20200309 - 89519139_202677474298920_3259527054042857472_n (2)

PETALING JAYA – 9 MAC 2020: Bersempena dengan Hari Wanita Sedunia yang jatuh pada 8 Mac setiap tahun, Gabungan Pembaharuan Undang-undang Buruh (Labour Law Reform Coalition, LLRC) telah menyerahkan satu memorandum kepada Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) pada hari ini untuk menggesa pada MEF supaya menyokong usaha meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) No. 190 mengenai Keganasan dan Gangguan dalam Dunia Kerja.

Satu delegasi yang diketuai oleh N. Gopal Kishnam daripada Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Industri Peralatan Pengangkutan dan Sekutu (NUTEAIW) dan Suguna Papachan daripada Persatuan Sahabat Wanita Selangor, mengunjungi ibupejabat MEF dan menyerahkan memorandum berkenaan kepada Mohd Zakir Baharudin selaku Pengurus Kanan MEF. Turut hadir semasa penyerahan memorandum ialah wakil daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan kesatuan-kesatuan sekerja yang bergabung dalam LLRC. Soh Sook Hwa selaku Bendahari Parti Sosialis Malaysia (PSM) juga hadir untuk bersolidariti.

LLRC yang disokong oleh 58 buah kesatuan sekerja daripada beberapa sektor dan organisasi pekerja, mula dibentuk pada bulan Jun 2018 sebagai kumpulan kerja mengenai kerja wajar (decent work) untuk membincangkan pembaharuan terhadap undang-undang buruh dalam negara kita berasaskan kerangka kerja ILO mengenai kerja wajar. LLRC pernah menyerahkan cadangan untuk memperbaharui Akta Kerja 1955, Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 kepada Kerajaan pada bulan Januari dan Mei 2019.

Dalam memorandum yang diserahkan kepada MEF, LLRC menyatakan kebingungannya terhadap tindakan MEF mengundi untuk menolak penerimaan Konvensyen ILO 190 (C190) dalam Persidangan ILO pada bulan 2020. Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang juga mengundi menolak konvensyen tersebut telah berubah pendiriannya kemudian dan menyokong Kerajaan Malaysia untuk meratifikasi Konvensyen ILO 190. Pegawai-pegawai dalam Kementerian Sumber Manusia (sebelum berlaku perubahan rejim yang menjatuhkan Kerajaan Pakatan Harapan) juga pernah menjanjikan bahawa mereka sedang berusaha untuk meratifikasi konvensyen tersebut.

20200309 - 89145698_2466300920351367_2085664126419337216_n (2)

N. Gopal Kishnamberkata, “Adalah amat penting untuk Kerajaan Malaysia meratifikasi konvensyen ini, kerana ia akan melindungi semua pekerja Malaysia tanpa mengira status kontrak kerja mereka, termasuk pelatih, perantis, pekerja yang pekerjaannya telah diberhentikan, sukarelawan dan pencari kerja.”

Konvenyen ILO 190 mengenai Keganasan dan Gangguan dalam Dunia Kerja memberi fokus utama kepada keganasan berasaskan gender, khususnya keganasan dan gangguan seksual terhadap wanita. Skop untuk konvensyen ini adalah dunia kerja, di mana pelaku boleh termasuk majikan, pengurus, penyelia, rakan sekerja, pelanggan dan pembekal perkhidmatan. Konvenyen ILO 190 ini meliputi semua bentuk keganasan dan gangguan, termasuk rogol, serangan seksual, gangguan seksual pencabulan secara lisan dan emosi, pembulian, ancaman dan pengintaian. Penafian terhadap sumber atau akses kepada perkhidmatan dan penyekatan kebebasan yang lain juga merupakan bentuk keganasan yang ditakrif di bawah konvensyen ini.

Konvensyen ILO 190 ialah piawaian perburuhan antarabangsa yang pertama bertujuan untuk menghentikan keganasan dan gangguan dalam dunia kerja. Ratifikasi konvensyen ini dan pelaksanaannya melalui pindaan undang-undang dalam negara, akan membantu dalam membasmi diskriminasi gender dan menggalakkan kesamarataan.

“Pelaksanaan konvensyen ini akan mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat dan harmoni kepada jutaan pekerja di Malaysia,” begitu kata Suguna Papachan semasa menyerahkan memorandum kepada MEF.

“Kami berharap MEF akan menyatakan sokongannya kepada usaha Kerajaan dalam meratifikasi Konvensyen ILO 190. Pihak majikan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan tempat kerja mereka bebas daripada keganasan dan gangguan. Mengundi untuk menolak konvensyen ini menghantar isyarat yang salah kepada warganegara Malaysia bahawa MEF menyokong keganasan dan gangguan terhadap pekerja, khususnya wanita,” kata N. Gopal Kishnam.

“Kami percaya bahawa melalui dialog sosial dan perundingan berterusan dengan MEF, kita akan dapat mencapai persefahaman bahawa tiada tempat untuk keganasan dan gangguan dalam dunia kerja. Kami berhadap mendapat respon rasmi daripada MEF,” ulas Gopal Kishnam.

Keganasan dan gangguan merangkumi tingkah laku dan amalan yang tidak boleh diterima, atau ancaman, yang boleh berlaku sekali atau banyak kali, yang mengakibatkan kerosakan fizikal, psikologi, seksual dan ekonomi. Keganasan dan gangguan berasaskan gender di tempat kerja adalah perkara yang tidak boleh diterima sama sekali. Setiap orang berhak untuk bekerja dalam persekitaran yang bebas daripada sebarang bentuk keganasan dan gangguan. Oleh yang demikian, ratifikasi Konvensyen ILO 190 merupakan salah satu langkah yang penting untuk menunjukkan komitmen semua pihak kepada keselamatan pekerja dan kesamarataan gender.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *