Pada 9 September 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mendengar permohonan oleh pihak Bank Negara di bawah Aturan 33 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 untuk membicarakan sama ada Kod Etika Bank Negara selari dengan Perlembagaan Persekutuan atau tidak, dan adakah klausa-klausa yang digunakan untuk memecat Y. Kohila bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Hujah Bank Negara dibentangkan oleh peguam Steven Thiru, sementara aktivis Y. Kohila diwakili oleh peguam Lim Wei Jiet dan Bawani KS.

Kes ini didengar di hadapan Hakim Dato’ Ahmad Bache. Hakim meminta supaya kedua-dua pihak menyelesaikan isu di luar mahkamah jika boleh dan mengatakan bahawa kini adalah dalam keadaan COVID-19 dan memerlukan norma baru untuk menyelesaikan kes.

Sebelum itu, peguam pihak Bank Negara berhujah bahawa jika isu Perlembagaan ini dapat diputuskan dahulu oleh Hakim, maka masa mahkamah boleh dijimatkan sebanyak 50%. Peguam Bank Negara berkata bahawa jika isu ini dapat diselesaikan, maka mahkamah boleh terus pergi kepada isu pampasan dan sebagainya dan tidak perlu dibebankan dengan persoalan Perlembagaan.

Peguam Lim Wei Jit yang mewakili Kohila membalas hujah dengan berkata bahawa pihaknya tidak pernah mengatakan Kod Etika Bank Negara itu bercanggah dengan Perlembagaan, tetapi hujah pihaknya adalah lebih kepada cara pelaksanaan kod etika itu. Beliau juga mengatakan bahawa walaupun isu ini diputuskan, namun ia tidak akan menjimatkan masa mahkamah kerana ada 5 lagi isu yang masih perlu dibicarakan. Lim Wei Jit mengatakan bahawa Bank Negara hanya mempunyai andaian hipotesis dan cuba menyekat ruang Kohila untuk mengutarakan isu ini secara mendalam.

Hakim kemudiannya mengatakan bahawa akan memberikan keputusan pada 9 Oktober 2020 dengan permintaan sekali lagi kepada kedua-dua pihak untuk cuba menyelesaikan isu ini.

Kepimpinan Parti Sosialis Malaysia (PSM) turut hadir di mahkamah sebagai tanda solidariti kepada Kohila yang dimangsakan oleh Bank Negara kerana aktivismenya.

Latar belakang isu

Kohila Yanasekaran telah dipecat oleh Bank Negara Malaysia pada 19 Julai 2017. Beliau telah diarahkan untuk keluar dari premis Bank Negara dengan serta-merta dan diiringi pengawal keselamatan. Pihak Bank Negara telah melontarkan 3 pertuduhan yang tidak munasabah terhadap Kohila. Pertuduhan tersebut dipercayai berniat jahat untuk memecat Kohila.

Kohila telah berkhidmat di Bank Negara selama 12 tahun. Beliau memulakan kerjayanya di Bank Negara sebagai Eksekutif Kanan pada 15 Julai 2005. Sepanjang perkhidmatannya di Bank Negara, Kohila mempunyai rekod yang baik. Pada bulan Mei 2010, Kohila telah dinaikkan pangkat kepada Pengurus di Jabatan Muzium dan Galeri Seni Bank Negara. Antara tugasan penting Kohila adalah mengurus 3 galeri, iaitu Galeri Ekonomi, Galeri Kewangan Islam dan Galeri Bank Negara Malaysia. Beliau juga menjadi Pengurus Projek kepada pelbagai projek yang dijalankan di jabatannya. Kohila tidak pernah diambil tindakan untuk salah laku kerana dedikasi dalam kerjanya dan tiada isu mengenai prestasi kerja.

Sebelum Kohila bekerja dengan Bank Negara lagi, beliau sudah pun aktif dalam aktivisme sosial dan gerakan masyarakat akar umbi. Kohila ialah salah seorang aktivis Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) yang aktif dan mempunyai pengalaman dalam aktivisme selama lebih 20 tahun, iaitu sejak dari zaman universiti lagi. Beliau merupakan seorang aktivis sosial yang mempunyai rekod dalam mempertahankan hak asasi rakyat yang tertindas seperti pekerja ladang, peneroka bandar, pekerja kilang, Orang Asli dan sebagainya. Pada tahun 2010, beliau juga pernah menjadi salah seorang anggota dalam sekretariat SUARAM, sebuah badan hak asasi manusia yang terulung di Malaysia.

Namun, pihak Bank Negara telah memulakan beberapa tindakan untuk menyekat kebebasan asasi Kohila walaupun semua aktiviti peribadinya dilakukan di luar masa kerja dan langsung tidak ada satu bukti pun yang menunjukkan bahawa beliau membuat kerja-kerja ini semasa kerja atau menggunakan kedudukannya untuk menyerang atau mencemari imej Bank Negara.
Pada tahun 2011, semasa Himpunan BERSIH 2.0, Kohila telah diberi surat tunjuk sebab serta diadakan Siasatan Dalaman, hanya kerana beliau menyokong BERSIH 2.0. Namun, pada masa itu, beliau dilepaskan dengan amaran keras.

Pada 4 Mei 2017, Kohila telah diberi Surat Tunjuk Sebab oleh Bank Negara dengan 3 tuduhan:

i. Merayu sokongan untuk Parti Sosialis Malaysia (“PSM”) dan ahli PSM, iaitu Dr Nasir (Kota Damansara), Dr. Jeyakumar (Sungai Siput), Sarasvathy (Jelapang) dan Arutchelvan ( Semenyih), bagi tujuan bertanding di dalam Pilihanraya Umum ke-13 di bawah logo sendiri melalui satu kenyataan awam bertarikh 12 April 2013 yang bertajuk “Allow PSM To Contest Under Their Own Banner” yang ditulis dan diterbitkan di dalam laman sesawang Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) pada 12 April 2013.

ii. Merayu sokongan untuk Setiausaha Agong PSM, iaitu Arutchelvan, pada hari penamaan calon bagi tujuan bertanding di dalam Pilihanraya Umum ke-13 untuk kawasan Semenyih melalui satu kenyataan awam bertajuk “JERIT Supports Arul’s Candicacy in Semenyih: Urges Civil Society to Show Support on Nomination Day” yang ditulis dan diterbitkan di laman sesawang JERIT pada 17 April 2013.

iii. Berkelakuan tidak sewajarnya (befitting) dengan status selaku pegawai bank, iaitu dengan menyertai satu perhimpunan awam anjuran PSM yang berlangsung pada 1 Mei 2016 (Hari Buruh) bertema “Utamakan Pekerja, Selamatkan Malaysia”, di mana perhimpunan awam tersebut tidak memenuhi kehendak di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan juga memakai kemeja-T yang mempamerkan antara lainnya perkataan “BATAL GST” dan logo anti-GST semasa menyertai perhimpunan awam tersebut.

Prosiding Dalaman telah berlangsung pada 30 Mei, 31 Mei dan 2 Jun 2017. Dalam tempoh lebih kurang sebulan, pada 19 Julai 2017, Kohila telah menerima surat yang menyatakan bahawa beliau didapati bersalah dalam ketiga-tiga tuduhan tersebut dan beliau disuruh keluar dari premis Bank Negara dalam tempoh masa 1 jam sahaja. Rayuan telah dibuat ke atas keputusan Bank pada 3 Ogos 2017, di mana rayuan tersebut ditolak pada 5 September 2017.

Tindakan Bank Negara memecat Kohila merupakan salah guna kuasa untuk menyekat kebebasan asasi seseorang warganegara. Bank Negara memecat Kohila walaupun tiada apa-apa bukti yang menunjukkan bahawa Kohila menjalankan kegiatan aktivismenya pada waktu kerja atau menggunakan kedudukannya untuk menyerang atau mencemar imej Bank Negara atau tindakannya telah mendatangkan kesan buruk kepada Bank Negara.

Kebebasan berfikir, berhimpun dan mengeluarkan pandangan adalah hak asasi yang amat penting dalam proses demokrasi negara. Menghalang dan menyekat seseorang individu daripada melibatkan diri dalam aktiviti seperti ini pada masa lapang mereka merupakan satu pencabulan yang amat serius. Kohila telah memfailkan kes di mahkamah untuk mencabar pemecatannya oleh Bank Negara.

One thought on “Persoalan undang-undang: Adakah pemecatan Kohila bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *