termasuk golongan migran. Pada ketika krisis pandemik dan krisis ekonomi sedunia yang semakin meruncing inilah, kita harus membangunkan solidariti yang merentasi batasan kaum dan kewarganegaraan, menjauhkan diri daripada politik pelampau yang memecah-belahkan masyarakat kita, supaya kita dapat memperjuangkan alternatif yang benar-benar dapat menjamin kesejahteraan semua.

One thought on “Situasi COVID-19 di Malaysia membimbangkan

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s