Pilihanraya Negeri Sabah telah diadakan pada 26 September 2020. Gabungan WARISAN Plus yang dipimpin oleh penyandang jawatan Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal terkandas dan kehilangan kuasa pentadbiran di Negeri Di Bawah Bayu kepada Barisan Rakyat Sabah yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Seramai 749,083 orang atau 66.61% pengundi yang berdaftar telah keluar mengundi dalam Pilihanraya Negeri Sabah yang ke-16 ini, satu angka yang lebih rendah berbanding 866,725 atau 77.53% dalam Pilihanraya Umum ke-14 pada tahun 2018. Walau bagaimanapun, pertandingan dalam Pilihanraya Negeri Sabah kali ini boleh dikatakan agak sengit dengan penyertaan calon yang terbanyak dalam sejarah pilihanraya negeri itu.

Gabungan Rakyat Sabah, sebuah gabungan tidak ramsi antara BN, PN dan PBS, telah memenangi 38 daripada 73 kerusi yang dipertandingkan. WARISAN Plus yang terdiri daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN), Pakatan Harapan (PH) dan Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) pula hanya memenangi 32 kerusi. Sementara itu, 3 kerusi dimenangi oleh calon bebas.

Dalam Gabungan Rakyat Sabah, BN telah memenangi 14 daripada 41 kerusi yang ditandinginya, dengan semuanya dikuasai oleh parti UMNO yang bertanding dalam 32 kerusi. PN memenangi 17 kerusi, antaranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mendapat 11 kerusi dan STAR Sabah mendapat 6 kerusi. STAR Sabah yang dipimpin oleh Jeffrey Kitingan, sebagai salah satu sebuah parti komponen dalam PN, hanya bertanding untuk 7 kerusi tetapi telah memenangi 6 kerusi, menjadikannya parti dengan peratusan kemenangan kerusi yang paling tinggi dalam Gabungan Rakyat Sabah, dan barangkali ini membolehkan STAR Sabah mempunyai kuasa rundingan yang lebih besar dalam PN. PBS yang bertanding untuk 22 kerusi (dengan 17 kerusi yang ditandinginya bertindih dengan sekutunya dalam PN dan BN) telah memenangi 7 kerusi, menjadikan kedudukan PBS agak penting dalam Gabungan Rakyat Sabah, kerana BN dan PN akan kehilangan majoriti sekiranya PBS menarik diri daripada gabungan tersebut.

Dalam WARISAN Plus pula, Parti WARISAN memenangi 23 daripada 46 kerusi yang ditandinginya, menjadikannya parti tunggal yang menguasai kerusi terbanyak di Sabah. Parti Tindakan Demokratik (DAP), parti komponen PH yang bertanding menggunakan lambang WARISAN pula memenangi 6 daripada 7 kerusi yang ditandinginya. Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan UPKO masing-masing mendapat 2 dan 1 kerusi.

Walaupun kedua-dua pihak Barisan Rakyat Sabah dan WARISAN Plus menolak politik “katak” dalam kempen pilihanraya mereka, namun daripada 19 orang calon yang pernah melompat parti selepas menang dalam PRU-14, hanya 7 orang sahaja yang kalah dalam Pilihanraya Negeri Sabah kali ini. Antara 8 orang ahli politik “katak” yang bertanding di bawah panji PN (di mana mereka bertanding sebagai calon BN dalam PRU-14 dan kemudiannya melompat menjadi ADUN BERSATU untuk menyertai PH), 7 orang telah menang dalam Pilihanraya Negeri Sabah kali ini, termasuk Hajiji Mohd Noor (bertanding di kawasan DUN Sulaman) yang dianggap sebagai salah seorang yang berpotensi dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah. Satu-satunya calon daripada WARISAN Plus yang pernah melompat parti, Ewon Benedick (bertanding di kawasan DUN Kadamaian) juga berjaya mempertahankan kerusinya. Dengan kebanyakan “katak politik” masih dapat kembali dipilih sebagai wakil rakyat, maka tidak hairanlah politik katak akan terus menjadi sebahagian daripada senario politik di negeri Sabah pada masa akan datang. Jangan lupa bahawa Pilihanraya Negeri Sabah diadakan lebih awal kerana krisis politik yang timbul kerana politik katak. Oleh itu, sama ada kemelut politik Sabah sebelum pilihanraya negeri itu sudah selesai ataupun akan berterusan, masih menjadi tanda soal.  

Dengan kemenangan gabungan PN+BN+PBS di Sabah, PN yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin di peringkat Persekutuan sudah pasti mempunyai lebih keyakinan untuk menghadapi Pilihanraya Umum yang akan datang, dan kemungkinan untuk pembubaran Parlimen lebih awal adalah lebih besar sekarang. Oleh itu, adalah pelik bagi Anwar Ibrahim yang cuba mengatakan beberapa hari sebelum ini bahawa dia mempunyai majoriti dalam Dewan Rakyat untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baru, kerana tindakannya berpotensi untuk mempercepatkan pembubaran parlimen dan Pilihanraya Umum yang lebih awal (ataupun ini memang hasrat Anwar Ibrahim?).

Selepas elit politik selesai berebut-rebut untuk kekuasaan di Sabah, negeri ini sedang dilanda krisis ancaman wabak COVID-19 yang serius, di samping masalah sosio-ekonomi lain yang sudah lama membelenggu rakyat Sabah, sama ada semasa zaman pemerintahan BN ataupun ketika zaman pemerintahan PH-WARISAN. Selain terus mempermainkan politik perkauman, xenofobia dan serangan peribadi, tidak dapat rakyat melihat visi pembaharuan jelas yang dibawa oleh mana-mana ahli politik, sama ada pihak PN+BN+PBS ataupun WARISAN Plus, yang mampu mengubah nasib rakyat biasa di Negeri Di Bawah Bayu ini.

2 thoughts on “Pilihanraya Negeri Sabah: WARISAN hilang kuasa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *