20200407 - EUsQdB1WkAAcNAZ-1400x933

Helin Bölek, seorang pemuzik berhaluan kiri di Turki, telah meninggal dunia pada 3 April 2020, selepas bermogok lapar selama 288 hari. Helin Bölek terkorban dalam perjuangan mempertahankan hak untuk kebebasan menyanyi! Pemuzik muda yang baru berumur 28 tahun ini merupakan mangsa terbaru kezaliman pemerintahan Recep Tayyip Erdoğan di Turki.

Helin Bölek ialah anggota kepada “Grup Yorum”, sebuah kumpulan muzik berhaluan kiri yang popular di Turki. Grup Yorum yang ditubuhkan sejak tahun 1985, mendapat inspirasi daripada gerakan “Lagu Baru” (Nueva Cancion) dari Amerika Latin. Kumpulan muzik ini menggabungkan muzik rakyat Turki dan Kurdistan dengan perspektif politik kiri, untuk menghasilkan lagu-lagu progresif yang anti-kapitalisme, anti-imperialisme dan mengkritik dasar kerajaan Turki yang menindas rakyat miskin, seperti mengusir penduduk miskin secara paksa untuk memberi laluan kepada pembinaan bangunan pencakar langit.

Helin Bölek bersama dengan empat orang anggota Grup Yorum yang lain, telah melancarkan mogok lapar pada bulan Jun 2019, ketika kelima-lima orang pemuzik tersebut masih berada dalam penjara, untuk memprotes terhadap penindasan yang berlarutan untuk beberapa tahun oleh Kerajaan Turki terhadap Grup Yorum. Tuntutan aksi mogok lapar oleh tahanan politik daripada Grup Yorum termasuk:

  • Menghentikan serbuan ke atas Pusat Kebudayaan İdil (İdil Kültür Merkezi, sebuah pusat kebudayaan yang diuruskan oleh beberapa orang anggota Grup Yorum yang terletak di kawasan Okmeydanı, Istanbul);
  • Membatalkan larangan terhadap penganjuran konsert oleh Grup Yorum;
  • Membebaskan semua anggota kumpulan muzik yang ditahan;
  • Membatalkan waran tangkapan ke atas anggota kumpulan muzik yang lain;
  • Menggugurkan pendakwaan ke atas anggota-anggota Grup Yorum.

Helin Bölek dan Bahar Kurt yang merupakan anggota Grup Yorum yang turut bermogok lapar, telah dibebaskan pada bulan November 2019, menandakan satu kemenangan kecil untuk aksi mogok lapar mereka. Namun, Helin Bölek dan Bahar Kurt meneruskan mogok lapar mereka untuk menuntut pembebasan semua anggota kumpulan muzik Grup Yorum yang ditahan dan pembatalan larangan yang menghalang Grup Yorum daripada membuat persembahan. Seorang lagi pemuzik yang ditahan, İbrahim Gökçek, dibebaskan pada 25 Februari 2020, tetapi juga meneruskan mogok laparnya.

Pada waktu malam 11 Mac 2020, “Rumah Penentangan” di mana Helin dan İbrahim berada untuk meneruskan mogok lapar mereka, telah diserbu oleh pasukan tindakan khas polis SWAT dan ejen polis politik. Mereka berdua diculik oleh polis dan dibawa ke sebuah hospital di daerah Umraniye yang terletak di bahagian timur Istanbul. Mereka berdua ditahan di hospital di Umraniye untuk seminggu, selepas Mahkamah Daerah Istanbul mengeluarkan satu perintah berasaskan permohonan yang dikemukakan oleh Kementerian Dalaman Turki untuk “merawat” mereka secara paksa di hospital. “Rawatan perubatan” secara paksa yang melibatkan penyuapan makanan secara paksa, sebaliknya merupakan satu tindakan yang membahayakan lagi kesihatan dan nyawa mereka yang sudah menjadi semakin lemah kerana mogok lapar. Helin dan İbrahim dibebaskan seminggu selepas itu apabila Mahkamah Rayuan Istabul membatalkan keputusan Mahkamah Daerah sebelum itu.

Helin Bölek telah meneruskan mogok lapar sehingga menghembuskan nafas terakhirnya pada 3 April 2020 di “Rumah Penentangan”.

20200407 - 20200404-20200404-ist-04-04-2020-helin-bolek-cenaze-mudahale-gozalti14-jpgb6898b-image-jpg7435af-image

Perarakan untuk pengembumian Helin Bölek pada 4 April 2020 disertai oleh ramai orang, tetapi polis Turki telah menghalang perarakan yang membawa jenazah Helin ke tempat pengembumian. Polis menyerang orang ramai yang berhimpun dan menangkap beberapa orang. Jenazah Helin dibawa oleh polis ke tanah perkuburan.

Siapa Helin Bölek?

Helin Bölek mula terlibat dalam aktivisme politik kiri dengan menyertai perjuangan anak muda untuk pendidikan percuma di kampung halamannya, Çanakkale yang terletak di bahagian barat Turki. Beliau kemudiannya menjadi salah seorang penyanyi muda yang dididik oleh kumpulan koir Grup Yorum. Pada musim panas tahun 2014, Helin Bölek bersama dengan aktivis kiri yang lain dari Turki, telah mengambil bahagian dalam kempen “Perisai Manusia” yang bertujuan untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin melawan rejim Zionis Israel.

20200407 - EUrk-Kz-KUMAIx-Mbk

Helin Bölek menyertai Grup Yorum secara rasminya pada tahun 2016, dan mula mengambil bahagian dalam konsert kumpulan muzik tersebut. Tidak lama selepas Helin menyertai Grup Yorum, beliau telah ditahan untuk kali pertamanya semasa satu operasi polis yang menyerbu Pusat Kebudayaan İdil pada bulan November 2016. Sejak itu, Helin Bölek telah ditahan beberapa kali.

Grup Yorum telah menjadi sasaran gangguan dan penindasan pihak berkuasa kerana politik kirinya yang memperjuangkan pembebasan rakyat miskin di Turki. Kerajaan Turki sering menuduh Grup Yorum berhubungkait dengan “Fron-Parti Pembebasan Rakyat Revolusioner” (DHKP-C), sebuah kumpulan militan Marxis-Leninis yang anti-NATO dan menganggap Kerajaan Turki ialah boneka imperialis barat, yang dilabel sebagai kumpulan pengganas oleh Kerajaan Turki, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah. Namun, Grup Yorum tidak pernah bersekutu dengan mana-mana kumpulan politik kiri, termasuk DHKP-C yang diharamkan oleh Kerajaan Turki. Kerajaan Turki, khususnya sejak Erdoğan berkuasa, tidak penah menghentikan penindasan politik ke atas kumpulan Grup Yorum. Ramai dalam kalangan anggota Grup Yorum telah ditahan dan didakwa sepanjang lebih tiga dekad kewujudannya. Album muzik keluaran Grup Yorum pernah disita polis dan konsert mereka diharamkan. Walaupun begitu, Grup Yorum merupakan salah sebuah kumpulan muzik yang paling laris jualan albumnya dalam sejarah Turki, dan konsertnya dihadiri puluhan ribu malah ratusan ribu peminat.

Grup Yorum telah dilarang oleh Kerajaan Turki untuk mengadakan persembahan terbuka di negara itu sejak tahun 2016.

Helin Bölek telah mendedikasikan zaman mudanya malah hayatnya yang pendek ini kepada perjuangan untuk kemanusiaan, kebebasan, demokrasi dan keadilan sosial. Beliau mengorbankan nyawanya demi perjuangan ini, tidak pernah menyerah kalah dan tidak pernah mengkhianati idea murninya, sampai penghujung hayatnya.

Namun, Helin Bölek bukannya keseorangan dalam perjuangannya, begitu juga dengan Grup Yorum yang sering ditindas oleh pemerintahan oligarki Turki. Kedua-dua ibu bapa Helin Bölek dan rakan seperjuangannya telah menemaninya dalam proses perjuangan ini. Aksi-aksi solidariti yang diadakan di Turki dan Eropah, telah membawa kepada perhatian umum tentang mogok lapar Grup Yorum dan tuntutannya. Perjuangan Grup Yorum telah mendapat sokongan daripada hampir semua pertubuhan berhaluan kiri di Turki yang terdiri daripada pelbagai aliran, dan juga gerakan nasionalis Kurdistan. Ramai wartawan, pemuzik dan golongan intelek telah menyuarakan sokongan mereka kepada tuntutan Grup Yorum.

Pemergian Helin Bölek mengingatkan rakyat sedunia tentang kezaliman Kerajaan Turki, dan pengorbanannya akan terus menjadi daya penggerak untuk perjuangan pembebasan masyarakat, sama ada di Turki ataupun tempat-tempat lain di dunia.

Tiada lagu yang menyanyikan pembebasan boleh dipadamkan! Tiada suara yang menegakkan keadilan boleh dilenyapkan!

*********

https://www.youtube.com/watch?v=QU2vYzUu7bw

Grup Yorum menyanyikan lagu “Bella Ciao” dalam konsert di Istanbul.

*********

Rakan seperjuangan Helin Bölek dalam Grup Yorum, Ibrahim Gökçek, dan Mustafa Koçak yang masih dalam penjara, masih meneruskan mogok lapar mereka, dan berada di ambang menemui nasib seperti Helin Bölek…

ANF Images
Ibrahim Gökçek yang masih bermogok lapar memberi penghormatan terakhir kepada Helin Bölek pada hari pengebumiannya.

Disebabkan oleh krisis COVID-19, Kerajaan Turki telah mengumumkan rancangan untuk menggantikan pemenjaraan dengan cara alternatif seperti pengampunan untuk pembebasan awal atau penahanan di rumah, yang melibatkan lebih 100,000 orang banduan. Langkah ini selari dengan seruan Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu baru-baru ini. Ahli-ahli Parlimen Eropah daripada parti-parti yang bergabung dalam “Kiri Bersatu Eropah / Kiri Hijau Nordik” (GUE/NGL) telah menggesa Kerajaan Turki supaya membebaskan semua orang yang ditahan hanya kerana menyuarakan kritikan atau pandangan politik yang berbeza dengan pihak pemerintah di Turki.

Tandatangani petisyen online menyokong tuntutan Grup Yorum di sini.

One thought on “Turki: Penyanyi Kiri meninggal dunia selepas mogok lapar 288 hari, demi hak untuk menyanyi secara bebas

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *