oleh Nik Aziz Afiq

Pemuda Sosialis merakamkan takzim atas keprihatinan Seri Paduka Banginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) terhadap perkembangan semasa politik negara yang penuh kacau bilau mutakhir ini. Peranan Baginda dalam menjadi simbol penyatuan dan neutral dalam pemerintahan telah membantu negara menghadapi krisis demi krisis saban waktu.

Ketika negara mulai bimbang apabila cadangan darurat disebut-sebut tempohari, Baginda bersama Majlis Raja-Raja Melayu telah mengambil suatu langkah yang melegakan keseluruhan rakyat jelata dan menyebabkan cadangan itu hanya tinggal cadangan.

Sungguhpun begitu, titah Seri Paduka pada 28 Oktober lalu di mana Seri Paduka menasihati Ahli-ahli Parlimen agar memberikan sokongan penuh kepada Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat akan datang pada hemat kami ia suatu amalan kurang bersesuaian yang bakal menjadi ikutan (precedent) pada masa akan datang.

Selaku rakyat yang berpegang kepada prinsip “Kesetiaan kepada Raja dan Negara”, kami berpandangan bahawa sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem Raja Berpelembagaan, maka hendaklah konsep pemisahan kuasa dalam pentadbiran dapat berjalan tanpa ganggu gugat mana-mana institusi.

Eksekutif, Perundangan, Kehakiman perlu kekal menjadi badan tersendiri tanpa campur tangan supaya urusan pentadbiran dapat berjalan dengan lancar.

Pihak kami mengerti sedalamnya bahawa nasihat Seri Paduka semestinya bertujuan supaya kekacauan dan sengketa antara ahli politik tidak menjejaskan rakyat di bawah yang merana terutama ketika pandemik kini melanda.

Namun, kami khuatiri nasihat YDPA disalah faham jika ia dianggap sebagai satu perintah kerana peranan “check and balance” yang perlu dilakukan di dalam Dewan Rakyat akan terjejas.

Hak demokrasi dalam bersuara dan memilih perlu diberikan dan dikekalkan kepada para Wakil Rakyat.

Andai kata nanti Wakil Rakyat melihat Belanjawan 2021 ada kekurangan, tidak menyakinkan, maka kita perlu menerima dengan hati terbuka pilihan setiap Wakil Rakyat termasuk sekiranya Belanjawan itu nanti tertolak sekaligus menjadi isyarat Perdana Menteri perlu menghormati demokrasi lalu berundur dan memberi laluan kepada Wakil Rakyat yang mendapat majoriti terbanyak membentuk kerajaan dan menyampaikan Belanjawan lebih baik.

Ia tidak sepatutnya sukar difahami memandangkan Perdana Menteri ketika ini sendiri melalui perkara serupa beberapa bulan lalu dalam penubuhan kerajaan Perikatan Nasional selepas kerajaan Pakatan Harapan hilang majoriti.

Pihak kami tidak ada kepentingan dalam menyatakan hal ini kerana kami langsung tiada wakil dalam Dewan Rakyat. Ini bermaksud pandangan ini dinyatakan tanpa berpihak kepada sesiapa dan semata-mata kerana mengharapkan demokrasi dalam negara menuju ke arah kemajuan.

===========

Nik Aziz Afiq bin Abdul ialah Ketua Pemuda Sosialis PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *