20200223 - coronavirus-2

oleh Sivaranjani Manickam

Ketika rakyat biasa yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan tindakan tegas, sehingga ditahan, diheret ke mahkamah dan dipenjarakan, kenapa pula pihak majikan dibenarkan untuk terus melanggar arahan PKP dan menganiayai pekerja?

Sepanjang 15 hari yang lalu ini, Parti Sosialis Malaysia (PSM) sedang membantu pekerja-pekerja di Malaysia dengan menjawab soalan-soalan yang dikemukakan mereka melalui talian hotline kami.  Lebih 250 panggilan telah direkod oleh semua penyelaras kami.

Pada peringkat awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami dibanjiri dengan aduan daripada pekerja-pekerja tentang syarikat-syarkat yang gagal mematuhi garis panduan yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan. Antara aduan yang diterima oleh PSM ialah:

a. Syarikat yang bukan perkhidmatanatau pembuatan yang penting (essential) beroperasi secara “curi-curi” tanpa pengetahuan pihak berkuasa.

b. Majikan memaksa pekerja untuk hadir bekerja.

c. Majikan yang dibenarkan beroperasi oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pula gagal mematuhi syarat mengurangkan kapasiti pekerja kepada 50% (seperti sektor makanan, perladangan dan pembuatan).

d. Majikan yang leka,dan tidak menyediakan perlindungan seperti penutup muka (mask) danbahan pencuci tangan (sanitizer) ataupun tidak mengamalkan penjarakan sosial (social distancing) di dalam kilang.

e. Kilang yang mempunyai bilangan pekerja yang ramai diberikan kebenaran beroperasi seperti industri semi-konduktor dan elektronik. Bilangan pekerja beribu-ribu di dalam premis kilang menyebabkan langkah penjarakan sosial tidak dapat dilakukan. Bayangkan kesannya jika kes Covid-19 merebak seperti api dalam keadaan sebegini!

f. PSM juga mendapat aduan mengenai keadaan di asrama pekerja, terutamanya asrama dan rumah yang disewakan oleh majikan untuk pekerja asing. Kebanyakan asrama ini adalah sangat padat dan tidak mungkin untuk penjarakan sosial dilaksanakan. Pada masa kerja sebelum ini, mungkin pekerja tidak merasakannya kerana rakan sekerja mereka mungkin keluar bekerja untuk syif kerja yang berbeza. Tetapi dalam situasi PKP, semua pekerja terpaksa duduk di rumah dan tidak dapat keluar. Ianya juga ada kemungkinan menjadi suatu hotspot untuk COVID-19 merebak .

Sekarang dalam fasa kedua PKP, kebanyakan pekerja mengadu bahawa:

  1. Syarikat memaksa pekerja mengambil cuti tanpa gaji ataupun menggunakan cuti tahunan untuk masa ini. Walaupun mereka tidak setuju, tetapi majikan mengugut pekerja bahawa mereka akan dibuang kerja jika tidak mengisi borang persetujuan mengambil cuti tahunan dan cuti tanpa gaji.
  1. Syarikat telah memotong gaji untuk tempoh PKP. Pekerja terkejut apabila tengok slip gaji mereka. Mengapa syarikat tidak mematuhi arahan Kerajaan yang menyatakan gaji tidak boleh dipotong? Malangnya apabila aduan dikemukakan oleh pekerja, Jabatan Tenaga Kerja(JTK) meminta pekerja untuk menunggu sehingga tempoh PKP tamat dan barulah membuat aduan dan tuntutan di Jabatan Tenaga Buruh. Namun, jika gaji bulan Mac mereka dipotong teruk, bagaimana mereka hendak menampung kos makan dalam bulan April dan Mei ini?
  1. Syarikat juga membuang pekerja tanpa notis dengan menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp. Adanya syarikat yang memberi alasan bahawa perniagaan tidak boleh diteruskan kerana isu COVID-19 dan memberhentikan pekerja. Sektor perhotelan, syarikat penerbangan dan banyak lagi syarikat telah mengambil tindakan sebegini. Tindakan ini memberi gambaran bahawa syarikat mengambil kesempatan situasi dan tidak menggunakan kaedah pengurangan ataupun pemberhentian pekerja mengikut undang-undang kerja. Ada juga pekerja yang diberhentikan dengan serta merta!

Kami memandang serius tingkah laku syarikat-syarikat ini yang hanya mementingkan perniagaan semata-mata walaupun nyawa mereka sendiripun dalam risiko pada masa ini. Perkara berkaitan dengan pencegahan wabak ataupun keselamatan pekerja diabaikan. Syarikat-syarikat ini, selama ini mengaut keuntungan jutaan ringgit dan kini “menangis dan merungut” untuk membayar gaji pekerja sehingga tempoh PKP tamat.

Kita selalu dengar rungutan pihak majikan walaupun sedikit faedah dinaikkan untuk pekerja. Tetapi semasa seluruh negara sedang berdepan dengan Pandemik COVID-19, mereka masih teruskan rungutan mereka tentang keuntungan mereka yang berkurang. Ini jelas mendedahkan minda kapitalis majikan yang enggan bersolidariti dengan rakyat dalam melawan wabak COVID-19 .

PSM menyeru pada Menteri Sumber Manusia supaya mengerahkan anggotanya dengan segera untuk turun padang dan menyiasat aduan-aduan pekerja ini secara serius. Arahan kepada pekerja untuk memfailkan aduan dan kes mereka selepas tempoh PKP COVID-19 adalah tidak masuk akal. Arahan potong gaji dan pemgambilan cuti sedang paksa sedang dilakukan oleh majikan sekarang , maka pihak Kementerian Sumber Manusia harus bertindak sekarang juga untuk memberikan amaran dan mengambil tindakan tegas ke atas majikan-majikan yang ingkar .

Kerajaan harus tegas dalam memastikan tindakan segera diambil ke atas majikan-majikan yang tidak berhati perut ini, demi menjaga kebajikan pekerja dan menegakkan hak pekerja.

==========

Sivaranjani Manickam ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Biro Pekerja PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *