20200301 - 71576072237_BangunanParlimen

oleh S. Arutchelvan

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengikuti dengan teliti pengumuman DYMM Yang Di-Pertuan Agong yang telah menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8. Dengan pengumunan ini, tugas Perdana Menteri Interim sudahpun berakhir kerana calon untuk menggantikan Perdana Menteri sudah dinamakan.

Namun, atas semangat demokrasi yang terbuka dan telus, PSM amat mengharapkan DYMM Yang Di-Pertuan Agong dapat mengumumkan jumlah sokongan Ahli Parlimen yang diperolehi oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, memandangkan terdapat pelbagai versi tentang jumlah yang diperolehi beliau dan juga jumlah yang diperolehi oleh calon lain, seperti Dato’ Sesri Anwar Ibrahim dan Tun Mahathir sendiri.

Jika jumlah sokongan Ahli Parlimen yang diperolehi oleh Muhyiddin Yassin hanyalah 114 seperti yang dilaporkan, maka ia adalah satu jumlah yang amat mencemaskan kerana hanya memerlukan 3 orang sahaja Ahli Parlimen untuk mengulingkan Perdana Menteri ke-8.

Maka, PSM amat mengharapkan persidangan Dewan Rakyat dapat dipanggil dalam masa terdekat untuk menyelesaikan kemelut politik ini untuk secara terbuka, dan membolehkan 222 orang Ahli Parlimen menentukan nasib Perdana Menteri mereka. Kami juga berharap sehingga persidangan tergempar Dewan Rakyat ini diadakan, tidak ada perlantikan anggota Kabinet dibuat, kerana ia akan merumitkan sahaja keadaan.

Jika kemelut ini masih berpanjangan dengan Ahli-ahli Parlimen berlari ke sana ke sini untuk mencari pengaruh dan sokongan baru setelah Dewan Rakyat memutuskan, maka adalah amat munasabah untuk satu Pilihanraya Umum awal diadakan dalam masa yang singkat untuk rakyat membuat pilihan. Kami juga menyarankan bahawa Kerajaan Penjaga (Caretaker) harus diletakkan di bawah Suruhanjaya Pilihanraya dan bukan dalam tangan Perdana Menteri Interim atau Kerajaan sebelumnya.

Pada ketika yang genting ini, PSM amat mengharapkan hak-hak rakyat, seperti hak untuk berhimpun secara aman, hak untuk mendapat sumber maklumat media yang betul dan bebas, tidak akan dikongkong atau disalahgunakan.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *