20200505-refugee

PSM Perak telah diminta untuk membantu dalam mengedarkan bungkusan bantuan makanan kepada masyarakat pelarian di sekitar kawasan negeri Perak. PSM telah menawarkan 87 bungkusan kepada Rohingya Society in Malaysia (RSM) untuk diedarkan dalam kalangan masyarakat Rohingya di Perak. Selepas itu, wakil RSM di Perak, Encik R, telah menceritakan kepada PSM Perak mengenai isu-isu yang dihadapi oleh kaum Rohingya di Malaysia. Berikut adalah sebahagian daripada perbualan tersebut.

S: PSM Perak

R: Encik R – wakil Rohingya Society in Malaysia (RSM)

**********

S: Apakah hasrat masyarakat Rohingya yang berada di Malaysia? Mahu balik ke wilayah Rakhine, Myanmar, atau terus duduk di Malaysia, ataupun berharap untuk pergi ke negara lain?

R: Semua manusia mahu hidup dengan selamat. Memang saya mahu duduk negara kami sendiri. Dulu di Rakhine kami boleh cari makan. Tiada masalah. Tetapi apabila mereka bunuh kami, maka kami terpaksa lari. Sangat bahaya untuk naik kapal. 10 orang naik, hanya 3 atau 4 orang dapat sampai ke Thailand atau Malaysia. Yang lain semuanya mati tengah laut.

S: Hanya 3 atau 4 daripadase tiap 10 orang?

R: Ya. Macam saya, saya naik kapal kerana saya takut dibunuh di Maynmar. Bapa saya, dua abang saya, dan kakak saya, semua telah dibunuh.

S: Mereka kena tembak?

R: Bukan. Mereka pakai parang. Budak kecil mereka campak hidup-hidup ke dalam rumah yang terbakar. Apa salah budak kecil hingga dibiarkan bakar macam itu? Saya ingat tidak mengapa jika mati di laut. Terus duduk di Rakhine pun mesti mati juga. 96 orang naik kapal itu. Kapal itu ambil 2 bulan lebih untuk sampai ke Thailand. Pemilik kapal itu seorang nelaya,n tetapi dia tidak tahu macam mana pergi ke Malaysia atau Thailand. Kami banyak berpusing di tengah laut. Adanya tempat kami dihalau oleh tentera laut Thailand. Makanan kami habis dalam dua minggu. Air pun kurang. Kapal itu kecil, tidak boleh bawa banyak barang makanan pun. Kami semua sangat kurus. Ada ramai yang mati dalam 2 bulan itu. Ada juga orang yang terjun ke laut kerana tidak dapat tahan. Akhirnya 21 orang sahaja sampai ke Thailand.

S: 21 daripada 96 orang?

R: Ya. Tentera laut Thailand membawa kami ke darat. Mereka hantar kami ke lokap. Kami diberi makanan dan minuman. Selepas satu minggu, kami dapat jalan sedikit. Mereka bawa kami ke sempadan Myanmar dan panggil kami balik ke Myanmar. Kami tidak tahu bahasa mereka. Mereka pun tidak faham percakapan kami. Selepas itu, satu ejen Myanmar datang mengambil kami. Kami minta dia bantu kami pergi ke Malaysia. Dia minta RM800 seorang. Tetapi kami tiada duit. Dia kata kerja untuk dia dulu. Dia suruh kami potong getah. Selepas 2 bulan, dia hantar kami ke sempadan Malaysia dekat Padang Besar. Itu waktu malam. Dia tunjukkan arah – sana tengok lampu-lampu. Itu Malaysia, kau pakai alat ini potong dawai dan masuk.

Kami pun pakai pemotong dawai dan masuk ke Malaysia. Kami tidak tahu apa akan terjadi. Kami tidak tahu sama ada polis Malaysia mahu tembak kami atau tidak. Daripada 21 orang antara kami, 11 orang telah berpisah dengan kumpulan saya. Pada pagi keesokannya, seorang Melayu lihat kami dalam kawasan kebun. Dia panggil orang kampung. Mereka mengepung kami. Kami pun tidak dapat bercakap dengan mereka. Kami tunjuk dengan isyarat tangan bahawa kami lapar dan mahu makan. Ada orang antara mereka yang mahu panggil polis. Tetapi juga ada orang yang bersimpati – yang cakap kami orang pelarian yang lari dari kekejaman. Mereka bawa kami balik ke kampung dan beri kami tempat duduk dan kerja. Saya pun mula belajar Bahasa Melayu.

Selepas dua bulan, imigresen datang tangkap kami semua. Kami dibawa ke Alor Setar. Mereka tidak pukul kami. Mungkin mereka maki kami, tetapi kami tidak faham banyak Bahasa Melayu. Saya dipenjarakan selama 6 bulan. Selepas itu mereka hantar saya ke Pusat Tahanan Imigresen. Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) datang melawat untuk temuduga kami. Tetapi tidak senang jumpa UNHCR. Pegawai imigresen hanya pilih 30 atau 40 orang untuk berjumpa dengan UNHCR setiap kali. Selepas 6 bulanm barulah saya ditemuduga. Dua bulan selepas itu, saya dapat surat UNHCR yang mengatakan bahawa saya seorang pelarian, dan saya dibenarkan keluar dari Pusat Tahanan Imigresen. Selepas beberapa bulan kemudian, saya dipanggil untuk satu lagi temuduga dan diberi kad UNHCR.

Saya telah pergi ke Ipoh selepas keluar Pusat Imigresen. Saya dapat kerja kontrak. Saya simpan duit dan hantar kepada keluarga saya di Rakhine. Saya ada 5 orang anak di situ. Pada tahun 2012, pembunuhan bermula sekali lagi di Rakhine. Anak bongsu saya yang masih dalam kandungan apabila saya naik kapal beritahu saya – dia akan mati sebelum dia nampak ayahnya. Saya cakap pada isteri, naik kapal dan datang ke Malaysia. Tidak apa jika mati di laut. Jika terus duduk di Rakhine sudah tentu akan dibunuh.

Kapal isteri dan anak saya sampai ke Thailand dalam tempoh masa 2 minggu. Mereka dibawa ke dalam hutan oleh ejen. Banyak orang dalam hutan. Ejen menelefon saya dan meminta RM12,000 untuk membawa keluarga saya ke Malaysia. Saya cakap saya miskin, tetapi dia tidak mahu dengar. Dia cakap mesti bayar jika mahu dapatkan semula ahli keluarga.

Saya ada lebih kurang RM 1,800. Saya beritahu bos saya. Dia orang India. Dia pun bukan orang yang sangat kaya. Bos berikan saya RM4,000. Selepas itu, kawan-kawan Rohingya di tempat kerja menyumbangkan separuh gaji mereka. Saya dapat kumpulkan RM9,000. Saya telefon agen, tetapi dia kata mesti bayar dia RM 12,000. Saya pun cari-cari lagi dan akhirnya dapat jumlah itu. Kemudian ejen cakap pindahkan duit itu melalui bank. Bos saya cakap pindahkan wang setengah dulu. Apabila keluarga sampai, baru pindahkan wang baki. Ejen itu tidak mahu terima. Akhirnya, saya pindahkan RM10,000 melalui bank.

Selepas beberapa hari, saya dapat panggilan daripada ejen. Dia panggil saya datang ke Butterworth,  dekat dengan pasar. Dia kata keluarga saya tunggu di situ. Dia pun benarkan saya cakap dengan isteri. Bos saya membawa saya ke Butterworth dan kami membawa keluarga saya balik ke Ipoh.

Sekarang saya kerja kontrak bikin rumah. Kad UNHCR tidak memberi saya hak bekerja. Ada banyak bos yang tidak membayar gaji sepenuhnya. Merika hanya bayar sikit-sikit, tetapi apa yang kami boleh buat? Kami kerja pun salah. Kena terima juga. Macam saya, sudah tidak bayar sewa rumah untuk 4 bulan. Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami tidak dapat kerja. Tuan rumah yang saya sewa itu seorang Cina. Dia cakap dia faham. Dia panggil saya cari duit dan bayar sewa itu. Tetapi ada juga tuan rumah yang terus halau keluarga Rohingya yang tidak bayar sewa untuk beberapa bulan. Saya tahu 3 keluarga di mana suami telah ditangkap kerana langgar syarat PKP. Dia keluar rumah cari kerja kerana tiada makanan di rumah. Sekarang dalam lokap Imigresen. Isteri dan keluarganya hidup dalan keadaan sangat susah.

S: Isteri tidak dapat kerja?

R: Masyarakat kami tidak biarkan isteri kerja. Dia jaga anak dan rumah. Suami yang kerja. Itu budaya kami dalam masyarakat Rohingya. Sekarang ini, kehidupan 3 keluarga itu sangat susah. Kami di RSM sedang cuba mengutip sedikit wang untuk membantu mereka, tetapi tidak senang.

Saya sangat terima kasih pada Encik kerana datang mendengar masalah masyarakat Rohingya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *