20200308 - Malaysia20 (2)

KUALA LUMPUR – 8 MAC 2020: Ketika negara kita sedang dilanda krisis politik yang disebabkan oleh perebutan kuasa antara golongan elit politik, ekonomi yang semakin merudum, krisis iklim yang semakin serius dan ancaman penularan wabak berjangkit COVID-19 terhadap kesihatan awam, wanita turun ke jalanan untuk mengetengahkan isu rakyat yang tidak diendahkan golongan elit politik-ekonomi yang sedang sibuk merebut dan memperkukuhkan kuasa demi kepentingan kelas pemerintah.

Jalanan di Kuala Lumpur pada hari ini digegarkan dengan laungan suara melawan patriarki dan menuntut kesamarataan gender. Lebih kurang 500 orang mengambil bahagian dalam aksi perarakan Hari Wanita Sedunia di ibu negara Malaysia tahun ini dengan seruan lantang untuk melindungi wanita daripada keganasan dan menuntut jaminan hak untuk semua tanpa mengira gender serta orientasi.

Aksi perarakan Hari Wanita Sedunia di Malaysia (#PerarakanWanitaMY) pada tahun ini yang bertemakan “Hentikan Keganasan, Hormati Perempuan”, bermula dengan perhimpunan di hadapan Pasaraya Sogo pada waktu pagi, diikuti dengan perarakan menuju ke Dataran Merdeka. “Negara sakit, wanita bangkit!”, “hentikan keganasan!”, “kami mahu kebebasan!” “hidup wanita!”, “politikus pergi mampus” dan berbagai lagi slogan dilaungkan oleh peserta-peserta yang membawa plakad dan sepanduk yang berwarna-warni dan penuh kreatif, merupakan manifestasi golongan wanita, anak muda dan rakyat yang prihatin terhadap keadaan kesamarataan gender di negara kita.

Aksi #PerarakanWanitaMY mengemukakan 7 tuntutan utama, iaitu:

  • Hentikan segala jenis keganasan berdasarkan gender dan orientasi seksual;
  • Haramkan perkahwinan kanak-kanak;
  • Jamin hak dan kebebasan untuk membuat pilihan ke atas tubuh badan dan kehidupan sendiri;
  • Gaji samarata bagi pekerjaan yang sama nilainya;
  • Gubal Akta Kesaksamaan Gender;
  • Isytihar krisis iklim dan rangka pelan nasional bagi menangani krisis iklim;
  • Penyertaan awam dan politik yang samarata.

7 tuntutan ini meliputi isu-isu penting yang perlu ditangani dengan perubahan dasar kerajaan yang sebenar, untuk menjamin hak, keselamatan dan kesejahteraan semua rakyat tanpa mengira gender dan orientasi seksual. Walaupun negara kita sudah mencapai kemerdekaan untuk lebih 62 tahun, tetapi rakyat kita masih belum lagi membebaskan diri daripada sistem patriarki yang merendahkan status wanita, mengancam keselamatan wanita dan menindas wanita. Ketidaksamarataan gender dan penumpuan kuasa dalam golongan pemerintah yang berpegang pada fahaman patriarki atau seksis, merupakan punca utama kepada keganasan berdasarkan gender dan orientasi seksual yang berterusan. Oleh itu, realisasi masyarakat yang bebas daripada keganasan hanya boleh dicapai dengan menghancurkan patriarki. Ini perlu melibatkan proses penyertaan politik yang samarata untuk semua rakyat tanpa mengira gender dan orientasi seksual, penggubalan undang-undang yang menjamin kesamarataan gender dan membendung segala bentuk keganasan, di samping mengubah imbangan kuasa dalam masyarakat kelas untuk menuju keadilan sosial yang berkekalan.

Ramai wakil daripada pelbagai kumpulan, kolektif dan sektor masyarakat telah berucap dalam aksi #PerarakanWanitaMY, merangkumi isu perubahan iklim, masyarakat Orang Asli yang menghadapi ancaman kemusnahan hutan, mangsa rogol dan keganasan seksual, pekerja migran dan pelarian, pekerja kontrak dan sebagainya. Ahli-ahli daripada Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia juga menyertai aksi #PerarakanWanitaMY, dengan wakil kesatuan berucap dalam perhimpunan, mengetengahkan masalah yang dihadapi oleh pekerja pembersihan di hospital yang kebanyakannya wanita dan ancaman penindasan majikan terhadap kesatuan sekerja.

20200308 - Malaysia05 (2)
Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Sokongan Hospital turut serta dalam perarakan Hari Wanita tahun ini.

Aksi #PerarakanWanitaMY berlangsung dengan lancar dengan penyertaan massa yang penuh bersemangat. Selain meraikan pencapaian perjuangan wanita sebelum ini yang berjaya mendapatkan hak samarata untuk wanita dan menjadi inspirasi kita untuk terus memperjuangan pembebasan gender, aksi sambutan Hari Wanita Sedunia yang penuh bermakna di negara kita ini juga mengingatkan kita semua bahawa masih wujudnya pelbagai isu ancaman dan penghakisan terhadap hak wanita kerana kewujudan sistem patriarki.

Perjuangan melawan sistem patriarki tidak boleh dipisahkan daripada perjuangan menentang kapitalis yang membiak ketidakadilan dalam masyarakat kita hari ini. Kita perlu teruskan usaha membina gerakan masyarakat yang berlandaskan visi pembebasan untuk semua tanpa mengira gender dan orientasi seksual. Setiap hari ialah Hari Wanita!

**********

Berikut ialah sepintas lalu aksi #PerarakanWanitaMY

20200308 - Malaysia31 (2)

20200308 - Malaysia03 (2)

20200308 - Malaysia37 (2)

20200308 - Malaysia36 (2)

20200308 - Malaysia34 (2)

20200308 - Malaysia33 (2)

20200308 - Malaysia24 (2)

20200308 - Malaysia12 (2)

20200308 - Malaysia15 (2)

20200308 - Malaysia11 (2)

20200308 - Malaysia (2)

One thought on “Aksi Hari Wanita 2020: Negara sakit, wanita bangkit!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *