202006_thailand_Wanchalearm
Wanchalearm Satsaksit

Wanchalearm Satsaksit, seorang aktivis politik dari Thailand yang tinggal di Kemboja, telah diculik oleh sekumpulan lelaki yang bersenjata pada 4 Jun 2020. Kejadian penculikan Wanchalearm Satsaksit itu berlaku di hadapan pangsapuri yang dihuninya di Phnom Penh, ibu negara Kemboja. Wanchalearm Satsaksit telah diheret ke dalam sebuah kereta hitam, dan tiada berita tentangnya sejak itu.

Wanchalearm Satsaksit merupakan salah seorang daripada ramai aktivis pro-demokrasi di Thailand yang hidup dalam buangan di luar negara. Ramai pengkritik kerajaan Thailand telah dimasukkan dalam seranai orang yang dikehendaki oleh Kerajaan Thailand kerana dituduh melanggar undang-undang lèse-majesté, sebuah undang-undang zalim yang sering digunakan oleh pemerintah Thailand (khususnya pihak Tentera) untuk melenyapkan suara pembangkang.

Wanchalearm Satsaksit telah melarikan diri ke Kemboja selepas kudeta tentera di Thailand pada bulan Mei 2014. Beliau membantah tindakan rampasan kuasa yang dipimpin oleh Jeneral Prayut Chan-o-cha pada masa itu. Wanchalearm Satsaksit meneruskan aktivismenya semasa hidup dalam buangan, dengan mengkritik Kerajaan Thailand melalui media sosial. Kerajaan Thailand mengeluarkan satu waran tangkap ke atasnya pada tahun 2019 dengan pertuduhan bahawa Wanchalearm Satsaksit telah melanggar undang-undang jenayah berkaitan komputer, kerana mengendalikan satu laman Facebook yang mengkritik kerajaan Thailand. Sehari sebelum diculik, Wanchalearm Satsaksit telah menerbitkan satu klip video yang mengkritik Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha.

Apa yang membimbangkan lagi adalah Kerajaan Kemboja mengatakan bahawa ia tidak tahu tentang penculikan tersebut dan tidak akan menjalankan siasatan. Respon sebegini menjadikan Kerajaan Kemboja seolah-olah bersubahat dalam penculikan Wanchalearm Satsaksit.

Sejak kudeta pada tahun 2014, Kerajaan Thailand telah cuba menangkap aktivis-aktivis pro-demokrasi yang melarikan diri ke negara-engara jiran. Kerajaan Thailand telah berulang kalinya menuntut pada kerajaan-kerajaan di negara Laos, Vietnam dan Kemboja untuk menyerahkan aktivis-aktivis Thailand yang berselidung di negara-negara tersebut. Sekurang-kurangnya 8 orang pelarian politik Thailand telah “dihilangkan” beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya mereka yang tinggal di Laos, dan mayat beberapa orang antaranya kemudian ditemui di Sungai Mekong. Penghilangan aktivis ini menimbulkan kesangsian bahawa mereka diculik oleh pihak yang berkaitan dengan Kerajaan Thailand.

Penculikan Wanchalearm Satsaksit turut menimbulkan kesangsian yang sama bahawa ia melibatkan pihak tentera Thailand. Sebelum ini, Wanchalearm Satsaksit sudah sering di bawah pantuan pegawai-pegawai kerajaan Thailand di Kemboja. Jika kesangsian dibuktikan adalah sahih, maka ia merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang serius dan boleh dianggap sebagai pencerobohan haram oleh jentera negara Thailand ke dalam wilayah negara berdaulat yang lain.

Parti Sosiali Malaysia (PSM) dan organisasi-organisasi kiri serantau menyatakan kebimbangan terhadap peristiwa penculikan Wanchalearm Satsaksit. PSM menyeru bahawa, “Kerajaan Kemboja harus bertindak segera dengan melancarkan siasatan ke atas kes penculikan Wanchalearm Satsaksit, mengesan kedudukannya dan memastikan keselamatannya.” PSM juga menggesa Kerajaan Thailand untuk menghentikan segala gangguan dan penindasan terhadap aktivis-aktivis pro-demokrasi dari negara itu.

2 thoughts on “Aktivis Thailand diculik di Kemboja

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *