20190216085217__MG_1377-01-01

(Siri “Tolak Politik Elit, Bina Kuasa Ketiga” – 2)

oleh S. Arutchelvan

Sertai PSM hari ini! 

Walaupun Parti Sosialis Malaysia (PSM) pernah menang dalam banyak perjuangan akarumbi, namun rekod PSM menang dalam Pilihanraya Umum (PRU) adalah amat mengecewakan. Oleh itu, wujudnya ejekan seperti mengatakan PSM ialah parti hilang deposit dan parti nyamuk, seolah-olah memberi pesanan jelas bahawa PSM tidak relevan dalam arena pilihanraya.

Dalam satu kajian yang dibuat oleh Muhammad Febriansyah (USM) dan Sharifah Nursyahidah Syed Annuar (UKM) mengenai “Parti-Parti Politik Kiri Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14”, mereka telah merumuskan bahawa keputusan PRU-14 memang tidak memihak kepada parti-parti kiri seperti PSM dan PRM kerana semua calon yang bertanding kehilangan deposit. Namun, penyelidik ini berpandangan bahawa keputusan PRU yang tidak memihak kepada parti kiri bukannya disebabkan penolakan sepenuhnya terhadap idea dan idelogi parti kiri di Malaysia. Ini juga kerana bagi parti kiri, penglibatan dalam pilihanraya bukan satu-satunya cara untuk mencapai cita-cita politik.

Walau bagaimanapun, setiap kali timbulnya demam PRU atau Pilihanraya Kecil (PRK), pasti terdapat segelintir rakyat yang begitu ghairah untuk memujuk PSM supaya meletakkan calon, dan mereka selalu mempunyai satu andaian bahawa mood rakyat sekarang bagus untuk PSM bertanding. Kami telah melalui detik ini beberapa kali, dan apabila kami kalah, maka ia akan berakhir dengan sesetengah ahli berputus asa dan sebahagian lagi sudahpun menjangkakan keputusan sebegitu.

Mengapa PSM tidak boleh menang pilihanraya?

Pada hakikatnya, rakyat kena sedar bahawa dalam demokrasi borjuis, pilihanraya adalah pertandingan antara dua parti dominan, iaitu sebelum ini adalah Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), sementara sekarang pula antara PH dan Perikatan Nasional (PN). Kedua-dua parti besar ini disokong oleh tauke-tauke kaya. Tauke-tauke besar ini bersedia membiayai kos pilihanraya untuk parti-parti besar ini, kerana sekiranya kuda tunggangan mereka menang, maka dapatlah mereka terus menunggang kuda itu menuju ke arah yang diingini untuk mencapai matlamat dan aspirasi tauke-tauke besar. Inilah lumrah politik pilihanraya borjuis, di mana pilihanraya menjadi satu urus niaga yang besar dan menjanjikan pulangan lumayan untuk golongan berkuasa.

Adakah kita lupa tentang bagaimana bekas Perdana Menteri Najib Razak berkata dia menerima wang sejumlah RM2.6 billion daripada Putera Saudi di mana dikatakan adalah derma yang digunakan untuk kempen pilihanraya? Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan, pula pada Januari lalu, mengaku bahawa pernah meminta sumbangan politik daripada ahli perniagaan Tan Sri Chai Kin Kong  bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada tahun 2016. Jadi, adakah golongan kapitalis ini menyumbang wang tanpa sebarang “deal” atau syarat yang terikat.

Untuk bertanding satu kerusi Parlimen memerlukan sekurang-kurangnya RM 50 ribu. Biasanya parti besar akan membelanjakan hampir RM 300 ribu hingga setengah juta ringgit untuk satu kawasan pilihanraya. Justeru jika PSM mengambil satu langkah untuk bertanding semua kerusi Parlimen, maka PSM akan memerlukan sebanyak RM 11 juta, dan ini tidak termasuk lagi wang deposit yang lebih kurang RM 3.3 juta.

Maka, rakyat kena sedar bahawa adalah mustahil untuk PSM bertanding banyak kerusi kerana tidak akan mampu berbuat demikian. PSM juga sebuah parti yang cukup berprinsip, di mana terdapat dasar dalam PSM yang menyatakan bahawa PSM tidak boleh mencari sumbangan daripada korporat besar kerana PSM tidak mahu menjadi tali barut kapitalis-kapitalis ini. Itulah sebabnya dalam banyak kes yang melibatkan kapitalis dan rakyat biasa, PSM dengan beraninya dapat bersama rakyat untuk melawan syarikat besar dan kapitalis mahakaya berbanding dengan banyak parti politik yang lain. Banyak parti aliran utama sudah berkompromi dengan golongan kapitalis besar dan mempunyai kepentingan yang tersirat untuk dilindungi.

Mengapa nak undi parti yang hanya tanding beberapa kerusi?

Ini menyebabkan PSM terpaksa hanya bertanding dalam beberapa kerusi sahaja. Apabila PSM hanya bertanding untuk beberapa kerusi, iaitu mungkin kurang daripada 5% keseluruhan kerusi, para pengundi tidak akan mengundi PSM kerana beranggapan bahawa PSM tidak akan membentuk kerajaan, maka mengapa mereka perlu membazirkan undi mereka kepada sebuah parti yang tidak boleh membentuk Kerajaan Pusat atau Negeri.

Inilah dilema rakyat yang tidak mahu melabur dalam parti kecil yang sering juga dilabel sebagai parti kacau daun atau parti pecah undi.

PSM juga tidak diberi peluang untuk bertanding satu lawan satu

Memandangkan PSM mempunyai ideologi yang berbeza daripada parti-parti arus perdana, maka adalah amat sukar untuk dua parti besar memberikan laluan kepada PSM bertanding. Golongan kapitalis suka untuk menukar satu parti pro-kapitalis dengan satu lagi parti yang juga pro-kapitalis. Pada awalnya, rakyat mengharapkan peralihan kuasa daripada pemerintahan BN kepada PH akan membawa kepada perubahan sistem tetapi selepas satu tahun, ramai yang sudah mula melabelkan PH sebagai BN 2.0.

Parti-parti politik aliran utama juga tidak mahu memberikan seinci tempat kepada PSM bertanding kerana tidak mahu PSM mendapat sebarang pengaruh pada masa depan. Maka, mereka akan memberi alasan seperti nama Sosialis tidak boleh diterima rakyat dan sebagainya. Namun, sebab utama adalah kegerunan mereka dan kebimbangan mereka terhadap ideologi sosialis yang pro-rakyat. PSM juga tiada kapaisiti untuk membeli undi seperti yang dilakukan oleh parti-parti lain. Mahathir sendiri pernah melabel kumpulan yang menuntut pelaksanaan manifesto yang pro-rakyat dalam PH sebagai golongan berideologi Sosialis.

Maka adakah sia-sia untuk parti kiri masuk pilihanraya?

Ini tidak semestinya benar. Sejarah menunjukkan bahawa golongan kiri seperti PSM memang pada satu ketika dahulu merupakan kuasa politik yang kuat, malah merupakan pembangkang yang paling kuat dalam negara. Namun demikian, golongan dan parti kiri yang pernah menjadi jaguh perjuangan petani dan pekerja pada masa dahulu telah dihancurkan sedikit demi sedikit oleh parti pemerintah @parti pro-kapitalis @ pro-penjajah, dengan menggunakan akta zalim seperti Ordinan Darurat dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Ramai pemimpim parti kiri telah ditahan polis dan parti-parti kiri yang kuat ini juga dibubarkan melalui cara yang tidak sah dan tidak demokratik.

Pada satu ketika dahulu, hampir semua pilihanraya majlis perbandaran dimenangi atau disapu bersih oleh parti kiri seperti Parti Buruh, Parti Rakyat dan Parti Progresif Rakyat. Oleh yang demikian, pilihanraya kerajaan tempatan telah digantung pada tahun 1965 dan kemudiannya dimansuhkan.

Pada tahun 1946 pula, Gabungan PUTERA-AMCJA menjadi gabungan politik yang paling kuat dan berpengaruh sehingga menggugat kepentingan penjajah dan syarikat-syarikat British di Tanah Melayu. Ekoran daripada itu, demi menjaga kepentingan perjajah, pihak imperialis British memilih UMNO untuk menjadi kerajaan. Darurat juga diistiharkan pada tahun 1948 untuk menghancurkan parti-parti yang bergabung dalam PUTERA-AMCJA. Lebih 300 buah organisasi dan kesatuan yang progresif telah diharamkan dan dibubarkan, termasuk Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Barisan Tani Malaya, Hizbul Muslimin, New democratic Youth League dan sebagainya.

Selepas kemerdekaan, untuk satu dekad, Barisan Sosialis yang dianggotai oleh Parti Buruh dan Parti Rakyat telah menjadi parti politik nasional yang besar. Dalam Pilihanraya tahun 1959, Barisan Sosialis menjadi pembangkang utama dengan Ahmad Boestamam, iaitu Pengerusi Barisan Sosialis, muncul sebagai Ketua Pembangkang. Namun, beliau telah dipenjarakan semasa menjadi Ketua Pembangkang pada 13 Februari 1963. Pengaruh parti kiri dan kemenangan parti kiri dalam pilihanraya berakhir apabila Parti Buruh dibubarkan oleh pemerintah dan ramai pemimpim mereka ditahan di bawah ISA. Parti Rakyat juga terus digasak dengan teruk. Kesempatan Konfrontasi Malaysia-Indonesia tahun 1963-1966 digunakan untuk menghancurkan golongan kiri.

Dengan berakhirnya pengaruh parti-parti kiri, maka wujudlah parti-parti baru selepas Darurat 1969 dan pengenalan Dasar Ekonomi Baru. Sejak itu sehingga hari ini, politik kita bertukar agenda dari politik kelas kepada politik perkauman. Parti-parti seperti DAP, PAS dan UMNO-BN terus mempermainkan sentimen kaum dan agama untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Penghakisan terhadap ideologi politik kelas menyebabkan cabaran untuk PSM begitu hebat kerana terpaksa berjuang belayar dalam lautan politik kaum dan agama. Pihak pemerintah mengambil tempoh masa 10 tahun untuk mendaftarkan PSM, kerana mereka khuatir bahawa ideologi politik kiri masih boleh menggugat kedudukan mereka dan memenagi hati rakyat.

PSM boleh menang jika rakyat menaja PSM

Kepada semua rakyat yang suka pada politik PSM, jika mahu PSM berjaya, maka perlu memberi sumbangan untuk memantapkan lagi usaha PSM membina politik alternatif dari bawah. Hanyalah melalui sumbangan rakyat, PSM baru dapat berkembang besar dan menjadi kuat.

Andaikata adanya gelombang mood untuk PSM bertanding, maka ia hanya boleh direalisasikan jika rakyat dapat membiayai dan menampung kempen PSM, kerana PSM tidak akan sekali-kali meminta sedekah daripada golongan korporat besar untuk bertanding.

Pada hari ini, rakyat di Amerika Syarikat, sebuah negara yang disifatkan sebagai jaguh dunia kapitalis, telah digugat oleh seorang calon Presiden daripada Parti Demokratik yang berpegang pada ideologi Sosialis yang Demokratik. Kempen pilihanraya Bernie Sanders hari ini dibiayai oleh rakyat biasa.  Bernie juga berazam untuk mencukai golongan mahakaya dan mengagih semula kekayaan masyarakat melalui program-program yang pro-rakyat. Kempen beliau mendapat sokongan daripada tenaga anak muda yang ramai.

Oleh itu, sudah tiba masanya untuk rakyat menolak politik elitis. Rakyat biasa harus menjadi ahli atau aktivis PSM.

Kepada para pekerja yang bekerja di kilang dan sektor informal, termasuk sektor ekonomi gig, jika anda memerhati semua parti politik, anda pasti akan mendapati bahawa hanya parti PSM sahaja yang pro-pekerja dan pro-rakyat biasa. PSM merupakan satu-satunya parti yang berjuang untuk meningkatkan gaji minimum, menurunkan harga rumah dan menuntut sistem kesihatan dan pendidikan yang berkualiti dan mampu untuk rakyat Malaysia.

Maka sertailah PSM. Jadikan PSM kuat. Biayai kempen PSM kerana kemenangan kami akan memastikan rakyat pekerja, petani dan golongan marhaen dapat dilindungi.

Kepada anak muda yang muak dengan politik parti yang elitis, sertai kami dalam kempen-kempen melawan sistem neo-liberal dan kempen mengisytihar darurat iklim.

Untuk melawan sistem kapitalis, kita perlu berorganisasi secara tersusun dan dari bawah. PSM percaya pada politik gabungan yang menyatukan kekuatan rakyat dan bersedia bergabung tenaga dengan golongan progresif.

PSM mampu mengembalikan kegemilangan parti kiri dan boleh menjadi alternatif kuat dalam pilihanraya. Kami berharap anak-anak muda yang membaca rencana ini, sila mengikuti kami di laman web rasmi PSM atau Sosialis.net dan anda boleh menjadi ahli PSM dengan mengisi borang keahlian di sini.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

2 thoughts on “Mengapa PSM sering gagal dalam pilihanraya?

  1. Bukan sahaja di-Malaysia, tetapi ikut pengalaman keptusan pilihan raya di-ramain negara, termasuk negara barat, biasa nya calon haluan kiri-jahu dengan calon kanan-jahu dapat sedikit undi sahaja, kecuali masa ekonomi teruk, di-mana calon part selain daripada kiri-tengah, tengah atau kanan-tengah dapat undi banyak, contoh nya parti Nazi di-negara Jerman dapat jumlah undi yang besar sekali dan Hitler di-lantik sebagai kanselor (perdana menteri) negara Jerman, Syriza menang di-Greece atau Trump menang di-Amerika Syarikat.

    Dr. Jeyakumar bertanding sebagai calon PKR di-Sungai Siput degan majoriti undi 51.50% pada tahun 2008 dan menang lagi dalam tahun 2013 sebagai calon PKR dengan majoriti undi 53.19%. Berdua majority ini nipis sahaja.

    Pada tahun 2018, Dr. Jeyakumar bertanding sebagai calon PSM, berlawan calon PKR, BN/MIC dan PAS dan PKR menang dan PSM kalah teruk.

    Walaupun Dr. Jeyakumar buat kerja baik di Sungai Siput sebagai ahli parliament dari 2008 ke 2018, tetapi nampak nya, pengundi Sungai Siput undi parti PKR, bukan undi calon, pada tahun 2008, 2013 dan 2018.

    Saya agak, pengundi lebih suka undi calon dari parti yang ada banyak ahli-parliament, kerana percaya ahli parlimen parti begini boleh dapat apa yang pengundi mahu untuk Sungai Siput, lebih daripada apa se-orang ahli parliament PSM boleh dapat daripada parlimen.

    Jika mahu menang kerusi lebih kerusi di parlimen, PSM mesti kembangkan jumlah penyokong untuk ideologi dan dasar sosialis daripada kaum pekerja, petani, nelayan, kaum pengedar kecil, kaum Orang Asli dan lain-lain kaum yang tertindas. Ini suatu kembara yang jangka jahu sebelum boleh menang.

    Contoh-nya, Parti Buruk UK di-bangunkan pada tahun 1900 dan jadi kerajaan minoriti pada tahun 1920 sehinga tahun 1930. Parti Buruh jadi ahli kerajaan bersekutu (wartime coalition) di UK pada tahun perang 1940 kepada 1945 dan baru menang kerajaan majoriti pada tahun 1945.

    PSM patut ambil peluang masa ini di-mana orang ramai boleh nampak terang dengan mata sendiri bahawa tiada banyak perbezaan di-antara parti-parti bourjuis sebagai parti-parti Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan, di-mana berberapa calon ambil peluang opportunis dan kareeris untuk tukar parti ke bahagian yang lebih besar untuk dapat peluang memegang kuasa, peluang mamujukan kareer-nya dan peluang dapat bizness atau rasuah.

    Like

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s