20200308 - Malaysia20 (2)

oleh Hajjar Nurhayyu Zainal

Tanggal 8 Mac setiap tahun, merupakan tarikh penting dalam memperingati sejarah perjuangan kaum wanita melawan penindasan serta menuntut hak kesamarataan. Jika ditelusuri sejarah, Hari Wanita Antarabangsa yang diraikan seluruh dunia hari ini sebenarnya bertitik tolak dari sebuah gerakan beraliran kiri yang diterajui kaum wanita marhaen menentang golongan pemodal (kapitalis) dan pemerintah. Sekitar tahun 1908 hingga 1917, berlaku gelombang awal penentangan, di mana tercetusnya beberapa siri demonstrasi besar-besaran dipimpin oleh golongan wanita kelas pekerja, bermula di Amerika Syarikat dan kemudiannya tercetus di beberapa negara Eropah seperti Jerman, Austria, Switzerland, Rusia dan Denmark. Antara tuntutan yang diketengahkan: Hak mengundi, penglibatan politik, jawatan awam, upah samarata, waktu kerja 8 jam, hak berkesatuan, hapuskan diskriminasi gender, dan sebagainya.

Meskipun lebih seabad peristiwa ini berlalu, namun pelbagai bentuk diskriminasi, penindasan dan ketidakadilan berasaskan gender, orientasi seksual dan golongan kurang upaya masih berlaku hari ini. Tambah membimbangkan adalah, walaupun terdapat penambahan bilangan representasi wanita di tampuk kepimpinan kerajaan, tetapi isu eksploitasi, contohnya pekahwinan kanak-kanak bawah umur masih tidak dapat dihapuskan, di samping kes-kes keganasan dan buli terhadap golongan LGBT pula berada di tahap yang membimbangkan. Usaha para pemimpin dalam menggubal polisi-polisi progresif untuk menjamin hak kesamarataan dan pemberdayaan wanita dilihat begitu lemah, manakala perlaksanaan kerajaan dalam menambaikbaik sistem sokongan untuk pekerja wanita seperti membina pusat penjagaan kanak kanak di tempat kerja dan di kawasan perumahan awam seakan tidak proaktif. Kaum wanita kelas pekerja, khususnya ibu tunggal, merupakan golongan paling terkesan apabila implementasi sistem sokongan lemah dan tidak inklusif.

Pengumuman cuti bersalin dipanjangkan tempoh dari 60 hari ke 90 hari untuk pekerja wanita mendapat sambutan positif daripada rakyat, tetapi jika diteliti dari sudut realiti, polisi ini tidaklah progresif setara mana dan masih berbaur patriarki . Walaupun tempoh cuti dipanjangkan, kaum ibu masih lagi dibiarkan terbeban dengan tugasan menjaga dan mengasuh anak sedangkan tanggungjawab membesarkan anak wajib dipikul secara bersama oleh kedua-dua belah pihak. Adakah cuti paterniti selama 7 hari sudah memadai untuk suami menjalankan tanggungjawab menjaga isteri dan menimba pengalaman menguruskan bayi, sedangkan baki 83 hari seterusnya kaum wanita dibiarkan memikul bebanan menjaga bayinya seorang diri? Mungkin sudah menjadi adat dan budaya di Malaysia, ahli keluarga terutama orang tua sama ada dari pihak isteri atau suami akan berada di rumah untuk menemani si isteri dalam tempoh berpantang, namun ini bukan alasan untuk mengabaikan kepentingan penglibatan bapa dalam tugasan menjaga bayi. Justeru, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat harus menyemak kembali polisi ini dan mempertimbangkan Skim Cuti Ibu Bapa Berbayar (Paid Parental Leave Scheme) yang dilaksanakan di kebanyakan negara luar. Kesamarataan hak tidak akan tercapai selagi tugasan domestik tidak diagihkan samarata dan hanya dipikul oleh pekerja wanita seorang diri. Hal yang sama juga berlaku sekiranya tenaga buruh suri rumah sepenuh masa tidak diiktiraf sabagai satu pekerjaan yang mempunyai nilai produksi.

Sekitar bulan Jun 2019, ribuan pekerja pembersihan bangunan dan kawasan sekolah yang majoritinya adalah kaum wanita telah diberhentikan tanpa notis serta tiada bayaran faedah yang sepatutnya. Menurut Persatuan Kontraktor Bumiputera Sisa Pepejal dan Pembersihan (Kosppem), format tender baru yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan mengakibatkan pengurangan tenaga kerja sebanyak 50% dan juga membabitkan perlantikan syarikat baru menggantikan syarikat lama. Golongan pekerja yang bekerja di sektor ini merupakan kelompok termiskin, iaitu B20 yang menerima gaji asas lingkungan gaji minimum RM1,100. Oleh kerana gaji yang cukup rendah, ramai pekerja wanita dari sektor ini sebenarnya melakukan beberapa kerja sampingan selepas waktu kerja untuk menampung keperluan hidup. Bayangkan betapa rumitnya hidup mereka apabila punca pendapatan utama telah hilang begitu sahaja kerana polisi penjimatan dana (austerity) dan sistem kontrak yang melanggar prinsip kemanusian ini? Penjimatan dana juga boleh dilihat melalui pemotongan peruntukan yang melibatkan kepentingan warga kurang upaya semasa pembentangan Belanjawan 2020 bagi Program Pemulihan OKU yang dikurangkan peruntukan dari RM91 juta kepada RM85 juta.

Sistem ekonomi kapitalis yang berpaksikan keuntungan korporat adalah peyumbang besar kepada perubahan iklim global. Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), kesan perubahan iklim memberi impak lebih besar kepada wanita khususnya mereka yang menetap di kawasan luar bandar termasuk golongan Orang Asal. Secara amnya, golongan wanita lebih terdedah kepada kemiskinan kerana dalam susunan patriarki, di mana kuasa sosioekonomi dikuasai golongan lelaki. Peranan utama wanita masih tertumpu kepada tugas mengasuh, penyediaan makanan dan bertani, maka kaum wanita adalah golongan paling terjejas apabila berlaku bencana banjir atau kemarau. Senario ini boleh dilihat di beberapa negeri yang berhadapan masalah banjir setiap tahun seperti di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Golongan wanita di desa terutama yang berusia termasuk ibu tunggal, bukan sahaja mengalami kemusnahan harta, kerosakan tempat tinggal, kemusnahan ternakan dan tanaman, malah kehilangan mata pencarian kerana peranan pembekalan sumber dan tenaga mereka dalam industri desa. Maka itu, kesan krisis alam sekitar terhadap kaum wanita tidak boleh dipandang enteng.

Apa yang boleh disimpulkan di sini adalah, di sudut manapun eksploitasi oleh kapitalisme dan patriarki itu berada, di situlah wanita akan ditindas. Justeru, para wanita sekalian, perlawanan kita masih belum selesai!

==========

Hajjar Nurhayyu Zainal ialah Penyelaras Biro Wanita dan Gender Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s