Kematian seorang warga Amerika Afrika, George Floyd, selepas dilayan secara keras oleh pegawai polis di bandar Minneapolis pada 25 Mei 2020, mencetuskan gelombang protes besar-besaran terbaru, bermula dari kawasan metropolitan Minneapolis-Saint Paul, negeri Minnesota, dan kemudiannya merebak ke seluruh negara Amerika Syarikat (AS). Protes turut tercetus di banyak tempat di seluruh dunia, sebagai solidariti kepada protes di AS di samping mengetengahkan isu-isu berkaitan dengan keganasan polis atau rasisme di negara masing-masing.
Walaupun pegawai polis Minneapolis yang menyebabkan kematian Floyd, Derek Chauvin, telah didakwa di mahkamah dengan pertuduhan pembunuhan darjah dua, sementara 3 orang lagi pegawai polis yang terlibat dalam kejadian kematian Floyd turut didakwa dengan pertuduhan membantu dan bersubahat dalam pembunuhan; namun ini masih tidak dapat meredakan gelombang protes, kerana ketidakpuasan hati yang ditunjukkan dalam aksi protes jalanan di AS merupakan manifestasi bantahan masyarakat yang berpanjangan terhadap masalah sistemik yang telah lama wujud di negara yang kononnya “bumi yang bebas” (land of the free).
Protes yang tercetus secara spontan di AS berikutan kematian George Floyd, dan kadang-kadang bertukar menjadi rusuhan, menjana tenaga baru kepada gerakan Black Lives Matter (Nyawa Orang Kulit Hitam Penting) yang berkempen untuk menentang keganasan dan rasisme sistemik terhadap masyarakat Amerika Afrika.
Keganasan polis dan penggunaan kekerasan yang meragut nyawa oleh pegawai penguatkuasa di AS, khususnya terhadap warga Amerika Afrika di negara itu, merupakan satu masalah yang menghantui AS berdekad-dekad lamanya, hasil daripada sejarah penindasan terhadap hamba abdi kulit hitam sejak awal penubuhan negara AS. Keganasan pihak berkuasa berkaitan dengan perkauman di AS, pernah mencetuskan gelombang protes dan rusuhan yang hebat sebelum ini, seperti Rusuhan Watts di Los Angeles pada tahun 1965, Rusuhan West Side di Chicago pada tahun 1966, gelombang rusuhan “Musim Panas Panjang, Panas” pada tahun 1967, gelombang rusuhan berikutan pembunuhan Martin Luther King Jr. pada tahun 1968, Rusuhan Miami 1980, Rusuhan Los Angeles tahun 1992, dan Rusuhan Ferguson di negeri Missouri pada tahun 2014. Peristiwa kebangkitan gelombang protes besar-besaran yang baru pada tahun 2020 ini mengetengah semula masalah lama yang belum dapat diselesaikan sehingga kini.
Protes terbaru ini bermula di bandar Minneapolis sehari selepas kematian Floyd, kemudian timbulnya pertempuran jalanan antara demonstran dan polis, sehingga demonstran menawan bangunan ibupejabat polis daerah di Minneapolis untuk seketika. Bandar-bandar lain di AS yang lain turut tercetus aksi protes, kebanyakannya diadakan secara aman, dan ada sebahagian bertukar menjadi rusuhan dan berlaku pertempuran dengan polis. Pada awal bulan Jun, protes telah berlangsung di kesemua 50 buah negeri di dalam negara AS. Sekurang-kurangnya 200 buah bandar di AS mengenakan perintah kurung untuk menghadapi gelombang protes ini. Ribuan anggota Pengawal Nasional telah dikerahkan ke Washington D.C. dan lebih 27 buah negeri untuk mengawal keadaan.
Lebih 11,000 orang telah ditangkap di seluruh AS semasa protes, sementara pihak polis sering menggunakan keganasan dalam menangani protes.
Sehingga 8 Jun 2020, dilaporkan sekurang-kurangnya 20 orang mati semasa berlakunya protes, antara sebab kematian termasuk tembakan daripada polis dan juga keganasan daripada segelintir kecil perusuh. Terdapat banyak laporan yang menyatakan bahawa pihak polis bertindak secara agresif dan menggunakan kekerasan yang keterlaluan terhadap demonstran, termasuk menyerang demonstran dengan belantan, gas pemedih mata, penyembur lada dan peluru getah, tanpa sebarang amaran. Wartawan turut menjadi mangsa keganasan polis.
Presiden AS, Donald Trump, cuba mencari kambing hitam untuk keadaan huru-hara di AS dan mengalihkan perhatian orang ramai daripada kegagalannya dalam menangani penularan wabak COVID-19. Donald Trump cuba menyalahkan gerakan seperti Antifa, sebagai dalang di sebalik rusuhan, dan mengugut untuk menyenaraikan Antifa sebagai “kumpulan pengganas”.
Satu tinjauan pendapat dalam kalangan rakyat AS yang diterbitkan pada 2 Jun 2020 menunjukkan bahawa 64% responden bersimpati dengan mereka yang sedang berprotes, sementara 55% responden tidak bersetuju dengan cara Trump menangani protes ini. Ketidakpuasan hati rakyat AS terhadap Donald Trump ini sedang menggugat peluang Trump untuk mempertahankan kuasa pentadbirannya dalam Pilihanraya Presiden AS yang bakal diadakan pada bulan November 2020. Trump cuba memperkukuhkan sokongan kepadanya melalui cara mengapi-apikan sentimen kebencian kepada masyarakat yang terpinggir dan mencetuskan ketegangan politik di peringkat antarabangsa khususnya konflik dengan negara China, untuk mengalihkan perhatian orang ramai daripada kelemahan pentadbirannya dan terus melindungi kepentingan kelas pemerintah AS.
Gelombang protes besar-besaran yang melanda seluruh AS terbaru ini, mencerminkan masalah serius yang wujud dalam masyarakat AS, dengan ketidakadilan sosial, amalan perkauman sistematik, keganasan penguasa dan sebagainya masih begitu ketara di dalam negara yang paling kaya di muka bumi hari ini. Perjuangan ini pasti akan berterusan selagi masih wujudnya ketidakadilan sosial dan sistem pemerintahan yang menindas rakyat daripada pelbagai latar belakang budaya.
7 thoughts on “AS: Gelombang protes hebat menentang keganasan polis dan rasisme”