demo18dis2019(3).jpegKUALA KUBU BHARU – 18 DISEMBER 2019: Pekerja-pekerja Ladang Bukit Beruntung yang ditipu oleh pemilik ladang tersebut yang gagal menunaikan janji membina rumah untuk mereka, telah mengadakan aksi protes pada hari ini dan menyerahkan satu memorandum kepada Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor, dengan tuntutan kepada Pentadbir Tanah supaya merampas tanah daripada pemilik tanah ladang yang melanggar Kanun Tanah Negara dan membolehkan usaha untuk pembinaan rumah yang tertangguh selama 20 tahun.

Pekerja-pekerja Ladang Bukit Beruntung merupakan penduduk asal bandar Bukit Beruntung. Pemilik tanah ladang pernah menjanjikan pembinaan rumah untuk pekerja-pekerja ini sejak tahun 1999 tetapi gagal melaksanakannya dan projek perumahan terbengkalai. Walaupun syarikat ladang masih beroperasi, tetapi ia menggunakan alasan bahawa anak syarikat yang merupakan pemaju tanah telah muflis dan enggan menyiapkan rumah yang dijanjikan.

Jawatankuasa Bertindak Pembeli Rumah Desa Beruntung dan Pekerja Ladang Bukit Beruntung mendapati Tetuan Prospell Enterprise Sdn Bhd, pemilik tanah Ladang Bukit Beruntung, telah gagal membayar cukai tanah pada kadar sepatutnya. Syarikat tersebut sepatutnya membayar cukai tanah RM 197,157 setahun untuk Lot 3406 sahaja, iaitu lot tanah yang sepatutnya membina rumah kepada pekerja Ladang Bukit Beruntung seperti yang dijanjikannya, tetapi hanya membayar RM 3,189 setahun. Jawatankuasa Bertindak telah membangkitkan persoalan kepada pihak Pejabat Tanah sama ada syarikat Tetuan Prospell Enterperise Sdn Bhd telah gagal membayar cukai tanah sebanyak berjuta-juta ringgit dalam tempoh 27 tahun yang lalu. Tindakan pemilik tanah ini telah melanggar Kanun Tanah Negara dan patut dilucuthakkan tanah tersebut.

Dalam memorandum yang diserahkan kepada pihak Pentadbir Tanah Hulu Selangor, Jawatankuasa Bertindak Pembeli Rumah Desa Beruntung dan Pekerja Ladang Bukit Beruntung memohon pada Pentadbir Tanah Hulu Selangor supaya melucuthakkan tanah yang dipegang oleh Tetuan Prospell Enterprise Sdn Bhd selaku pemilik tanah Ladang Bukit Beruntung mengikut Seksyen 100 Kanun Tanah Negara (pelucuthakan kerana ketiadaan bayaran jumlah wang yang dituntut) dan melaksanakannya mengikut Seksyen 130 Kanun Tanah Negara (pelucuthakan hendaklah mula berkuatkuasa apabila pemberitahuan dibuat dalam Warta), untuk membantu para pembeli rumah projek terbengkalai di situ. Pekerja-pekerja ladang dan pembeli rumah projek terbengkalai di situ boleh mendapatkan bantuan kerajaan untuk pembinaan rumah sekiranya tanah tersebut dilucuthakkan daripada pemilik sedia ada yang gagal membayar cukai tanah yang sepatutnya.

Para pekerja Ladang Beruntung dan pembeli rumah Desa Beruntung menggesa pihak Pentadbir Tanah Hulu Selangor supaya mengambil tindakan cepat dalam merampas tanah daripada pemilik tanah yang gagal membayar cukai tanah yang sepatutnya dan telah menipu mereka dengan tidak melaksanakan janji pembinaan rumah, supaya mereka dapat mengusahakan penyelesaian dengan pihak kerajaan demi mengakhiri penantian mereka yang telah berlarutan untuk 20 tahun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *