oleh Nik Aziz Afiq

Pada 3 April lalu, saya dan rakan-rakan sekolah lama saya di Semenyih berpeluang menyertai sebuah misi bantuan kemanusiaan untuk membantu mereka yang terputus bekalan makanan. Sedikit kelainan dalam misi ini ialah ia bukan menyasarkan warga tempatan, sebaliknya para pekerja dan mahasiswa warga Indonesia.

Mungkin ada yang tertanya apa perlunya dibantu warga asing? Sedangkan rakyat tempatan sendiri ramai juga yang dalam kesusahan?

Sebenarnya bagi kami, sepertimana COVID-19 menyerang setiap orang tanpa kira bangsa, sempadan dan kerakyatan, begitulah juga kita perlu membantu siapa pun yang sedang berdepan masa getir tanpa mengira soal kewarganegaraan.

Bezanya untuk rakyat negara kita ada jabatan khas yang membantu, ada pelbagai insentif diberikan untuk meringankan sedikit beban. Tetapi bagi para pekerja asing, mereka yang selalu dipinggirkan sebelum ini menjadi semakin terpinggir lagi.

Begitu ramai pekerja asing yang sebelum ini diperas oleh majikan, menerima gaji rendah, bekerja bebelas jam sehari, diberikan tempat tinggal yang tidak setaraf dengan maruah seorang manusia dan macam-macam lagi dugaan. Paling menyakitkan apabila bekerja dengan gaji harian.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini, mereka yang bekerja dengan gaji harian amatlah terkesan teruk kerana tidak dapat bekerja dan membuat penghasilan. Apa tergamak kita biarkan mereka kelaparan dan disisihkan hanya kerana nama kerakyatan?

Kami bertolak dari Semenyih sekitar jam 10 pagi dan mengambil saudara Adi dari UKM. Adi merupakan mahasiswa Sarjana Kajian Etnik yang berasal dari Lampung, Indonesia. Melalui Adi jugalah kami diberi peluang ini untuk turut serta menyumbang tenaga sekaligus berkolaborasi dengan Komite Nasional Pemuda Indonesia (KNPI).

Kami meluncur sederhana laju melalui jalanraya lengang dari Bangi ke Chow Kit, Kuala Lumpur, iaitu lokasi barangan bantuan dikumpulkan sebelum diagihkan. Melepasi dua sekatan jalanraya dan setelah menunjukkan surat rasmi daripada kedutaan, kami dibenarkan meneruskan perjalanan.

Sepanjang perjalanan, saudara Adi yang ramah berkongsi pelbagai cerita duka tentang nasib pekerja imigran. Beliau sedaya upaya menyantuni siapapun yang memerlukan dalam kawasan terdekat dengan kampusnya bahkan berkali-kali menzahirkan simpati kepada pekerja Bangladesh yang baginya lebih teruji dan kesusahan berbanding pekerja dari negaranya.

Kita selalu ditanam sangkaan buruk bahawa pekerja asing ini kelas kedua, mereka datang sini untuk mencuri rezeki kita, mencuri pekerjaan, mencuri ekonomi dan kurang taraf tamadun. Kita lupa bahawa mereka juga merupakan penyumbang kepada ekonomi negara. Kita lupa mereka juga seorang ayah, seorang ibu, seorang anak, seorang abang kakak adik yang mahu mencari rezeki untuk menyara dan membantu keluarga.

Mereka bukan anak keparat bangsawan politik yang lahir atas timbunan duit rasuah, yang di instagramnya sentiasa bermewah-mewah tanpa perlu bekerja. Mereka berusaha dengan segenap tenaga untuk mencapai masa depan yang lebih baik.

Apakah kita lupa rakyat kita sendiri juga begitu ramai mencari rezeki di luar negara seperti Singapura dan Australia? Apakah kita tidak kisah jika rakyat kita dipinggirkan di sana seperti apa yang kita lakukan pada pekerja asing di sini?

Sampai di Chow Kit, kami bantu memunggah lebih 1,000 kampit beras dan pelbagai barangan dapur kering. Agak terkejut kerana bantuan ini rupanya disumbangkan melalui wang peribadi Tan Sri Annuar Musa, Menteri Wilayah Persekutuan. Ini adalah satu langkah baik yang harus dipuji.

Kami kemudian bertolak ke kawasan sekitar UKM/Bangi untuk agihkan lebih kurang 30 beg bantuan. Melalui panduan dan senarai Adi, kami berjaya ke 4 lokasi yang menempatkan pekerja dan pelajar dari Indonesia.

Tersentuh hati apabila melihat rata-rata tinggal dalam rumah sederhana dan kecil  yang sesak dihuni 15 ke 30 orang satu rumah bagi menampung sewa yang agak tinggi. Lagi mengharukan ada pekerja-pekerja yang dilihat sangat muda, muda sehingga terasa mahu suruh kembali belajar di sekolah! Tetapi apakan daya, pengorbanan perlu dilakukan. Ada ibu ayah di kampung yang mungkin uzur dan perlukan duit membeli ubatan.

Agak tersentap apabila Adi berterus terang dengan mereka bahawa bantuan ini bukan dari kedutaan tetapi dari seorang Menteri Malaysia. Mereka juga terkejut. Adi berkali-kali meluah rasa kesalnya kepada pihak atasan kedutaan yang lambat bertindak dalam menjaga kebajikan mereka. Oleh kerana PKP dan situasi gawat seluruh dunia, banyak kedutaan tidak dapat beroperasi sehingga warganya agak terabai.

Adi juga berulangkali berpesan untuk para pekerja lebih prihatin pada tahap kesihatan masing-masing. Memujuk mereka agar tidak takut membuat pemeriksaan jika terdapat simptom dengan janji mereka tidak akan ditangkap imigresen dan sebagainya. Mesej ini penting kerana dengan kepadatan penghuni misalnya, virus ini boleh lebih memudaratkan jika mereka enggan diperiksa dan melaporkan kepada pihak berkuasa kesihatan.

20200407 - nik 01

Kenangan cukup indah apabila lihat senyuman kelegaan di wajah para penerima. Dengan santun mereka memberikan layanan bahkan bersusah payah menyediakan minuman dan memberikan bekal biskut supaya kami tidak keletihan meneruskan perjalanan walau ditolak berkali-kali. Agak kelakar juga, kami sampaikan bantuan makanan tapi kami pula diberi bekal makanan!

Setelah hampir 10 ke 11 jam, kami menamatkan misi yang disertai 7 orang kawan termasuk Adi dan saya menggunakan 3 buah kereta ini dengan rasa syukur dan penuh keinsafan.

Ketika ujian sebegini hebat melanda, ramai orang berasa perlu untuk memikirkan kelangsungan hidup sendiri sahaja. Lihatlah pembelian panik yang berlaku sebelum ini. Kita lupa kita perlu buang sifat pentingkan diri, perlu berkongsi, perlu mengambil sekadar yang perlu. Semakin kita membuang nilai kemasyarakatan, semakin kita akan merana dengan akibatnya nanti.

Lihatlah jenayah yang semakin menjadi-jadi. Ini adalah buah dari sifat individualistik dan buah dari keterdesakan akibat dipinggirkan daripada masyarakat. Pengagihan ekonomi yang berat sebelah sebelum ini membuatkan kita rasa terasing dan terpisah antara satu sama lain.

Ini masanya kita perlu eratkan lagi persaudaraan, bersatu sebagai bangsa manusia. Ketika wabak ini berakhir nanti, kita mahu melihat lahirnya masyarakat yang bersatu hati seperti pepatah Melayu “hati gajah sama dilapah, hati nyamuk sama dicicah” bukannya “seperti enau dalam belukar, lepaskan pucuk masing-masing”.

20200407 - nik

==========

Nik Aziz Afiq bin Abdul ialah Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia (Pemuda PSM).

One thought on “Catatan COVID-19: Bagaimana nasib pekerja asing?

  1. Salam sejahtera. Saya rasa terharu dan berterimakasih atas usaha tuan – tuan mengambil berat atas para pekerja asing khususnya yang dari lndonesia, dengan menghulurkan bantuan kepada mereka. Sungguh ianya suatu perbuatan yang amat terpuji dan kiranya Tuhan membalaskan yang baik kepada tuan-tuan. Saya juga mahu berkongsi sedikit kepada tuan-tuan mengenai segolongan warga asing yang “terpaksa” harus tinggal di negara ini. Mereka adalah para janda kepada warganegara. Kata janda di sini ialah mereka yang kematian suami atau yang sudah bercerai. Jikalau mereka ada anak yang berstatus warganegara, niscaya mereka akan mendapatkan visa janda/balu kepada warganegara yang boleh tinggal di sini dan boleh diperbaharui setiap tahun. Mereka boleh memohon kebenaran bekerja untuk menyara hidup mereka dan anak-anak mereka. Ada juga setelah sekian lama, mereka mendapatkan pas kediaman atau pass resident selama 5 tahun dan boleh bekerja dengan lebih bebas. Namun hakikatnya mereka adalah pekerja asing juga dan peran mereka membesarkan anak-anak warganegara malaysia sering terlepas dari pemerhatian. Mereka tidak tinggal berkelompok dengan pekerja asing lain, melainkan berbaur dengan penduduk tempatan, tinggal di rumah mendiang suami atau rumah sewa. Bila sekarang ini kita berhadapan dengan covid19, nasib mereka..yah saya tak dapat meneruskan kata-kata. Semoga suatu hari nasib mereka terbelakan . Sekian perkongsian saya, mohon maaf bila ada kata ataupun budi bahasa yang kurang berkenan. Terimakasih..

    Like

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s