20200121 - climate krisis

oleh Sharan Raj

Krisis COVID-19 telah membuktikan bahawa dengan tergendalanya aktiviti ekonomi, pengunaan  bahan api fosil telah kurang dengan drastik. Fenomena ini telah membenarkan Bumi untuk sembuh seketika daripada krisis iklim dan pencemaran kronik.

Harga bahan api fosil yang tidak menentu, berkemampuan memberikan kejutan ekonomi yang sangat teruk. Pembakaran bahan api fosil telah menyebabkan perubahan iklim yang drastik sehingga menjejaskan hasil pertanian dan perikanan negara dan dunia.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mengisytiharkan darurat iklim supaya memfokuskan sumber negara daripada membina semula negara daripada krisis COVID-19 dan krisis iklim secara serentak. Memandangkan pemodal dan pemilik kilang sedang berpindah keluar dari Malaysia ke negara lain demi mengekalkan kos rendah dan polisi gaji murah, ramai rakyat Malaysia akan kehilangan kerja. Maka mengharapkan sektor swasta untuk menyediakan peluang pekerjaan adalah mustahil pada ketika kemelesetan ekonomi. Tambahan pula, golongan kapitalis kurang cenderung untuk melabur dalam sektor yang keuntungannya tidak terjamin. Dalam keadaan begini, pihak Kerajaanlah yang terpaksa membuka dan melabur dalam sektor-sektor baru untuk mengembangkan ekonomi ke arah teknologi hijau dan mampan.

Tenaga Boleh Baharui (RE) dan kecekapan tenaga (EE) berupaya mewujudkan 5.7 kali ganda peluang pekerjaan berbanding industri bahan api fosil atau petroleum (U.K. Energy Research Center, 2014).

Hampir 30 buah negara telah mengisytihar darurat iklim, termasuk Kesatuan Eropah, Bangladesh, Maldives, dan Argentina. Pengisytiharan darurat iklim membenarkan penyelarasan dasar pengurangan penggunaan bahan api fosil. Maka Kerajaan harus menwujudkan satu agenda darurat Iklim, agar jentera kerajaan dapat melakukan peralihan paradigma ke arah ekonomi hujau sekaligus menjana peluang kerja kepada rakyat.

==========

M. Sharan Raj ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *