20200308 IWD

Hari Wanita Sedunia disambut pada 8 Mac setiap tahun di seluruh dunia untuk meraikan pencapaian perjuangan menegakkan hak wanita dan realisasi kesamarataan gender.

Sambutan Hari Wanita Sedunia mempunyai asal usul radikal yang berkaitan dengan usaha perjuangan pembebasan masyarakat yang di bawa oleh gerakan sosialis antarabangsa. Perjuangan pembebasan wanita tidak dapat dipisahkan daripada perjuangan rakyat yang mencabar susunan masyarakat kelas yang didominasi oleh kekuasaan kapitalis dan patriarki.

Walaupun dalam lebih 100 tahun yang lepas ini, hak wanita dan kedudukan wanita dalam masyarakat dari segi penyertaan politik, pengagihan kekayaan ekonomi dan kehidupan sosial sudah mencapai kemajuan yang menakjubkan, hasil daripada perjuangan gerakan pekerja dan wanita yang berterusan, namun masih wujudnya diskriminasi, penindasan dan keganasan terhadap golongan wanita dalam masyarakat kelas hari ini yang masih lagi belum dibebaskan sepenuhnya daripada sistem patriarki dan fahaman seksis yang dipegang oleh golongan berkuasa.

Sambutan Hari Wanita Sedunia, bukannya masa untuk politikus-politikus berlakon untuk memberi “penghargaan” kepada pengorbanan wanita, sebaliknya ini merupaka satu hari untuk mengingatkan kita semua bahawa hak wanita yang wujud pada hari ini adalah hasil daripada pengorbanan perjuangan wanita yang lampau dan kita perlu terus mempertahankan hak wanita daripada ancaman kekuasaan patriarki di samping merealisasikan kesamarataan gender yang sebenar.

Ketika menyambut Hari Wanita Sedunia, jangan lupa pada ketika ini, di mana dunia kita sedang dilanda pelbagai krisis, dari krisis ekonomi global ke krisis iklim dan baru-baru ini krisis kesihatan awam akibat daripada penularan wabak berjangkit, di samping krisis politik dalam negara kita yang disebabkan oleh pergelutan antara elit politik yang merebut kuasa, ramai wanita yang bekerja sebagai pekerja kontrak (seperti pekerja pembersihan di hospital dan sekolah) masih menerima gaji minimum yang begitu rendah dan tidak mencukupi untuk menampung kehidupan sekeluarga; ramai wanita yang melakukan kerja yang dikatakan sebagai “kerja yang tidak produktif” dan tidak dibayar atau dibayar dengan ganjaran yang amat rendah kerana kerja tersebut tidak menghasilkan keuntungan secara langsung kepada korporat besar (seperti kerja rumah dan kerja penjagaan untuk orang yang memerlukannya); ramai wanita masih menghadapi gangguan seksual sama ada di tempat kerja atau di rumah; ramai wanita masih diancam keganasan; dan sebagainya. Semua masalah ini perlu ditangani dengan dasar kerajaan yang menegakkan kesamarataan gender dan keadilan sosial, di samping mewujudkan ruang penyertaan politik yang inklusif, untuk semua rakyat terlibat dalam proses menentukan nasib mereka tanpa mengira latar belakang, umur, kaum, agama, budaya, gender dan orientasi seksual.

Perarakan Hari Wanita di Malaysia pada tahun ini telah membawa tuntutan-tuntutan yang sangat relevan pada masa kini untuk menegakkan hak wanita dan kesamarataan gender. Tuntutan untuk #PerarakanWanitaMY yang bertemakan “Hentikan Keganasan, Hormati Perempuan” pada tahun ini adalah:

  • Hentikan segala jenis keganasan berdasarkan gender dan orientasi seksual;
  • Haramkan perkahwinan kanak-kanak;
  • Jamin hak dan kebebasan untuk membuat pilihan ke atas tubuh badan dan kehidupan sendiri;
  • Gaji samarata bagi pekerjaan yang sama nilainya;
  • Gubal Akta Kesaksamaan Gender;
  • Isytihar krisis iklim dan rangka pelan nasional bagi menangani krisis iklim;
  • Penyertaan awam dan politik yang sama rata.

Selagi masih wujudnya penindasan terhadap wanita atau apa-apa ketidakadilan atau keganasan yang berdasarkan gender dan orientasi seksual, masyarakat umum masih belum lagi dibebaskan sepenuhnya daripada kekuasaan yang bersifat zalim dan susunan masyarakat yang tidak adil. Perjuangan pembebasan wanita ialah perjuangan kita semua, sementara perjuangan pembebasan masyarakat tidak akan dapat mencapai kejayaan tanpa penyertaan wanita yang bermakna.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *