oleh Gandipan Nantha Gopan
Akta kerakyatan yang berunsur diskriminasi mencetuskan kemarahan rakyat India!
Rakyat telah turun ke jalanan dan berprotes menentang satu akta yang berunsur diskriminasi secara tidak langsung terhadap kaum Muslim di India. Satu gelombang protes sedang berlaku di negara India yang disebabkan oleh pengiktirafan sebuah akta yang dikenali sebagai Citizenship (Amendment) Bill (CAB).
Selepas beberapa tahun dalam perbincangan, akta ini diperkenalkan di Dewan Rakyat (Lok Sabha) pada 9 Disember 2019 oleh Amit Shah, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri India. Akta ini diluluskan di Dewan Rakyat pada hari yang sama dan kemudiannya diluluskan di Dewan Negara (Rajya Sabha) pada hari Rabu. Berikutan protes secara besar-besaran, kerajaan telah mengepung negeri Assam menggunakan anggota tentera dan memutuskan kemudahan internet di beberapa tempat.
Akta CAB ini memberi peluang kepada pelarian beragama Hindu, Sikh, Buddha, Jain, Parsis dan Kristian yang menghadapi penganiayaan dan penindasan di negara Pakistan, Bangladesh dan Afghanistan, yang datang ke India sebelum 31 Disember 2014, untuk memohon kerakyatan negara India. Namun, akta ini tidak termasuk pelarian Muslim dan juga pelarian dari Sri Lanka dan Myanmar, yang berada dalam jumlah beribu-ribu yang sedang tinggal di India hari ini. Sebelum ini, pelarian yang datang ke negara India yang tidak mempunyai dokumen yang sah dianggap sebagai “pelarian haram” dan tidak dibenarkan untuk memohon kewarganegaraan.
Kerajaan pelampau kanan nasionalis Hindu di bawah pimpinan Narendra Modi telah memetik faktor kemanusiaan untuk mengiktirafkan akta ini. Namun demikian, diskriminasi terhadap pelarian Muslim dan negara-negara tertentu mendedahkan tujuan utama kerajaan melakukan ini. Golongan kiri dan progresif di negara India berpendapat bahawa akta tersebut mempunyai unsur-unsur diskriminasi dan mampu memecahbelahkan rakyat India berdasarkan kaum dan etnik. Walaupun kerajaan Narenda Modi memetik faktor kemanusiaan sebagai tujuan, India adalah salah sebuah negara yang sangat aktif dalam mengusir keluar golongan Rohingya dari negaranya.
Golongan progresif India berpendapat bahawa usaha ini adalah untuk menjadikan komuniti Muslim sebagai rakyat kelas kedua dan ia harus ditentang. CAB ini berkait rapat dengan rancangan kerajaan untuk menjalankan Pendaftaran Kewarganegaraan Kebangsaan (National Register of Citizens, NRC). NRC ini ialah satu mekanisme untuk mengesahkan kerakyatan penduduk India dan mengusir keluar rakyat yang tidak dapat membuktikan status yang sah. Baru-baru ini, NRC ini dijalankan di Assam dan sekitar 1.9 juta rakyat dikeluarkan daripada senarai kewarganegaraan. Antaranya ialah penduduk beragama Islam dan juga Hindu. Parti-parti pembangkang telah menuduh bahawa Parti Bharatiya Janata (BJP), parti pemerintah di India, sedang cuba mengukuhkan kedudukannya dengan mengecualikan rakyat beragama Islam daripada senarai kewarganeraan dan juga untuk memperkukuhkan negara India sebagai negara Hindu.
Protes besar-besaran
Pengiktirafan akta ini telah mencetuskan protes besar-besaran yang dipimpin oleh golongan kiri, progresif dan sekular di India. Parti Komunis India (Marxis) [CPI(M)] dan parti-parti kiri lain telah mengadakan protes di hadapan bangunan parlimen. Dalam satu kenyataan bersama oleh parti-parti kiri yang terdiri daripada CPI(M), Parti Komunis India (CPI), Parti Komunis India (Marxis-Leninis) – Pembebasan, Blok Maju Seluruh India (AIFB) dan Parti Sosialis Revolusioner (RSP), golongan kiri menegaskan bahawa akta ini melanggar sepenuhnya perlembagaan negara India dan mengutuk tindakan kerajaan Modi ini sebagai penindasan terhadap kaum bukan Hindu untuk mengukuhkan kedudukannya. Organisasi-organisasi kiri pelajar dan pemuda sedang menganjurkan gerakan dan protes untuk menyeru pada rakyat supaya memboikot proses NRC. Di Delhi, United Against Hate telah membakar salinan akta dan mengutuk tindakan kerajaan sekeras-kerasnya.
Gelombang protes ini sangat kuat di kawasan timur laut negara India. Penduduk di sana risau bahawa tindakan kerajaan ini yang akan mengganggu demografik kawasan tersebut. Banyak negeri di kawasan tersebut mempunyai jumlah orang asal yang besar yang sering dianggap sebagai pelarian. Pada masa yang sama, banyak perniagaan, kedai, pasar dan tempat pengajian telah ditutup berikutan pengumuman akta ini di parlimen India.
Parti-parti kiri telah menyeru untuk protes massa seluruh India pada 19 Disember 2019, tarikh yang menandakan ulangtahun kematian Ram Prasad Bismil, wira perjuangan kemerdekaan India yang digantung mati di penjara Gorakhpur pada tahun 1927.
Tiga buah kerajaan negeri India, iaitu, Bengal Barat, Punjab dan Kerala, juga menolak akta CAB yang anti-perlembagaan ini, dan mengisytihar bahawa negeri-negeri tersebut tidak akan melaksanakan CAB atau NRC.
3 thoughts on “India: Rakyat bantah akta bersifat diskriminasi”