20190613 - JPP2 - Copy.jpgSHAH ALAM: Seramai 35 orang pekerja pembersihan dari 8 buah sekolah di negeri Selangor yang diberhentikan kerja oleh majikan masing-masing, telah memfailkan kes di Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) Selangor pada 13 Jun 2019, dengan tuntutan untuk kembali bekerja.

Pada akhir bulan Mei 2019, ramai pekerja pembersihan di sekolah-sekolah kerajaan telah diberhentikan kerja apabila kontraktor baru yang mengambilalih kerja pembersihan sekolah mengurangkan jumlah pekerja berikutan Kementerian Pendidikan Malaysia mengurangkan peruntukan untuk perkhidmatan pembersihan. Ini merupakan satu kejutan kepada pekerja-pekerja terlibat kerana mereka telah hilang kerja secara tiba-tiba tanpa apa-apa pengetahuan awal, walaupun mereka sudah bekerja bertahun-tahun di sekolah yang sama. Pekerja-pekerja pembersihan di sekolah terdiri daripada golongan B40 (berpendapatan terendah 40%), dan pemberhentian kerja secara tiba-tiba telah mendatangkan kesan buruk yang menyusahkan lagi kehidupan mereka.

Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) yang diterajui oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah membantu pekerja-pekerja pembersihan sekolah untuk memfailkan kes di JPP. Pekerja-pekerja berkenaan telah memfailkan representasi di bawah Seksyen 20(1) Akta Perhubungan Perusahaan 1967, iaitu tuntutan untuk kembali bekerja.

Menurut Sivaranjani, Ketua Biro Pekerja PSM yang juga selaku penyelaras JPKK, ada sesetengah pekerja telah pekerja di sekolah yang sama untuk 15 tahun, dan pemberhentian kerja tanpa pengetahuan awal ini telah memberi tekanan hebat kepada mereka kerana mereka memerlukan kerja itu untuk menampung kehidupan sekeluarga.

“Kami hadir ke JPP untuk menuntut supaya pekerja diambil balik oleh majikan yang memberhentikan mereka secara tidak adil”, kata Sivaranjani. “Kami telah bertemu dengan pegawai JPP dan mereka memberi jaminan bahawa mereka akan membantu pekerja-pekerja ini dan merunding dengan majikan untuk menyelesaikan kes ini.”

Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik mengatakan dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada 12 Jun 2019 bahawa Kementerian Pendidikan telah meminta peruntukan tambahan sebanyak RM 3 bilion daripada Kementerian Kewangan bagi tujuan kontrak Perkhidmatan Kawalan Keselamatan (PKK), kontrak Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK), kontrak Bekalan Makanan Bermasak (BMB) dan beberapa tambahan untuk item lain. Namun, ini belum memadai untuk menyelesaikan masalah pekerja pembersihan yang sudah diberhentikan kerja tanpa sebab yang kukuh.

PSM menuntut pada Kerajaan untuk meluluskan peruntukan tambahan dengan kadar segera untuk memastikan semua pekerja kontrak yang hilang kerja mendapat balik kerja mereka. Kerajaan juga perlu memastikan pekerja-pekerja kontrak yang bekerja di premis kerajaan tidak lagi diberhentikan secara tiba-tiba.

PSM juga sentiasa mengetengahkan bahawa isu pokoknya adalah sistem kontrak yang mengeksploitasi dan memiskinkan pekerja bawahan. PSM mendesak Kerajaan supaya menghapuskan sistem kontrak untuk kerja tetap di semua premis kerajaan dan mengupah secara terus pekerja-pekerja perkhidmatan sokongan di premis kerajaan (seperti pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan) sebagai pekerja tetap.

Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) telah memberi peringatan kepada semua pekerja pembersihan yang diberhentikan kerja bahawa mereka ada tempoh 60 hari untuk memfailkan tuntutan di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 di ibupejabat JPP terdekat jika mereka mahu kembali bekerja. Pekerja-pekerja yang ingin mendapatkan bantuan daripada JPKK boleh hubungi nombor telefon 010-2402159, atau nombor-nombor di bawah mengikut negeri:

62649915_1049887475212479_4109710663440400384_n - Copy.jpg

One thought on “Pekerja pembersihan sekolah mula fail kes di JPP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *