20200303 - PSM

(Siri “Tolak Politik Elit, Bina Kuasa Ketiga” – 1)

oleh S. Arutchelvan

Sertai PSM hari ini! Isi borang keahlian atas talian di sini!

Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah mengadakan satu mesyuarat tergempar pada 2 Mac 2020 untuk membincangkan kemelut dan krisis politik tanahair baru-baru ini.

Berdasarkan pemerhatian PSM, terdapat 2 blok politik aliran utama sekarang, di mana salah satunya diterajui oleh saki baki dalam Pakatan Harapan (PH) dan satu lagi terdiri daripada parti yang memerintah Perikatan Nasional (PN). Blok pertama PH bercadang untuk membuat undi tidak percaya untuk merampas balik kuasa manakala Blok kedua PN bercadang untuk memantapkan dan mengukuhkan kedudukan kuasa mereka untuk kekal memerintah. Misi kedua-dua blok ini cukup jelas.

PSM dalam mesyuarat kelmarin memutuskan untuk mengambil pendirian sebagai Blok ketiga, iaitu Blok yang tidak menyokong PH atau PN, walaupun berpendapat adanya usaha pembaharuan yang baik dalam manifesto PH belum dilaksanakan lagi. Namun demikian, Blok Ketiga ini adalah blok majoriti masyarakat Malaysia yang muak dengan politik elit dan politik yang telah membawa kita kepada ketidakstabilan politik kini. Apa yang kita lihat adalah rampasan kuasa dari pintu belakang, pengkhianatan, politik katak, politik jualbeli dan politik bermain dengan nombor. Kesemua ini berlaku di hotel-hotel dan pejabat-pejabat mewah. Apabila hilang kuasa, maka mereka balik kepada rakyat seolah-olah mereka selama ini patuh kepada kehendak rakyat. Mereka menganjurkan demonstrasi dan laungkan slogan demokrasi. Mereka bilang kuasa rakyat tetapi sepanjang tempoh pemerintahannya, mereka tidak melibatkan rakyat atau mempolitikkan rakyat.

Namun, ada segolongan kumpulan anak muda yang membawa isu ini ke Dataran Merdeka dan mengkritik politik elit. PSM mengalu-alukan penglibatan kumpulan-kumpulan dan kolektif-kolektif progresif ini. Kami juga berpendirian bahawa perbincangan idelogi ini kena dilakukan bukan sahaja di Kuala Lumpur tetapi kena diadakan di seluruh negara untuk rakyat membincang kemelut ini dan mengambil pendirian berkenaan apakah pandangan dan peranan rakyat biasa dan warga marhaen dalam soal ini. PSM bercadang mengisi ruang kosong ini supaya rakyat turut diberi peluang membincang halatuju politik negara dan bukan sekadar menjadi penonton yang mampu mengikuti perkembangan di atas skrin telefon pintar atau TV.

Rakyat perlu menjadi agen perubahan dan merampas balik politik daripada kongkongan golongan elit politikus yang disokong atau dikawal oleh tauke-tauke kaya yang sentiasa mahu mengaut keuntungan besar. PSM menyajikan politik dari bawah. Kami akan menganjurkan dan mengadakan satu Jelajah dan Bicara Rakyat Marhaen diseluruh negara. Perbincangan rakyat harus bermula dari bawah.

Sertailah PSM untuk membina gerakan rakyat dari bawah. Masanya untuk rungutan, kekecewaan, ketidakpuasan hati dan kemarahan rakyat disalurkan sebagai suara kuasa rakyat dari bawah yang mantap dan berkesan. Semua kumpulan masyarakat yang berpendirian dan berhauan sama harus bersama. Jangan biarkan agenda rakyat diculik oleh politik elit. Sertailah perbincangan dan berikan pandangan anda. Kami mengalu-alukan pandangan yang berbeza dan kritikan yang membina.

Anda boleh mengikuti kami di laman web rasmi PSM atau Sosialis.net, dan anda boleh menjadi ahli PSM dengan mengisi borang keahlian di sini.

===========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *