20200228 - jpkk (2)

5 orang pekerja pembersihan sekolah yang diberhentikan kerja tanpa notis pada bulan Mei tahun lepas, telah berjaya menyelesaikan kes di Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur pada 26 Februari 2020, dengan mendapat sejumlah RM13,750 sebagai bayaran ganti notis untuk semua pekerja ini.

Penyelesaian secara luar mahkamah ini dicapai setelah rundingan antara 5 orang pekerja pembersihan tersebut dengan bekas majikan mereka MD Sahat Bin Omar & Rakan-Rakan Sdn. Bhd., dengan pekerja ini masing-masing dibayar pampasan dari RM1,650 hingga RM3,300 setiap orang. Pihak pekerja diwakili oleh M. Sivaranjani, Pegawai Perhubungan Perusahaan lantikan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang juga merupakan aktivis Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK).

5 orang pekerja pembersihan tersebut, Masita Binti Mohd Mokhtar, Maimun Binti Hamid, Sia Yoke Lian, Thaivanai a/p Rangasamy dan Krishnaveni a/p Mylvahanam, telah diupah oleh syarikat kontraktor MD Sahat Bin Omar & Rakan-Rakan Sdn. Bhd untuk bekerja di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Batu 11 Cheras, Kajang, Selangor, sekitar tahun 2017 dan 2018. Mereka hanya dibayar gaji RM1,000 setiap bulan, iaitu betul-betul pada paras gaji minimum.

Mereka ialah antara 7 orang pekerja pembersihan yang diberhentikan kerja di sekolah itu pada 31 Mei 2019, apabila kontrak perkhidmatan untuk syarikat kontraktor yang mengupah mereka tidak diperbaharui dan Kementerian Pendidikan telah memotong peruntukan untuk perkhidmatan pembersihan di sekolah sehingga mewujudkan pengurangan tenaga kerja (iaitu pembuangan pekerja) yang berleluasa di banyak sekolah. Di sebuah sekolah SRJK(C) Batu 11 Cheras sahaja, pekerja pembersihan telah dikurangkan daripada 11 orang kepada 4 orang sahaja. Pekerja pembersihan kehilangan kerja mereka secara tiba-tiba, kerana hanya diberitahu bahawa mereka diberhentikan kerja pada hari terakhir mereka pekerja.

Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) telah membantu sebilangan pekerja pembersihan yang diberhentikan kerja pada 31 Mei 2019 di sekolah-sekolah kerajaan di negeri Selangor, Kedah dan Pahang untuk memfailkan kes di Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP). 5 orang pekerja dari SRJK(C) Batu 11 Cheras juga memfailkan kes mereka pada masa itu di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967, iaitu pemulihan kerja. Beberapa kes di Kedah telah diselesaikan dalam proses rundingan damai di JPP, namun kebanyakan kes di Selangor dirujuk ke Mahkamah Perusahaan kerana tiada penyelesaian semasa rundingan damai.

Kes 5 orang pekerja pembersihan di SRJK(C) Batu 11 Cheras ini telah dibantu oleh aktivis PSM Kajang, Letchumanan dan Vaani, untuk memfailkan kes mereka. Kes mereka telah berlangsung di Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur. Dalam proses perundingan semasa kes berjalan di Mahkamah Perusahaan, akhirnya pihak majikan bersetuju untuk membayar pampasan ganti notis kepada pekerja-pekerja yang memfailkan kes, 9 bulan selepas pemberhentian kerja. Ini merupakan satu kemenangan kepada pekerja pembersihan yang sedia memperjuangkan hak mereka.

JPKK dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah lama memperjuangkan untuk pemansuhan sistem kontrak untuk kerja tetap di premis kerajaan, termasuk sekolah di bawah Kementerian Pendidikan, dan menjadikan semua pekerja sokongan (seperti pekerja pembersihan, pengawal keselamatan dan tukang kebun) di premis kerajaan sebagai pekerja tetap yang diupah terus oleh kerajaan. Sistem kontrak yang sedang diamalkan di premis kerajaan sekarang ini telah menyalahgunakan peruntukan kontrak tempoh tetap yang hanya sesuai untuk kerja-kerja bermusim atau sementara, bukannya kerja sokongan yang diperlukan setiap masa.

Sistem kontrak yang wujud sekarang untuk kerja-kerja sokongan penting di premis kerajaan, telah mewujudkan ketidakjaminan kerja untuk pekerja-pekerja berpendapatan rendah yang berkhidmat di premis kerajaan, malah lebih teruk lagi adalah sistem ini memiskinkan pekerja yang miskin.

JPKK bertekad untuk meneruskan usaha membela hak pekerja kontrak di premis kerajaan, di samping mengorganisasi pekerja untuk bersama-sama memperjuangkan jaminan kerja dan kesejahteraan semua pekerja bawahan.

 

 

 

 

One thought on “5 pekerja pembersihan dapat pampasan ganti notis pemberhentian kerja selepas 9 bulan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *