Kerajaan Turki pimpinan Recep Tayyip Erdoğan sedang melancarkan serangan terbaru terhadap Parti Demokratik Rakyat (Halkların Demokratik Partisi, HDP), parti politik berhaluan kiri yang merupakan parti ketiga besar dalam Parlimen Turki. Ketua Pendakwaraya di Ankara mengeluarkan waran tangkap pada 25 September 2020 terhadap 82 orang anggota HDP.

Ramai orang dalam senarai waran tangkap telah ditahan atas alasan penglibatan mereka dalam aksi protes solidariti dengan Kobanî yang diadakan pada 6-8 Oktober 2014, iaitu hampir 6 tahun dahulu. Antara mereka dalam senarai penangkapan yang sudah ditahan termasuk Ayhan Bilgen (Datuk Bandar Kars), Ayla Akat Ata (bekas ahli parlimen kawasan Batman), Sırrı Süreyya Önder (bekas ahli parlimen kawasan Istanbul dan Ankara), Nazmi Gür (bekas ahli parlimen kawasan Van), Emine Ayna (bekas ahli parlimen kawasan Mardin), Beyza Üstün (bekas ahli parlimen kawasan Istanbul), Altan Tan (bekas ahli parlimen kawasan Diyarbakir), Günay Kubilay (bekas jurucakap HDP) dan Alp Altınörs (ahli Lembaga Eksekutif Pusat HDP). Selahattin Demirtaş dan Figen Yüksekdağ, dua orang bekas pengerusi bersama HDP, sudahpun ditahan sejak bulan November 2016 kerana kes berkaitan dengan protes solidariti dengan Kobanî dan masih berada di dalam penjara hingga sekarang.  

Penyokong HDP berprotes membantah penangkapan besar-besaran terhadap anggota HDP. (foto: Reuters)

Protes yang berlaku pada 6-8 Oktober 2014 merupakan aksi massa yang diadakan untuk bersolidariti dengan penduduk Kobanî, sebuah pekan di Utara Syria yang menghadapi pengepungan daripada kumpulan pengganas ISIS pada masa itu. Mereka yang berprotes mengecam kegagalan kerajaan Turki dalam membendung ancaman ISIS. Sekurang-kurangnya 43 orang telah mati dalam protes tersebut kerana reaksi ganas daripada polis Turki yang melepaskan tembakan, dengan kebanyakan yang mati ialah anggota atau penyokong HDP. Presiden Turki Erdoğan mendakwa pemimpin HDP menghasut keganasan tanpa sebarang bukti. Sebaliknya, ahli-ahli parlimen HDP telah membentangkan lebih 10 usul parlimen untuk menubuhkan sebuah suruhanjaya parlimen untuk menyiasat insiden keganasan dalam protes tersebut, tetapi semua usul daripada HDP telah ditolak oleh gabungan “Parti Keadilan dan Pembangunan – Parti Gerakan Nasionalis” (AKP-MHP) yang menguasai kerusi majoriti dalam Parlimen Turki. Tiada seorang pegawai polis didakwa di mahkamah kerana membunuh demonstran, sebaliknya kerajaan pimpinan Erdoğan menggunakan pertuduhan yang tidak berasas untuk menyalahkan HDP dan melakukan penangkapan serta pendakwaan terhadap pemimpin-pemimpin HDP.

Berikutan pengeluaran waran tangkap terhadap 82 orang, Mithat Sancar, Pengerusi Bersama HDP, berkata dalam kenyataannya bahawa operasi ini adalah bermotifkan politik dan dilaksanakan dengan bertopengkan keputusan kehakiman.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Feleknas Uca dan Hişyar Özsoy, jurucakap hal ehwal antarabangsa HDP, mereka berkata, “Presiden Erdoğan dan kerajaan Turki nampak jelasnya tidak senang hati dengan kekalahan ISIS dalam tangan pejuang-pejuang Kurdi di Kobanî pada tahun 2014. Sejak itu, kerajaan sangat agresif terhadap HDP dan kami berpandangan bahawa penangkapan baru ini hanyalah sebahagian daripada politik balas dendam Erdoğan kerana kekalahan ISIS di Kobanî. Jika tidak, bagaimana kita dapat menerangkan kenapa kerajaan masih mengejar untuk menangkap mereka yang menunjukkan solidariti bersama Kobanî walaupun enam tahun sudah berlalu? Satu lagi perkara yang menarik adalah sesetengah orang yang ditangkap hari ini sudah pun pernah ditangkap, didakwa dan dibebaskan sebelum ini untuk pertuduhan yang sama, seperti Datuk Bandar Ayhan Bilgen.”

HDP ditubuhkan pada tahun 2012 sebagai sayap politik kepada Kongres Demokratik Rakyat (HDK), sebuah gabungan beberapa gerakan kiri yang anti-kapitalis dan memperjuangkan nasib golongan masyarakat yang menghadapi diskriminasi dari segi etnik, agama atau gender. HDP telah mengambil pendirian politik yang pro-Kurdi dengan keanggotaannya terdiri daripada orang Turki, Kurdi dan etknik minoriti yang lain. HDP berjaya melepasi ambang peroleh undi 10% dalam pilihanraya umum pada bulan Jun 2015, untuk memenangi kerusi dalam Parlimen Turki. HDP muncul sebagai parti politik yang menguasai kerusi ketiga banyak dalam Parlimen Turki selepas pilihanraya umum pada bulan November 2015, dan kedudukan itu kekal selepas pilihanraya umum pada tahun 2018.

Kerajaan Erdoğan telah menuduh HDP mempunyai hubungan langsung dengan Parti Pekerja Kurdistan (PKK), sebuah parti yang diharamkan oleh kerajaan Turki dan Amerika Syarikat kerana melancarkan pemberontakan bersenjata sejak tahun 1984, dengan tujuan asalnya untuk memperjuangkan sebuah negara Kurdistan yang merdeka. HDP menjadi sasaran penindasan oleh rejim Erdoğan kerana usahanya memperjuangkan hak masyarakat Kurdi dan kebebasan demokratik untuk semua rakyat Turki. Sejak tahun 2015, lebih kurang 16,000 orang anggota HDP telah ditangkap dan lebih 5,000 orang antaranya dihukum penjara. Dua orang bekas Pengerusi Bersama HDP, Selahattin Demirtaş dan Figen Yüksekdağ, masih dalam penjara sejak tahun 2016; begitu juga dengan beberapa orang bekas ahli parlimen, datuk-datuk bandar yang dipilih secara demokratik, dan ramai lagi aktivis HDP masih dinafikan kebebasan mereka. Ramai dalam kalangan yang ditahan pernah mengadakan banyak aksi mogok lapar untuk membantah penahanan mereka.

Selahattin Demirtaş (kiri) dan Figen Yüksekdağ (kanan), ditahan di penjara sejak tahun 2016.

Sejak pilihanraya tempatan di Turki pada bulan Mac 2019, daripada sejumlah 65 jawatan datuk bandar yang dipegang oleh HDP, 47 orang telah dilucutkan jawatan secara tidak sah dan digantikan oleh pegawai yang tidak dipilih oleh kerajaan pusat, dengan sesetengah datuk bandar HDP ditahan oleh pihak berkuasa.

Tindakan penangkapan besar-besaran terhadap anggota HDP oleh kerajaan Turki telah dikecam oleh pelbagai pihak, termasuk parti-parti kiri di peringkat antarabangsa. Parti Sosialis Malaysia (PSM) turut mengecam tindakan kerajaan Turki yang merupakan serangan ke atas demokrasi ini. PSM menyeru kepada Kerajaan Malaysia supaya memanggil Duta Turki untuk menyatakan bantahan terhadap penangkapan terhadap aktvisi HDP ini dan menuntut pembebasan semua tahanan politik di Turki.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s