20200129 - Anadolu Agency - Webp.net-resizeimage-2020-01-27T182347.927
(foto oleh Anadolu Agency)

Kemarahan rakyat terhadap pendudukan tentera Amerika Syarikat (AS) di Iraq telah ditunjukkan dalam aksi jalanan.

Ratusan ribu orang rakyat Iraq berprotes di Baghdad pada 24 Januari 2020 untuk mendesak pengunduran tentera AS dari negara itu. Dua hari selepas itu, pada 26 Januari 2020, satu lagi aksi protes diadakan oleh pelajar-pelajar Iraq yang menuntut supaya menghentikan semua campurtangan luar di negara itu.

Aksi protes pada 24 Januari 2020 yang digelar “perarakan sejuta orang”, dipanggil oleh Muqtada al-Sadr, seorang ulama mazhab Shia yang amat berpengaruh di Iraq dan juga pemimpin kepada Pakatan Menuju Pembaharuan (Saairun), blok politik yang terbesar dalam Parlimen Iraq. Aksi yang mengambil posisi anti-AS yang jelas ini turut disokong oleh Hadi al-Amiri, pemimpin kepada Pakatan Fatah, blok politik yang kedua besar dalam Parlimen Iraq.

Ini merupakan aksi protes yang terbesar di Iraq selepas peristiwa pembunuhan Jeneral Iran Qassem Soleimani dan pemimpin militia Iraq Abu Mahdi al-Muhandis dalam satu serangan dron AS di Baghdad pada 3 Januari 2020. Selepas peristiwa pembunuhan tersebut, Parlimen Iraq telah meluluskan satu usul untuk menuntut pengunduran semua tentera luar negara dari Iraq.

Muqata al-Sadr telah menggesa untuk menutup semua pangkalan tentera yang menempatkan tentera AS di Iraq. Beliau juga menuntut supaya membatalkan perjanjian keselamatan antara Iraq dengan AS, di samping tidak membenarkan akses tentera AS ke atas ruang udara Iraq.

Aksi protes yang disertai oleh ribuan pelajar Iraq pada 26 Januari 2020 pula mengambil posisi menolak campurtangan semua kuasa luar, termasuk AS dan Iran.

Rakyat Iraq telah berprotes untuk menuntut pembaharuan terhadap sistem politik negara itu sejak bulan Oktober 2019. Lebih 600 orang mati dalam pertembungan di jalanan semasa protes. Demonstran yang berprotes menggesa untuk mengubah sepenuhnya sistem politik yang diwujudkan sejak pencerobohan tentera AS di Iraq pada tahun 2003. Ramai demonstran juga berprotes membantah campurtangan Iran di negara Iraq yang semakin ketara sejak tahun 2014. Tentera AS yang berundur dari Iraq pada tahun 2011 kembali lagi ke Iraq pada tahun 2014, pada ketika Iraq berdepan dengan ancaman perluasan kuasa pengganas ISIS. Selepas ISIS ditewaskan, tentera AS masih mengekalkan penempatannya di Iraq, begitu juga dengan Iran yang cuba memperluaskan pengaruhnya. Gelombang protes rakyat Iraq yang hebat sejak beberapa bulan yang lalu ini, juga mensasarkan untuk menamatkan campurtangan kuasa luar di negara yang dihantui peperangan untuk 2 dekad yang lepas. Perdana Menteri Iraq, Adil Abdul-Mahdi, telah mengumumkan perletakan jawatannya pada 29 November 2019, dan hanya menjadi Perdana Menteri kerajaan penjaga sementara sehingga Parlimen Iraq berjaya membentuk lagi satu kerajaan baru.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *