20190613 - JPP2 - Copy

Ramli, umur 50 tahun, ialah seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah kerajaan di Kedah. Dia menjadi pengawal keselamatan lebih kurang 10 tahun dahulu selepas diberhentikan kerja sebagai seorang operator dalam sebuah kilang kerana krisis ekonomi. Dia bekerja di sekolah sekarang ini lebih kurang 2 tahun dahulu. Walaupun dia bekerja di sekolah kerajaan yang berada di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, tetapi dia tidak diupah secara langsung oleh kerajaan, sebaliknya diupah oleh sebuah syarikat kawalan keselamatan swasta yang mendapat kontrak untuk perkhidmatan kawalan keselamatan. Sebelum ini, gajinya yang ditambah dengan bayaran kerja lebih masa (OT) boleh mencecah lebih RM1,900, tetapi perlu bekerja selama 12 jam sehari. Semua pengawal keselamatan hanya dibayar gaji asas pada paras gaji minimum, dan gaji bulanan hampir RM2,000 yang sekadar mencukupi untuk menampung kehidupan itu diperoleh kerana adanya kerja lebih masa.

Mulai bulan Januari tahun ini, oleh sebab Kementerian Pendidikan mengurangkan peruntukan, jadual syif kerja untuk pengawal keselamatan di sekolah mengalami perubahan, sehingga memberi impak besar kepada kehidupan pengawal keselamatan. Syif kerja pengawal keselamatan di sekolah ditukar daripada 2 syif (12 jam setiap syif) kepada 3 syif (8 jam setiap syif), tetapi jumlah pengawal keselamatan dikekalkan. Sebelum ini semasa pelaksanaan sistem 2 syif, 2 orang pengawal keselamatan akan bertugas dalam setiap syif; dengan sistem 3 syif yang baru, 2 orang pengawal keselamatan bertugas pada syif pagi (7 pagi hingga 3 petang) sementara hanya seorang sahaja bertuga pada syif petang dan syif malam masing-masing. Walaupun sistem 3 syif mengurangkan masa kerja pengawal keselamatan, tetapi dalam keadaan gaji asas yang tidak dinaikkan, gaji kasar yang diterima oleh pengawal keselamatan setiap bulan merosot secara mendadak. Apabila gaji hampir RM2,000 sebulan dikurangkan kepada hanya RM1,100 sebulan, semestinya akan menimbulkan masalah kekangan kewangan yang serius. Banyak komitmen seperti pembayaran hutang pinjaman dan kos sara hidup akan terjejas dengan pengurangan gaji secara tiba-tiba ini. Selain itu, penempatan hanya seorang pengawal keselamatan untuk bertugas dalam satu syif, turut mewujudkan masalah ancaman keselamatan diri kepada pengawal keselamatan itu.

Hayati, umur 45 tahun, bekerja sebagai pekerja pembersihan di sebuah sekolah kerajaan di Selangor untuk lebih 11 tahun. Seperti Ramli, walaupun dia bekerja di sekolah kerajaan, tetapi dia tidak diupah secara terus oleh kerajaan. Dia diupah oleh sebuah syarikat kontraktor swasta yang mendapat tender kontrak perkhidmatan kebersihan bangunan dan kawasan (KBK) untuk 8 buah sekolah. Walaupun Hayati bekerja di sekolah yang sama untuk lebih 11 tahun, tetapi dia sudah tukar 3 orang majikan yang berlainan. Tempoh untuk satu kontrak KBK di sekolah kerajaan yang dipegang oleh sesebuah syarikat kontraktor swasta ialah 3 tahun, maka pekerja pembersihan yang diupah oleh kontraktor berkenaan juga hanya mempunyai kontrak 3 tahun. Kontraktor untuk perkhidmatan pembersihan bertukar setiap 3 tahun, tetapi pekerja pembersihan seperti Hayati tetap bekerja di sekolah yang sama. Setiap kali kontraktor baru mengambilalih, Hayati akan mendapat kontrak kerja baru dan dianggap sebagai seorang pekerja yang baru diupah, tanpa mengira berapa tahun dia sudah bekerja di sekolah yang sama sebelum itu. Gaji bulanan Hayati hanya RM1,100, iaitu pada paras gaji minimum. Dia akan dapat elaun rajin kerja sebanyak RM50 setiap bulan jika kehadiran kerjanya 100%. Ini sudah boleh dikatakan layanan yang amat baik, kerana banyak kontraktor tidak memberikan elaun sebegini. Ya, hanya RM50 jika “rajin”!

Hayati tidak dapat meraikan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dengan perasaan yang gembira, kerana dia tiba-tiba hilang kerja beberapa hari sebelum Hari Raya apabila kontraktor baru mengambilalih perkhidmatan pembersihan di sekolahnya. Kementerian Pendidikan telah memberikan “hadiah raya” kepada ramai pekerja pembersihan dalam bentuk pemberhentian kerja secara tiba-tiba, apabila cara pengiraan untuk peruntukan bagi kontrak kebersihan bangunan dan kawasan di sekolah telah diubah dalam format tender baru. Sebagai contohnya, sebuah sekolah yang sebelum ini mengupah 7 orang pekerja pembersihan telah dikurangkan kepada 3 orang. 

Pengalaman Hayati ini bukannya kes yang berasingan, tetapi adalah masalah yang dihadapi oleh ramai pekerja kontrak yang bekerja di sekolah kerajaan.

Kementerian Pendidikan tidak peduli kebajikan pekerja bawahan

Persatuan Kontraktor-kontraktor Bumiputera Sisa Pepejal Dan Pembersihan (KOSPPEM) mendakwa baru-baru ini bahawa dianggarkan hampir 45,000 orang pekerja di seluruh negara diberhentikan kerja apabila Kementerian Pendidikan melaksanakan format tender baru untuk kontrak perkhidmatan kebersihan bangunan dan kawasan.

Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan format tender baru untuk kontrak kebersihan bangunan dan kawasan (KBK) di sekolah kerajaan mulai tahun ini, dengan niat mengurangkan perbelanjaan kerajaan. Sebelum ini, bilangan pekerja pembersihan di sesebuah sekolah adalah mengikut bilangan pekerja; sekarang bilangan pekerja ditentukan berdasarkan bilangan blok, dan bilangan aras di setiap blok dan bilangan tandas. Namun, untuk sebuah sekolah yang ada 7 blok, 22 aras dan 41 tandas, hanya diperuntukkan 5 orang pekerja, menjadikan pengiraan format tender baru ini sesuatu yang tidak masuk akal.

Pengurangan peruntukan Kementerian Pendidikan, menyebabkan syarikat kontraktor turut mengurangkan pekerja. Akibatnya ramai pekerja pembersihan telah diberhentikan kerja. Pekerja-pekerja pembersihan yang masih bekerja di sekolah pula, gaji mereka tidak bertambah langsung, sebaliknya perlu memikul beban kerja yang lebih berat. Ini sebenarnya eksploitasi yang semakin teruk!

Kementerian Pendidikan pernah berkata dalam satu kenyataan pada bulan Januari tahun ini bahawa Kementerian tersebut tidak terlibat dalam soal pengambilan dan penamatan pekerja-pekerja kontrak perkhidmatan kawalan keselamatan dan kebersihan sekolah. Ini adalah kenyataan yang langsung tidak bertanggungjawab. Syarikat kontraktor untuk kawalan keselamatan dan kebersihan di semua sekolah kerajaan adalah dilantik oleh Kementerian Pendidikan. Semua kontraktor mengupah pekerja dan menyampaikan perkhidmatan mengikut terma-terma kontrak yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan. Kementerian Pendidikan sepatutnya sedar bahawa pengurangan peruntukan kepada kontrak perkhidmatan kawalan keselamatan dan kebersihan sekolah pasti akan membawa kepada pengurangan jumlah pekerjaan. Oleh itu, Kementerian Pendidikan tidak patut menolak sepenuhnya tanggungjawab pengupahan dan pemberhentian pekerja kontrak ini kepada kontraktor swasta sahaja.

Sistem kontrak tempoh tetap tidak sesuai untuk kerja tetap yang diperlukan sepanjang masa

Sistem kontrak tempoh tetap, hanya sesuai untuk kerja-kerja yang berjangka masa pendek, bermusin atau kerja yang disempurnakan sekali gus. Kerja-kerja pembersihan dan kawalan keselamatan di sekolah, adalah kerja tetap yang diperlukan sepanjang masa, dan tidak sesuai diupah mengikut sistem kontrak tempoh tetap.

Pekerja-pekerja perkhidmatan sokongan di sekolah kerajaan seperti pengawal keselamatan, pekerja pembersihan, tukang kebun dan sebagainya, pernah diupah secara terus oleh kerjaan. Namun, sejak tahun 1990-an, Kerajaan kita mula menyumberkan luar (outsource) perkhidmatan sokongan ini kepada kontraktor swasta.

Kerajaan melakukan penyumberan luar untuk pelbagai perkhidmatan sokongan di premis kerajaan, dengan alasan seperti mengurangan beban kewangan kerajaan, meningkatkan produktiviti dan memastikan pengagihan sumber yang lebih efisien. Jika sesebuah kerajaan menganggap perlindungan kebajikan untuk pekerja-pekerja yang bekerja di premis kerajaan itu sebagai satu “beban”, bagaimana kita boleh mengharapkan kerajaan itu bersikap penyayang dan melindungi kebajikan rakyat jelata?

Sistem penyumberan luar untuk perkhidmatan sokongan di premis kerajaan, sebenarnya hanya menggalakkan fenomena “mencari sewa” (rent-seeking). Kontraktor yang mendapat tender penyumberan luar daripada kerajaaan, hanya merupakan orang tengah untuk mengupah pekerja yang melakukan kerja di premis kerajaan dengan membayar gaji yang rendah kepada pekerjanya. Keupayaan keusahawanan dan pengurusan perniagaan untuk kontraktor sebegini tidak akan dapat ditingkatkan melalui perolehan kontrak penyumberan luar daripada kerajaan, sebaliknya akan menyebabkan pekerja-pekerja miskin terus miskin atau menjadi lebih miskin lagi!

Daripada pengalaman pelaksanaan sistem kontrak untuk kerja-kerja perkhidmatan sokongan di premis kerajaan selama ini, sumber kerajaan bukan sahaja tidak dapat digunakan secara cekap apabila sebahagian dana kerajaan mengalir ke dalam poket kontraktor yang hanya berfungsi sebagai orang tengah untuk mengupah tenaga kerja, malah pekerja-pekerja bawahan yang memastikan kebersihan dan keselamatan di premis kerajaan masih terperangkap dalam kemiskinan kerana gaji rendah.

Adalah amat jelas sekali, sistem kontrak ataupun penyumberan luar perkhidmatan sokongan di premis kerajaan telah membiak dan mengekalkan kemiskinan di kalangan pekerja yang berpendapatan rendah di negara kita.

Masalah sistem kontrak

Pekerja kontrak yang diupah di bawah sistem kontrak untuk perkhidmatan sokongan di premis kerajaa, seperti pengawal keselamatan dan pekerja pembersihan, merupakan golongan berpendapatan terbawah 40% (B40). Kerajaan kita selalu bercakap tentang memperbaiki kehidupan golongan B40, maka sepatutnya kerajaan patut memandang serius terhadap masalah yang dihadapi oleh pekerja bawahan B40 yang bekerja di premis kerajaan itu sendiri tetapi diupah oleh kontraktor swasta.

Pekerja-pekerja kontrak di sekolah menghadapi pelbagai masalah, termasuk:

  • Tiada jaminan kerja. Kontrak diperbaharui 3 tahun sekali. Mereka boleh diberhentikan kerja tanpa apa-apa pampasan pemberhentian kerja apabila tempoh kontrak tamat.
  • Tiada kenaikan gaji. Walaupun bekerja bertahun-tahun lamanya, mereka masih menerima gaji asas yang berada pada paras gaji minimum.
  • Adanya majikan yang lambat membayar gaji.
  • Adanya majikan tidak mencarum KWSP, PERKESO dan Skim Insurans Pekerjaan. Ada pula majikan yang memotong gaji pekerja tetapi tidak mencarum kepada KWSP dan PERKESO.
  • Masalah pengiraan bayaran kerja lebih masa.
  • Adanya majikan yang tidak memberikan kontrak perkhidmatan.
  • Adanya majikan yang tidak mengeluarkan slip gaji.
  • Tiada cuti sakit.
  • Tiada hari rehat untuk pengawal keselamatan. Mereka perlu bekerja 7 hari seminggu.
  • Tempoh perkhidmatan di premis kerajaan yang sama tidak diambilkira apabila menuntut faedah pemberhentian kerja.
  • Tiada pencen.

Pekerja-pekerja bawahan paling memerlukan jaminan kerja dan pendapatan yang mencukupi untuk menyara hidup. Sekarang ini terdapat puluhan ribu pekerja-pekerja bawahan yang berkhidmat di premis kerajaan dan diupah oleh kontraktor swasta. Mereka langsung tidak mendapat kedua-dua jaminan kehidupan yang paling asas ini.

Hapuskan sistem kontrak

Kerajaan perlu mewujudkan teladan dalam melindungi hak pekerja. Jika hak asasi untuk pekerja-pekerja yang bekerja di premis kerajaan tidak dapat dilindungi oleh kerajaan sendiri, bagaimana pula kerajaan dapat mendesak sektor swasta turut melindungi hak pekerja?

Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK), untuk memperjuangkan hak dan kepentingan pekerja-pekerja kontrak yang bekerja di premis kerajaan. JPKK telah mengikuti perkembangan isu berkaitan dengan pekerja-pekerja kontrak di sekolah kerajaan sejak kebelakangan ini, dan sentiasa menggesa kerajaan supaya mengambil berat tentang isu ini dan mengambil tindakan untuk menyelesaikannya.

JPKK pernah bertemu dengan Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik pada 27 Mac lalu, untuk mengetengahkan masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja kontrak di sekolah. Menteri Pendidikan telah meminta JPKK untuk mengemukakan senarai nama kontraktor-kontraktor yang melanggar undang-undang buruh supaya tindakan boleh diambil terhadap mereka. Menteri Pendidikan juga berjanji untuk mengkaji semula dasar yang berkaitan dengan sistem kontrak untuk memastikan pekerja-pekerja tidak lagi dieksploitasi. Namun, selepas dua bulan, masih berlakunya masalah pemberhentian kerja untuk pekerja pembersihan di sekolah kerana pengurangan peruntukan Kementerian Pendidikan.

Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik berkata dalam satu kenyataan pada 12 Jun lalu bahawa Kementerian Pendidikan sudah memohon daripada Kementerian Kewangan untuk peruntukan tambahan sebanyak RM3 bilion melibatkan kontrak Perkhidmatan Kawalan Keselamatan (PKK), KBK, kontrak Bekalan Makanan Bermasak (BMB) dan beberapa tambahan untuk item lain. Namun, sekadar ini masih belum lagi mencukupi untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja kontrak. Pekerja-pekerja pembersihan yang hilang kerja masih belum mendapat pampasan pemberhentian kerja yang sewajarnya, sementara pengawal keselamatan masih menunggu untuk gaji dinaikkan semula.

Tuntutan PSM dan JPKK untuk penyelesaian jangkamasa pendek termasuk:

  • Kementerian Pendidikan harus menyelesaikan pampasan kepada pekerja yang hilang kerja baru-baru ini;
  • Kementerian Pendidikan patut memulihkan sistem kerja 2 syif untuk pengawal keselamatan sekolah, ATAU menaikkan gaji supaya pengawal keselamatan mendapat jumlah gaji bulanan yang sama dengan sebelum ini apabila ditukar kepada 3 syif;
  • Kementerian Pendidikan harus menyelesaikan segara masalah gaji tertunggak untuk pekerja-pekerja kontrak, khususnya bekas pekerja Time Medi yang tidak dibayar gaji untuk 8 bulan pada tahun 2015;
  • Kementerian Pendidikan harus menyenaraihitamkan kontraktor yang tidak mematuhi undang-undang pekerjaan.

Untuk penyelesaian jangkamasa panjang, PSM dan JPKK bertegas untuk menuntut supaya menghapuskan sistem kontrak untuk kerja-kerja tetap di premis sekolah kerajaan dan menjadikan semua pekerja ini sebagai pekerja tetap.

2 thoughts on “Sistem kontrak untuk pekerja di sekolah kerajaan miskinkan pekerja miskin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *