20200301- kg kastam (2)

PULAU PINANG: Penduduk-penduduk Kampung Kastam, yang terletak di Bukit Gelugor, Pulau Pinang, sedang menghadapi ancaman pengusiran paksa daripada pihak pemaju dan mereka bertekad untuk mempertahankan hak perumahan mereka. Dalam satu sidang media yang diadakan oleh penduduk-penduduk Kampung Kastam pada 29 Februari 2020, mereka menyuarakan bantahan mereka terhadap intimidasi baru-baru ini yang dilakukan oleh syarikat pemaju Ideal Capital Venture Sdn Bhd.

Ketika memberi kenyataan tentang masalah yang dihadapi oleh penduduk Kampung Kastam, Syed Idross bin Syed Hassan selaku Ketua Kampung Kastam berkata, “kami ialah generasi keempat yang menghuni di atas tanah Kampung Kastam ini. Tanah kampung kami telah dipindahmilik kepada Perbadanan PR1MA Malaysia oleh Kerajaan Pusat pada bulan Ogos 2018 untuk memulakan proses pembinaan projek perumahan PR1MA. Kami telah menyuarakan tuntutan kami untuk skim perumahan ganti di tempat yang sama, melalui beberapa siri perbincangan termasuk dengan pihak Kerajaan Negeri dan pemaju, tetapi malangnya sehingga hari ini, kami tidak mendapat satu kata putus untuk menyelesaian isu ini.”

“Lebih-lebih lagi, pada pagi 27 dan 28 Februari 2020 yang lalu, sekumpulan orang diketuai oleh pihak syarikat pemaju datang ke kampung untuk melakukan pengusiran paksa terhadap penduduk dengan merobohkan rumah-rumah kami. Kami berjaya menghalang tindakan mereka. Kami amat terkejut dengan sikap tidak bertanggungjawab mereka yang bertindak melangkaui surat notis peguam mereka sendiri. Surat guaman mereka yang dikeluarkan oleh M. Thanajayan & Co, bertarikh 11 Februari 2020, menyatakan kami diberi tempoh sehingga 16 Mac 2020 untuk mengosongkan rumah. Dan sekiranya kami enggan, maka satu tindakan mahkamah akan diambil terhadap kami. Kami pula sedang dalam usaha untuk mengadakan perbincangan dengan pihak kerajaan supaya mendapatkan penyelesaian ‘rumah ganti Rumah’, ” kata Syed Idross.

Pencerobohan pihak pemaju ke dalam tanah Kampung Kastam adalah tidak sah di sisi undang-undang, kerana pihak pemaju tidak mempunyai apa-apa perintah mahkamah untuk melakukan pengosongan tanah, malah proses mahkamah pun belum bermula lagi.

“Amat jelas tindakan pihak Ideal mengambil keputusan untuk melanggar notis guaman mereka sendiri adalah bersifat ‘malafide’ (berniat jahat) dan merupakan intimidasi jenayah. Kami juga amat terkejut apabila pihak polis pula mengiringi dan membantu pihak Ideal dalam tindakan melanggari undang-undang ini,” ulas Syed Idross.

20200301 - kg kastam01 (2)

Oleh yang demikian, penduduk-penduduk Kampung juga membuat aduan polis di Balai Polis Jelutong, untuk meminta pada pihak polis supaya mengambil langkah berkecuali dan menasihatkan pihak pemaju Ideal Capital Venture Sdn Bhd supaya menghormati undang-undang serta mengikut segala prosedur proses penghakiman melalui mahkamah.

Sidang akhbar yang diadakan oleh Jawatankuasa Penduduk Kampung Kastam kelmarin turut dihadiri oleh R. Karthiges selaku Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang juga merupakan aktivis Jaringan Perumahan Pulau Pinang, Nurhayyu Zainal selaku Setiausaha PSM Cawangan Bayan Baru dan Teh Yee Cheu selaku Ahli Jawatankuasa Pusat PSM.

Jawatankuasa Penduduk Kampung Kastam memaklumkan bahawa ADUN Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid, telah berjanji untuk mengatur perbincangan secepat mungkin dengan semua pihak yang terbabit.

Kampung Kastam ialah sebuah perkampungan peneroka bandar , tetapi sedang menghadapi pengusiran paksa tanpa penyelesaian yang adil. Terdapat lebih kurang 36 buah rumah yang masih dihuni oleh penduduk di kampung ini sekarang. Para penduduk yang tinggal di situ hanya menuntut “rumah ganti rumah”, iaitu diberikan rumah ganti di tanah kampung tersebut sekiranya tanah tersebut digunakan untuk pembangunan. Kampung Kastam terletak berdekatan dengan Kampung Buah Pala, sebuah lagi kampung peneroka bandar yang telah dirobohkan pada tahun 2009, tetapi kebanyakan penduduk asal Kampung Buah Pala telah mendapat pampasan rumah percuma di tapak kampung asal mereka. Jika Kampung Buah Pala yang diberi laluan untuk pembangunan pemaju swasta dapat memperoleh rumah ganti percuma, kenapa Kampung Kastam yang bakal dibangunkan oleh pemaju yang diamanahkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk projek perumahan yang sepatutnya untuk rakyat itu tidak dapat menawarkan penyelesaian yang sama atau lebih baik?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *