Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

oleh Bawani KS

“Kami petani, pekebun, nelayan, pesawah dan penternak, adalah harta pusaka peninggalan datuk nenek kami. Kami harap pemaju atau kerajaan jika nak buat pembangunan, buatlah pembangunan yang seimbang. Jangan ganggu harta datuk nenek kami. Ini kerana kami adalah penyumbang utama jaminan makanan, bukan untuk diri kami sendiri, tetapi untuk seluruh masyarakat dunia. Jika tiada kami, tiada nelayan, tiada pesawah, tiada penternak, tiada petani, maka tiadalah makanan. Nanti kita nak makan apa? Adakah kita nak makan duit?” Inilah ucapan penutup yang disampaikan oleh Haji Zakaria bin Ismail yang merupakan Ketua Unit Nelayan Sungai Batu Pulau Pinang dan telah menjadi nelayan selama lebih daripada 20 tahun. Beliau juga merupakan penggerak utama gerakan Penang Tolak Tambak.

Forum “Memperkasa Jaminan Makanan: Isu dan Penyelesaian” ialah salah satu daripada siri forum dalam program Himpunan Marhaen yang diadakan bersempena dengan Hari Membasmi Kemiskinan Dunia pada 17 Oktober 2021. Forum yang membincangkan isu jaminan makanan ini juga diadakan pada Hari Makanan Sedunia yang disambut pada 16 Oktober setiap tahun.

Forum yang berjalan selama 2 jam semalam (16 Oktober 2021) dihadiri oleh hampir 100 orang peserta melalui aplikasi Zoom dan laman facebook Gabungan Marhaen. Hujah-hujah yang disampaikan oleh ahli-ahli panel yang merupakan petani, nelayan, pesawah dan penternak dalam forum ini dipuji ramai pemerhati, malah ada beberapa orang berkata bahawa hujah mereka lebih baik daripada Menteri Pertanian.

Ahli-ahli Panel yang berucap dalam forum ini termasuk Tan Tean Chee (petani yang menyertai Gabungan Petani dan Penternak), Abdul Rashid Yop (pesawah daripada Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia, PeSAWAH), Vinothan Naranasamy (penternak daripada Jaringan Penternak National Marhean, JPNM) dan Haji Zakaria Ismail (nelayan yang menyertai Penang Tolak Tambak).

Tan Tean Chee ialah seorang petani yang lama mengusahakan kebun sayur-sayuran dan kini diancam pengusiran kerana tanahnya hendak dirampas oleh syarikat swasta. Nasib yang sama turut dihadapi oleh petani-petani di kawasan Kuala Kuang di mana sebanyak 1,190 ekar kawasan pertanian diancam kerana kerajaan mahu membuat projek dan hanya menawarkan mereka tanah ganti di tempat yang tidak sesuai untuk pertanian. Beliau berkata bahawa petani sepertinya tidak meminta hak geran pemilikan tanah tetapi hanya meminta pajakan untuk tempoh 20 atau 30 tahun supaya mereka boleh bertani secara aman dan tanpa gangguan. Hari ini, mereka yang menjalani pertanian di tanah kerajaan kerap menghadapi gangguan pengusiran paksa oleh syarikat-syarikat kaya kerana tanah yang diusahakan petani-petani ini dilupuskan oleh pihak Kerajaan Negeri walaupun mengetahui petani-petani inilah pengusaha terawal yang meneroka bekas lombong dan hutan belukar yang kini menjadi satu tapak pertanian pengeluar makanan setempat. Selain itu, beliau juga mengatakan bahawa hasil pertanian mereka mendapat harga yang sangat rendah kerana mereka dipermainkan oleh orang tengah.

Abdul Rashid Yob yang merupakan Ahli Jawatankuasa Pertubuhan PeSAWAH dan seorang pesawah yang mengerjakan sawah di Alor Setar, Kedah, sejak lebih 20 tahun lalu, pula menceritakan nasib yang melanda pesawah sepertinya. Beliau mengatakan bahawa disebabkan pendapatan pesawah rendah, taraf hidup pesawah juga masih rendah, maka ini memaksa mereka mencari kerja lain untuk pendapatan dan semakin ramai orang yang menjadikan penamanan padi sekadar sebagai kerja sampingan (part time) sahaja. Ini ditambah pula dengan kos penghasilan padi yang semakin meningkat menyebabkan para pesawah tidak mampu mengusahakan pertanian padi dengan baik.

Abdul Rashid Yob berkata bahawa pada hari ini terdapat seramai 300,000 orang petani yang mengusahakan sawah untuk menghasilkan beras kepada 30 juta rakyat Malaysia. Walaupun beras adalah makanan utama kita, tetapi kita masih amat bergantung kepada negara Thailand, Vietnam dan India untuk pembekalan beras kita. Bayangkanlah jika berlaku peperangan dan sebagainya, maka apakah jaminan industri beras kita? “Kita kena jaga industri beras kita,” begitu katanya. Beliau juga membandingkan bagaimana di negara seperti Amerika Syarikat, pesawah diberi subsidi yang tinggi dan kebajikan petani dijaga. Tetapi di sini, generasi muda akan semakin tidak mahu bekerja di sawah jika masalah mereka tidak diberi perhatian.

Vinothan Naranasamy, seorang anak muda dari Melaka memulakan hujahnya bahawa jaminan makanan ternakan tenusu adalah sangat kurang di negara kita, di mana pengeluaran daging lembu hanya 22% sara diri, daging kambing 14% dan susu 60%. Yang selebihnya diimport. Yang menjadi masalah adalah daging import itu lebih murah, manakala harga daging tempatan dikawal dan jarang mendapat peningkatan harga. Lebih-lebih lagi, harga makanan ternakan sudah meningkat 100% dalam tempoh masa 10 tahun, tetapi harga daging tempatan tidak meningkat langsung.  Selain itu, Sime Darby yang merupakan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mahu mengusir penternak keluar dari tanah mereka. Tanah kegunaan untuk pertanian di negara kita adalah 25% sahaja, tetapi 75% daripadanya adalah ditanam dengan kelapa sawit. Jika penternak diusir, mereka terpaksa mencari tanah baharu. Adalah tidak masuk akal untuk mereka mencari tanah baharu padahal tanah ladang kelapa sawit masih boleh digunakan untuk penternakan, dan ini adalah kerja yang dilakukan mereka untuk lebih 40 tahun tanpa sebarang masalah.

Haji Zakaria pula berkata tentang bagaimana semakin kekurangan hidupan laut dan ini disebabkan oleh pencemaran alam sekitar yang diakibatkan oleh projek pembangunan yang tidak seimbang. Sebagai contohnya, penambakan laut oleh Kerajaan Pulau Pinang menghancurkan punca pendapatan nelayan dan menghapuskan hidupan laut. Beliau menyeru bahawa penambakan laut harus diberhentikan di seluruh negara jika kita mahu mencari punca makanan dari laut.

Antara beberapa cadangan yang telah diberikan oleh ahli-ahli panel daripada masyarakat akar umbi ini adalah undang-undang tanah harus dipinda untuk menghalang pengusiran paksa dan menjaga kepentingan petani, penternak dan nelayan.

Tan Tean Chee menyarankan bahawa perlu adanya sebuah jawatankuasa untuk menyelaras tanah yang diusahakan oleh petani. Tanah pertanian harus dikekalkan dan petani patut diberi pajakan atau sewaan untuk tempoh 10-30 tahun supaya mereka mendapat keyakinan untuk meneruskan pertanian mereka tanpa sebarang gangguan.

Abdul Rashid Yob menuntut pada kerajaan untuk mengawal harga pengeluaran benih padi dan menaikkan subsidi kepada pesawah, sementara Vinothan pula menyarankan supaya Kerajaan mengawal harga dedak ternakan dan menghentikan pengusiran paksa keluar dari tanah rizab kerajaan dan GLC. Satu lagi cadangan adalah kerajaan harus mewujudkan tribunal pesawah, petani, penternak dan nelayan supaya mereka dapat mengutarakan masalah, mengemukakan cadangan dan mencari penyelesaian dari semasa ke semasa.

Forum ini berakhir dengan satu harapan bahawa rezeki pengeluar makanan harus dijamin. Tanpa petani, pesawah, penternak dan nelayan, maka tiada makanan untuk rakyat. Kita harus memperkasakan sektor-sektor pengeluar makanan ini untuk menjamin pembekalan makanan kepada rakyat. Kerajaan harus memandang serius isu jaminan makanan ini dan menghentikan segala pengusiran paksa terhadap mereka yang mengeluarkan makanan.

==========

Bawani KS ialah Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

==========

Gabungan Marhaen ialah sebuah gabungan gerakan masyarakat yang terdiri daripada komuniti-komuniti akar umbi, kolektif-kolektif masyarakat, kesatuan-kesatuan sekerja, badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang progresif dan aktivis-aktivis masyarakat untuk memperjuangkan kepentingan rakyat terbanyak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *