20200103 - 2871438315.jpg
Qasem Soleimani (kiri) dan Abu Mahdi al-Muhandis (kanan).

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mahu mencetuskan perang lagi di rantau Timur Tengah dalam usahanya mempertahankan jawatan Presiden AS?

Tentera AS melancarkan satu serangan udara pada hari ini (3 Januari 2020) terhadap satu konvoi yang sedang bergerak berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad. Serangan tersebut telah membunuh beberapa orang termasuk kepimpinan tinggi tentera dari Iran, Qasem Soleimani dan komander Pasukan Mobilisasi Popular Iraq Abu Mahdi al-Muhandis.

Major Jeneral Qasem Soleimani ialah kepimpinan tentera tinggi yang penting dalam Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran dan Komander untuk Pasukan Quds sejak tahun 1998. Pasukan Quds ialah satu unit khas di bawah IRGC yang menjalankan aktiviti perisikan dan operasi ketenteraan di luar negara Iran. Komander Pasukan Quds melaporkan terus kepada Pemimpin Agung Iran. Pembunuhan terhadap Komander Pasukan Quds bagaikan pengisytiharan perang terhadap Iran.

Satu lagi orang penting yang dibunuh dalam serangan udara berdekatan Lapangan Terbang Baghdad, Abu Mahdi al-Muhandis, ialah Timbalan Pengerusi untuk Jawatankuasa Mobilisasi Popular ataupun dikenali sebagai Pasukan Mobilisasi Popular (PMF). PMF merupakan sebuah pertubuhan payung yang terdiri daripada kumpulan-kumpulan militia yang kebanyakannya daripada kumpulan Muslim Shia (namun termasuk juga kumpulan Muslim Sunni, Kristian dan Yazidi), yang ditubuhkan sejak tahun 2014, pada asalnya untuk bertempur dengan kumpulan pengganas ISIS. Abu Mahdi al-Muhandis ialah Komander untuk Kata’ib Hezbollah, salah sebuah kumpulan militia yang bergabung di bawah PMF yang pernah bertempur dengan tentera AS semasa Perang Iraq (2003-2011). Kata’ib Hezbollah ini tiada kaitan dengan kumpulan Hizbullah yang bertapak di Lubnan.

Selepas mengundur keluar dari Iraq pada bulan Disember 2011, tentera AS kembali mencampurtangan dalam Iraq pada tahun 2014 untuk memberi latihan dan beroperasi bersama dengan tentera Iraq dalam pertempuran dengan kumpulan pengganas ISIS. Iran juga menyalurkan banyak sokongan kepada kumpulan militia Shia dalam operasi ketenteraan yang menewaskan ISIS di Iraq pada tahun 2017. Banyak kumpulan militia Shia di Iraq yang disokong oleh Iran tidak begitu senang dengan kehadiran semula tentera AS di Iraq.

Iran dan AS memutuskan hubungan diplomatik secara formal sejak Revolusi Iran pada tahun 1979 yang menjatuhkan pemerintahan Shah yang pro-AS. Kerajaan AS menyokong negara Iraq yang diperintah oleh Saddam Hussein (yang kemudiannya dijatuhkan oleh AS juga) untuk berperang dengan Iran dalam Perang Iran-Iraq (1980-1988). Semasa Bill Clinton menjadi Presiden AS, negara AS mengenakan sekatan ekonomi sepenuhnya ke atas Iran. Semasa George W. Bush menjadi Presiden AS, dia menyifatkan Iran sebagai salah sebuah negara dalam “Paksi Kejahatan” (Axis of Evil) bersama dengan Iraq dan Korea Utara. Sekatan ekonomi ke atas Iran oleh AS dicabut setelah Iran menepati janjinya seperti yang dicapai dalam perjanjian nuklear yang ditandatangani pada tahun 2015. Namun, Kerajaan AS di bawah pimpinan Presiden Donald Trump telah menarik diri daripada perjanjian nuklear tersebut dan mengenakan semula sekatan ke atas Iran pada tahun 2018, menjadikan hubungan antara Iran dan AS tegang semula.

Pergolakan terbaru bermula apabila seorang kontraktor AS terbunuh, di samping 4 orang anggota tentera AS dan 2 orang tentera Iraq tercedera, dalam satu serangan roket ke atas Pangkalan Tentera Udara K-1 yang terletak di wilayah Kirkuk yang kaya dengan sumber minyak. Pangkalan Udara K-1 ialah salah satu daripada pangkalan tentera Iraq yang menempatkan anggota tentera AS. Pada takat ini, terdapatnya 5,200 orang anggota tentera AS ditempatkan di Iraq.

Kerajaan AS telah menuduh Kata’ib Hezbollah yang melakukan serangan ke atas Pangkalan Tentera Udara K-1. Tentera AS kemudiannya melancarkan serangan udara ke atas markas Kata’ib Hezbollah pada 29 Disember 2019, membunuh seramai 25 orang dan mencederakan 55 orang yang lain. Jabatan Pertahanan AS menyifatkan serangan balas dendam ini sebagai “serangan defensif yang tepat”.

20190103 - 2019-12-31-embassy-iraq

Pada 31 Disember 2019, selepas pengembumian untuk anggota Kata’ib Hezbollah yang terbunuh dalam serangan udara dua hari sebelum itu, anggota militia Shia dan penyokong mereka telah berprotes dan memecah masuk ke perkarangan Kedutaan AS yang terletak di Zon Hijau Baghdad. Berikutan itu, tentera AS melakukan satu lagi serangan maut pada 3 Januari 2019, dan meragut nyawa pemimpin penting dalam IRGC Iran dan komander Kata’ib Hezbollah.

Bukannya sesuatu yang baru untuk seorang Presiden AS yang cuba melanjutkan jawatannya untuk satu penggal lagi, mengarahkan untuk memulakan peperangan. Pada tahun 1991, George H. W. Bush, yang bakal mempertahankan jawatan Presidennya dalam pilihanraya pada tahun seterusnya melancarkan perang ke atas Iraq, namun George H. W. Bush kalah kepada Bill Clinton dalam Pilihanraya Presiden pada tahun 1992. Kemudian anak kepada George H. W. Bush, George W. Bush, yang menang untuk penggal pertamanya dengan undi popular yang kurang daripada pesaingnya, melancarkan bukannya satu tetapi dua peperangan, satunya ialah perang pencerobohan terhadap Afghanistan pada tahun 2001, dan satu lagi ialah perang pencerobohan terhadap Iraq yang pernah diserang semasa pentadbiran ayahnya. George W. Bush menggunakan alasan bahawa Iraq memiliki senjata pemusnah besar-besaran (WMD) untuk melancarkan perang ke atas Iraq, tetapi akhirnya tiada apa-apa senjata pemusnah besar-besaran ditemui selepas negara Iraq mengalami kehancuran teruk akibat daripada perang. George W. Bush berjaya mengekalkan jawatan Presidennya untuk satu penggal lagi dalam Pilihanraya Presiden 2004.

Donald Trump akan menghadapi pilihanraya yang menentukan sama ada dia akan menyandang jawatan Presiden AS untuk satu penggal lagi atau tidak pada bulan November akan datang. Baru-baru ini, Dewan Perwakilan AS meluluskan pendakwaan terhadap Trump atas pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan mengganggu kerja Kongres AS. Walaupun proses pendakwaan ini tidak akan membawa kepada pemecatan Trump kerana Senat AS sekarang ini dikuasai oleh Parti Republikan, tetapi telah memberi tamparan hebat kepada Trump yang cuba mendapatkan mandat untuk penggal kedua kepresidenannya. Perang ataupun konflik ketenteraan yang serius dengan “Paksi Kejahatan” seperti Iran boleh membantu Trump dalam mengapi-apikan sentimen patriotik yang sempit di kalangan penyokongnya.

Merespon kepada serangan tentera AS yang terbaru ini, Bernie Sanders, Senator AS dari negeri Vermont yang sedang mengambil bahagian dalam pemilihan awal calon Parti Demokratik untuk Pilihanraya Presiden 2020, berkata dalam hantaran twitternya, “Ketika saya mengundi untuk membantah perang di Iraq pada tahun 2002, saya bimbang bahawa ia akan membawa kepada penyahstabilan yang lebih besar terhadap negara itu dan juga rantau itu. Hari ini, selepas 17 tahun, malangnya kebimbangan tersebut menjadi kenyataan. Amerika Syarikat telah kehilangan lebih kurang 4,500 orang anggota tentera yang berani, puluhan ribu orang telah cedera dan kita telah menghabiskan wang bertrilion-trilion ke atas perang ini. Peningkatan konflik yang berbahaya oleh Trump ini membawa kita lebih dekat lagi dengan satu lagi perang yang teruk di Timur Tengah yang boleh meragut nyawa ramai orang dan menelan bertrilion-trilion dollar lagi. Trump menjanjikan untuk menamatkan perang yang tidak berkesudahan, tetapi tindakan ini meletakkan kita dalam laluan untuk satu lagi perang.”

2 thoughts on “Trump mahu cetus satu lagi perang untuk kekal sebagai Presiden AS?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *