20200718-89570-area-text-icons-computer-election-voting

oleh Nik Aziz Afiq Bin Abdul

Sidang Dewan Rakyat pada 14 Julai lalu menimbulkan satu isu yang hangat diperkatakan, iaitu berkenaan pilihanraya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin menjawab soalan di Parlimen dengan mengatakan bahawa idea pilihanraya tempatan tidak mendapat sokongan ketika berada dalam Pakatan Harapan (PH) dan tidak mendapat lampu hijau daripada Perdana Menteri ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pada 15 Julai, akhbar melaporkan bahawa UMNO dan PAS juga menentang sekeras-kerasnya cadangan itu walau berada dalam blok kerajaan yang sama dengan Zuraida.

Ketua Pemuda PAS Ir. Khairil Nizam mengatakan bahawa ia bukanlah agenda utama yang perlu didahulukan. Pengerusi UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar juga menolak cadangan itu kerana ia manifesto PH bukannya Perikatan Nasional (PN) dan berasa sedih kerana Zuraida memaklumkan Selangor dan Pulau Pinang akan menjadi negeri perintis untuk cadangan tersebut.

Kami Pemuda PSM, walaupun tidak menyebelahi mana-mana pihak baik PN atau PH, tetapi merasakan pilihanraya kerajaan tempatan merupakan satu keperluan mendesak yang perlu dilaksanakan segera demi kepentingan rakyat akar umbi.

Kami melihat ketika ini begitu banyak kepincangan dalam sistem perlantikan Ahli Majlis sedia ada. Amalan ketika ini adalah setiap parti yang menguasai Kerajaan Negeri akan mempunyai kuasa untuk melantik Ahli Majlis di setiap PBT.

Ini melahirkan Ahli-ahli Majlis yang tidak efisien dan gagal berfungsi dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat. Begitu banyak masalah tempatan yang berlaku berada di bawah bidang kuasa Ahli Majlis, namun beban ini terpaksa dipindahkan kepada wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri atau Parlimen. Sebagai contoh, isu longkang tersumbat, isu pungutan sampah yang tidak mengikut jadual, isu lesen penjaja kecil bagi gerai tepi jalan dan banyak lagi perkara yang boleh diselesaikan dengan peranan Ahli Majlis tanpa perlu meletakkannya ke bahu wakil rakyat DUN atau Parlimen.

Oleh kerana Ahli Majlis sekarang dilantik dan bukan dipilih rakyat, mereka melepaskan batuk di tangga dalam menjalankan tugas. Maka mereka bertindak sambil lewa kerana rakyat tidak boleh berbuat apa-apa sekiranya tidak berpuas hati dengan cara kerja mereka.

Kami percaya pada konsep demokrasi dari akar umbi, iaitu rakyat berhak memilih orang yang akan berkhidmat pada mereka dan orang yang sanggup memenuhi hasrat mereka. Dengan cara ini aduan-aduan rakyat yang berdepan karenah majlis PBT akan dapat didengari. Bahkan rancangan pembangunan setempat, belanjawan PBT dan pelbagai lagi perkara akan mendapat semak dan imbang daripada Ahli Majlis yang dipilih melalui pilihanraya PBT ini. Semak dan imbang ini amat penting dalam kelestarian pembangunan dan ia tidak berlaku buat masa ini apabila semua Ahli Majlis hanya mengangguk kepala pada parti yang melantiknya, bukan kepada rakyat.

Ini bermakna dengan mengembalikan pilihanraya PBT, rakyat dapat diperkasakan tanpa kekangan parti. Corak pembangunan setempat bukan lagi ditentukan melalui lantikan parti-parti yang memerintah, sebaliknya daripada wakil pilihan rakyat yang pelbagai.

BN dan PAS seharusnya melihat ini sebagai satu ruang yang menguntungkan kerana dengan pilihanraya PBT ini jugalah mereka dapat menempatkan Ahli Majlis mereka, terutama di negeri perintis Selangor dan Pulau Pinang, sekaligus membuatkan mereka dapat menunjukkan khidmat mereka dan memberikan keyakinan rakyat pada pilihanraya negeri dan persekutuan akan datang.

Cukup-cukuplah asyik mengulangi skrip lama dengan mengatakan jika pilihanraya PBT ini dilaksanakan nanti kerusi PBT akan dikuasai oleh kaum Cina dan insiden 13 Mei 1969 akan kembali berulang. Sudah separuh abad kita meninggalkan detik luka itu dan menyaksikan pembangunan bandar tidak lagi seperti dahulu yang hanya terfokus kepada kaum tertentu. Kemajmukan penduduk sudah banyak berubah berbanding 50 tahun dulu, maka tohmahan mengatakan hanya kaum tertentu akan mendapat manfaat daripada cadangan ini adalah tertolak sama sekali.

Amalan pilihanraya kerajaan tempatan adalah amalan demokrasi negara maju.

Usah menentang dan membantah sesuatu yang buatkan kita kembali mundur dan merompak demokrasi dari rakyat. Kami berharap cadangan ini dapat diteruskan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan menyokong sepenuhnya pemulihan pilihanraya kerajaan tempatan.

=========

Nik Aziz Afiq Bin Abdul ialah Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia (Pemuda PSM).

One thought on “Pilihanraya Kerajaan Tempatan satu keperluan! – Kembalikan demokrasi kepada akar umbi

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s