Kematian George Floyd telah mencetuskan semula gelombang protes Black Lives Matter yang hebat di Amerika Syarikat; dan kini di Colombia, peristiwa kematian Javier Ordóñez, seorang peguam berumur 46 tahun dengan dua orang anak, yang berlaku pada 9 September 2020, telah mencetuskan gelombang protes jalanan yang paling hebat sejak gelombang kebangkitan rakyat di negara itu pada bulan November 2019.

Javier Ordóñez telah dikasari oleh anggota polis di Bogotà, ibu negara Colombia, pada 9 September 2020, dan mati selepas itu. Ordóñez telah diserang dengan senjata renjat oleh polis dan dibawa ke CAI, sejenis pondok polis di kawasan kejiranan. Ordóñez telah dipukul lagi oleh polis semasa di CAI sehingga tulangnya patah. Ordóñez meninggal dunia sejurus selepas dikasari polis.

Video yang merekodkan keganasan polis semasa menangkapnya telah menular secara luas. Selepas berita kematian Ordóñez tersebar, ribuan rakyat Colombia turun berprotes di Bogotá dan seluruh negara Colombia dengan seruan untuk menuntut keadilan untuk Ordóñez yang menjadi mangsa keganasan polis.

Protes membantah keganasan polis di Colombia telah dilayan dengan penindasan yang keras daripada pasukan keselamatan. Pihak polis melepaskan tembakan ke arah demonstran, memukul orang yang lalu di tempat demonstrasi, menangkap orang sesuka hati dan mendera warga awam. Terdapat banyak laporan mengenai gangguan dan ancaman terhadap pembela hak asasi manusia, wartawan dan demonstran. Terdapat juga laporan keganasan seksual oleh pegawai polis terhadap demonstran, sementara berlakunya beberapa kes penghilangan secara paksaan. Sekurang-kurangnya 13 orang telah dibunuh kerana reaksi ganas polis dalam mematahkan protes rakyat, lebih 400 orang telah dicederakan dengan lebih 65 orang dicederakan oleh senjata api, sementara ratusan orang ditahan sewenang-wenangnya.

Walaupun disekat oleh pihak berkuasa secara kekerasan, protes jalanan masih berterusan. Rakyat Colombia yang telah melawan jentera keganasan negara sekian lama, adalah begitu bersungguh-sungguh dalam menyuarakan bantahan mereka terhadap ketidakadilan. Tuntutan utama mereka yang turun berprotes di jalanan adalah untuk menegakkan keadilan. Mereka menuntut keadilan untuk Javier Ordóñez dan semua mangsa keganasan negara yang lain di Colombia, termasuk mereka yang dibunuh atau dicabuli hak asasi ketika berprotes menuntut kebertanggungjawaban polis.

Beberapa buah organisasi telah menggesa perletakan jawatan Carlos Holmes Trujillo sebagai Menteri Pertahanan Colombia. Trujillo telah menyeru untuk meningkatkan militarisasi pasukan keselamatan dan menyelia respon secara ganas daripada pihak berkuasa. Para demonstran juga membawa salah satu untutan utama yang dikemukakan semasa aksi mogok nasional yang tercetus pada 21 November 2019, iaitu pembubaran Skuadron Anti-Rusuhan Bergerak (ESMAD). ESMAD, sebuah unit khas polis Colombia yang ditubuhkan pada tahun 1999 atas alasan mengawal rusuhan, telah terlibat dalam banyak insiden pencabulan hak asasi manusia dan beberapa pembunuhan, termasuk pembunuhan Dilan Cruz pada 23 November 2020 ketika aksi mogok. Walau bagaimanapun, ESMAD hanya sebahagian daripada masalah sistemik yang lebih besar, yang memerlukan pembaharuan yang menyeluruh terhadap sistem kepolisan, malah ada yang menuntut pemansuhan polis.

Banyak aksi protes telah diadakan di sekitar pondok-pondok polis yang dikenali sebagai CAI. Banyak CAI telah dibakar atau dimusnahkan oleh demonstran, kerana pondok-pondok polis ini melambangkan peringatan tentang keganasan polis setiap hari. Terdapat banyak aduan mengenai perogolan, keganasan seksual, pemukulan, penghilangan dan pembunuhan di luar undang-undang yang dilakukan oleh polis Colombia di faksiliti CAI ini. Namun, demonstran bukan sahaja memusnahkan CAI yang menjadi simbol keganasan polis, malah ada banyak CAI yang dimusnahkan telah diubahsuai oleh komuniti setempat. Penduduk-penduduk tempatan dan aktivis-aktivis menghiaskan dan mentransformasikan pondok-pondok CAI ke dalam perpustakaan dan pusat kebudayaan komuniti. Ini merupakan satu tindakan kreatif untuk mengubah sebuah ruang pencabulan hak asasi kepada ruang pendidikan yang berfungsi untuk komuniti.

Pondok polis (CAI) ditukar menjadi perpustakaan komuniti.

Rakyat Colombia yang berprotes juga mengetengahkan persoalan perubahan struktur. Mereka menyoal tentang belanjawan negara Colombia yang menyalurkan banyak dana awam ke dalam ketenteraan sedangkan negara tersebut mengalami masalah ketidaksamarataan ekonomi dan tahap pengangguran yang amat tinggi. Rakyat Colombia juga mengalami masalah tidak dapat mengakses kemudahan asas seperti kesihatan, perumahan dan pendidikan, akibat daripada dasar pro-kapitalis yang diamalkan oleh kerajaan Colombia. Gerakan sosial di Colombia telah lama menyatakan bahawa kerajaan Colombia telah membelanjakan lebih banyak wang dalam perang ke atas rakyat, bukannya dalam menjamin kesejahteraan rakyat. Reaksi kerajaan Colombia yang menindas rakyat yang berprotes merupakan manifestasi golongan berkuasa yang sentiasa menindas dan melakukan perang ke atas rakyat.

Kemarahan rakyat Colombia terhadap keganasan negara Colombia bukannya hanya sekadar insiden keganasan polis yang menyebabkan kematian Javier Ordóñez baru-baru ini. Keganasan negara Colombia mempunyai sejarah yang panjang dan menanam kemarahan rakyat yang mendalam. Keganasan yang dilakukan oleh pihak kerajaan, kumpulan separa tentera dan pelaku jenayah yang berkaitan dengan golongan berkuasa telah meningkat dengan hebat beberapa tahun kebelakangan ini. Menurut laporan yang diterbitkan oleh INDEPAZ, antara bulan November 2016 hingga 14 Julai 2020, sebanyak 973 orang pemimpin masyarakat dan pembela hak asasi manusia telah dibunuh di Colombia. Ini merupakan satu angka yang amat membimbangkan.

Kerajaan Colombia yang merupakan sekutu rapat kepada kuasa imperialis Amerika Syarikat, tidak mendapat ancaman daripada kerajaan Amerika Syarikat kerana tindakan pencabulan hak asasi manusia yang serius di negara itu. Ini jelas menunjukkan hipokrasi kuasa imperialis Amerika Syarikat dalam usaha menampilkan dirinya sebagai “jaguh hak asasi manusia” di pentas dunia.  

3 thoughts on “Colombia: Protes tuntut keadilan untuk mangsa keganasan polis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *