20191213 - UK (2).jpg

Pilihanraya Umum United Kingdom (UK) atau Britain, yang diadakan pada 12 Disember 2019, bagaikan satu lagi referendum yang mengesahkan Brexit (negara Britain keluar dari Kesatuan Eropah) tanpa memerlukan undi majoriti. Brexit, menjadi satu-satunya kata kunci untuk pilihanraya umum UK kali ini, bukan sahaja pencetusnya, tetapi mendominasi naratif seluruh kempen pilihanraya, dan memberi impak kepada keputusan pilihanraya.

Parti Konservatif yang dipimpin oleh Boris Johnson selaku penyandang jawatan Perdana Menteri mendapat kemenangan terbesarnya sejak tahun 1987, sementara Parti Buruh menerima kekalahan yang paling teruknya sejak tahun 1935. Dengan Parti Konservatif yang berkuasa tanpa berputus sejak tahun 2010 mendapat “mandat” yang lebih besar daripada pengundi, sudah pastinya kelas kapitalis UK akan menjadi lebih ganas dalam melancarkan serangan terhadap sistem kebajikan negara UK selepas ini.

Pilihanraya umum UK yang diawalkan ini dipanggil selepas Parlimen UK gagal mencapai apa-apa keputusan tentang isu Brexit, iaitu penarikan diri UK keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) berikutan keputusan referendum Brexit pada tahun 2016. Isu Brexit yang berlarutan untuk beberapa tahun yang lepas telah mendominasi seluruh kempen pilihanraya umum kali ini sehingga idea progresif untuk membina alternatif yang sebenar demi kesejahteraan rakyat yang dibawa oleh Parti Buruh ditenggelamkan begitu sahaja.

Peratusan keluar mengundi untuk pilihanraya umum UK kali ini ialah 67.3%, lebih rendah berbanding 68.8% pada tahun 2017 (yang paling tinggi dalam tempoh 20 tahun 1997-2017).

20191213 - 22134724-7782375-image-a-15_1576122362125
Boris Johnson

Parti Konservatif yang dipimpin oleh Boris Johnson, telah memenangi 365 daripada 650 kerusi di Dewan Rakyat Parlimen UK, iaitu melebihi separuh kerusi Parlimen. Dengan Parti Konservatif dapat membentuk kerajaan secara sendiri tanpa perlu bergabung dengan parti lain, Boris Johnson akan kekal menjadi Perdana Menteri UK selama 5 tahun lagi dan meneruskan Brexit mengikut versi neoliberalnya. Kerusi yang dimenangi Parti Konservatif dalam pilihanraya kali ini telah bertambah sebanyak 47 kerusi berbanding pilihanraya umum tahun 2017. Peratusan undi yang diperoleh Parti Konservatif ialah 43.6%, meningkat sebanyak 1.2 titik peratusan berbanding tahun 2017. Parti Konservatif hanya fokus pada satu isu sahaja dalam kempen pilihanraya kali ini, iaitu “sempurnakan Brexit” (get Brexit done). Brexit ialah senjata pemusnah untuk Parti Konservatif mencapai kemenangan besar dalam pilihanraya umum UK kali ini.

Parti Buruh kalah teruk

Parti Buruh yang dipimpin oleh Jeremy Corbyn, menghadapi kekalahan yang teruk dengan hanya memenangi 203 kerusi, berkurangan sebanyak 59 kerusi berbanding pilihanraya umum tahun 2017. Peratusan undi yang diraih Parti Buruh ialah 32.2%, merosot sebanyak 7.8 titik peratusan berbanding tahun 2017. Namun, keputusan ini sudah lebih baik berbanding kekalahan teruknya dalam Pilihanraya Parlimen Eropah pada 23 Mei 2019, di mana Parti Buruh hanya mendapat 13.7% undi. Dalam pilihanraya umum kali ini, Parti Buruh hilang lebih kurang 2.5 juta undi berbanding pilihanraya umum 2017.

Walaupun Parti Buruh mengemukakan manifesto yang dianggap radikal dari segi menawarkan alternatif kepada dasar sosio-ekonomi neoliberal yang menghantui rakyat Britain sejak zaman Margaret Thatcher, tetapi ia gagal menandingi Parti Konservatif yang berjaya mengalihkan sentimen rakyat kepada isu Brexit sahaja dan bukan yang lain. Parti Buruh berkempen atas platform yang memfokuskan pada peningkatan perbelanjaan awam dan pemiliknegaraan aset awam, di samping menjanjikan referendum Brexit yang kedua. Idea membawa referendum Brexit kedua adalah kompromi kepimpinan di sekeliling Corbyn terhadap golongan berhaluan kanan atau pendukung politik “Jalan Ketiga” (Third Way) yang berjinak dengan ekonomi neoliberal, tetapi jelasnya membawa padah kepada Parti Buruh. Pendirian Corbyn yang kabur dalam isu Brexit menyebabkan Parti Buruh kehilangan banyak undi daripada penyokongnya sudah dipengaruhi kuat oleh naratif Brexit. “Kekaburan” pendirian memang tiada tempatnya dalam keadaan masyarakat yang telah dipolarisasikan oleh isu Brexit yang ditimbulkan oleh kelas kapitalis Britain sendiri.

Scotland merdeka bukan mimpi!

Parti Nasional Scotland (SNP) yang dipimpin oleh Nicola Sturgeon, berjaya memenangi 48 kerusi, bertambah sebanyak 13 kerusi berbanding tahun 2017, satu kemenangan yang besar sejak ia memenangi 56 kerusi pada tahun 2015. Hanya ada 59 kerusi parlimen Westminster sahaja yang dipertandingkan di Scotland, maka keputusan ini memberi rangsangan dan keyakinan kepada pemimpin SNP Nicola Sturgeon untuk mendesak supaya diadakan satu lagi referendum untuk kemerdekaan Scotland!

Scotland pernah mengadakan referendum untuk kemerdekaan pada tahun 2014, tetapi 55.3% pengundi yang membuang undi menolak kemerdekaan. Dengan SNP mendapat kemenangan besar di Scotland, sentimen untuk satu lagi referendum untuk keluar dari UK akan menjadi lebih hebat. Namun, Scotland perlukan kelulusan rang undang-undang dalam Parlimen Westminster di London baru boleh melakukan referendum. Oleh itu, pada ketika Boris Johnson dapat “menyempurnakan” misinya untuk UK keluar dari EU, dia akan menghadapi cabaran hebat untuk Scotland keluar dari UK.

Demokrat Liberal (Lib Dems), parti yang berkempen kuat untuk menolak Brexit, hanya mendapat 11 kerusi, satu kerusi kurang berbanding pilihanraya umum 2017. Namun, semasa parlimen dibubarkan, Lib Dems mempunyai 21 orang ahli parlimen, kerana penyertaan ahli parlimen pro-EU yang keluar dari Parti Buruh dan Parti Konservatif, serta menang dalam satu pilihanraya kecil. Lib Dems yang berjaya meraih 19.6% undi dalam Pilihanraya Parlimen Eropah 6 bulan lalu, hanya mendapat 11.6% undi dalam pilihanraya umum kali ini. Lebih teruk lagi adalah, pemimpin Lib Dems yang baru mengambilalih posisinya kurang daripada 5 bulan lalu, Jo Swinson, telah kalah di kawasan Dunbartonshire East yang dipegangnya, dengan perbezaan hanya 149 undi, di belakang calon SNP Amy Callaghan.

Senario di Ireland Utara

Parti Kesatuan Demokratik (DUP), parti berhaluan kanan bertapak di Ireland Utara yang membuat persetujuan untuk menyokong kerajaan minoriti Parti Konservatif berikutan pilihanraya umum pada tahun 2017 yang menghasilkan parlimen tergantung, memperoleh 8 kerusi, kurang 2 kerusi berbanding tahun 2017. Nigel Dodds, Timbalan Pemimpin Parti DUP dan Pemimpin untuk DUP parlimen, terkandas di kawasan Belfast Utara, apabila kalah kepada calon daripada Parti Sinn Féin selepas Parti Demokratik Sosial dan Buruh (SDLP) memberi laluan kepada Sinn Féin yang sama-sama berfahaman nasionalis Ireland untuk menawan kawasan parlimen yang dikuasai oleh golongan pro-Kesatuan Britain yang berhaluan kanan sejak sebelum Ireland dipisahkan dua.

Parti Sinn Féin, parti nasionalis Ireland yang mengamalkan dasar tidak hadir ke parlimen UK langsung walaupun menang kerusi, menang 7 kerusi, jumlah yang sama dengan pilihanraya umum lalu. Parti Demokratik Sosial dan Buruh (SDLP) yang gagal memperoleh apa-apa kerusi dalam pilihanraya umum 2017, kali ini kembali ke Dewan Rakyat Westminster dengan 2 kerusi.

Parti Buruh digagalkan oleh golongan liberal

Keputusan pilihanraya umum UK kali ini merupakan satu tamparan hebat kepada golongan liberal yang taksub dengan model EU. Pengundi yang mengundi Parti Konservatif yang dipimpin oleh Boris Johnson menampilkan dirinya sebagai jaguh Brexit sejak awal lagi, adalah pengesahan kepada keputusan referendum Brexit pada tahun 2016. Bukan sahaja Lib Dems yang kuat pro-EU sejak awal lagi menemui kekalahan teruk, malah Parti Buruh yang mampu menghalang satu lagi kerajaan Parti Konservatif turut ditarik ke dalam kekalahan teruk kerana pendiriannya dalam Brexit yang berdilema. Yang mengecewakan adalah, peluang untuk Parti Buruh memperbaharui organisasinya supaya mengembalikan politik demokrasi sosial yang mengutamakan kelas pekerja turut terjejas kerana kekalahan ini.

20191122 - TELEMMGLPICT000216880437_1_trans_NvBQzQNjv4Bqbp882ZYJlBFxnyQgxUcRsxrNyLJG0HyXpVXN1H1KVWw
Jeremy Corbyn

Jeremy Corbyn telah mengumumkan bahawa beliau tidak akan lagi memimpin Parti Buruh dalam pilihanraya selepas ini. Parti Buruh mempunyai peluang untuk kembali kepada politik yang mengutamakan kelas pekerja selepas Corbyn dipilih sebagai Pemimpin Parti Buruh pada tahun 2015. Namun, sejak Corbyn menjadi Pemimpin Parti Buruh, beliau telah menghadapi serangan bertubi-tubi dari luar dan dalam parti. Media arus perdana UK telah menggunakan pelbagai cara dan tuduhan liar yang memburuk-burukkan politik kiri yang dibawa oleh Corbyn, sementara golongan pendukung fahaman Blair yang neoliberal dalam Parti Buruh tidak pernah berhenti mencabar kepimpinannya walaupun digagalkan setiap kali sebelum ini. Dengan Corbyn akan mengundur sebagai Pemimpin Parti Buruh, sudah pastinya golongan kanan dalam Parti Buruh akan menggunakan kekalahan teruk kali ini untuk mengkambinghitamkan dasar Corbyn yang dianggap radikal bagi mereka, kerana benar-benar dapat mencabar kekuasaan kelas pemerintah UK. Golongan saki baki fahaman Blair dalam Parti Buruh akan menggunakan kesempatan ini untuk membuang sekali lagi politik demokratik sosialnya dan menjadikan parti ini tidak berbeza dengan Parti Konservatif seperti yang pernah dilakukan oleh Tony Blair.

Kekalahan Parti Buruh di kawasan tradisionalnya di kawasan timur laut England, yang digelar “Tembok Merah”, seperti Sedgefield, Bishop Auckland, Darlington, Blyth Valley dan sebagainya, menunjukkan bahawa pengundi kelas pekerja yang terkena teruk oleh dasar neoliberal diperkenalkan oleh Parti Konservatif sejak zaman Thatcher, sekarang telah terpengaruh dengan propaganda puak berhaluan kanan bahawa Brexit dan Parti Konservatif dapat menyelamatkan mereka daripada kemelut kesusahan hidup mereka.

Manifesto Parti Buruh dalam pilihanraya umum kali ini, dikatakan “paling radikal” untuk dekad-dekad kebelakangan ini, sebenarnya tidak berbeza banyak dengan manifesto pada tahun 2017, sama-sama menekankan pada meningkatkan perbelanjaan sosial, mencukai golongan kaya dan memulihkan sistem kebajikan negara UK yang dihancurkan oleh dasar neoliberal untuk 40 tahun kebelakangan ini. Namun, apa yang membezakan manifesto Parti Buruh kali ini dengan 2 tahun dahulu adalah Parti Buruh menjanjikan referendum kedua untuk Brexit sedangkan manifesto sebelum ini adalah menghormati keputusan referendum Brexit. Perubahan pendirian ini adalah disebabkan desakan daripada golongan berhaluan kanan dalam Parti Buruh, termasuk adanya keluar parti, sehingga kepimpinan Parti Buruh yang rapat dengan Corbyn turut berkompromi. Walaupun Parti Buruh di bawah pimpinan Corbyn mengemukakan dasar pengurusan negara yang paling progresif dan mantap berbanding parti-parti lain, tetapi terkandas kerana isu Brexit dan media massa yang penuh dengan propaganda anti-Corbyn.

 

Pertembungan kelas akan semakin hebat 

Dengan Kerajaan Parti Konservatif akan berkuasa di UK untuk 5 tahun lagi, di mana Boris Johnson akan membuat perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat yang menggadaikan hak rakyat kepada golongan korporat AS selepas UK keluar dari EU, termasuk menjual sistem Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS), rakyat UK akan berdepan dengan cabaran yang lebih hebat. Dengan dasar “penjimatan” (austerity) yang mengurangkan perbelanjaan sosial akan berterusan, pertembungan kelas di UK pasti akan semakin hebat.

Rakyat UK tidak adanya banyak pilihan kecuali terus memobilisasi di jalanan, bukannya mobilisasi untuk kekal dalam EU seperti yang pernah dilakukan sebelum ini, tetapi memobilisasi untuk mempertahankan kebajikan sosial daripada serangan Kerajaan Parti Konservatif yang pro-kapitalis, bersedia bermogok besar-besaran untuk mencabar kekuasaan pemodal besar dalam dan luar negara UK, dan memperjuangkan perubahan sebenar yang membebaskan diri daripada pengaruh politik sempit yang dibawa oleh politikus seperti Boris Johnson.

One thought on “Pilihanraya Umum UK 2019: BREXIT! BREXIT! BREXIT!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *