Ribuan orang membanjiri jalanan di sekeliling pusat beli-belah MBK Centre yang terletak di pusat bandaraya Bangkok pada 14 Disember 2019, untuk menyertai aksi protes massa yang terbesar sejak tahun 2014. Protes ini diadakan berikutan Suruhanjaya Pilihanraya Thailand bertindak untuk mengharamkan Parti Maju Masa Depan (Future Forward Party), parti politik yang paling lantang bersuara dalam menentang kekuasaan kediktatoran tentera dan kerajaan Thailand sekarang ini yang dipimpin oleh bekas pemimpin tentera Prayut Chan-o-cha.
Demonstrasi pada 14 Disember 2019 ini dipanggil sehari sebelumnya oleh Parti Maju Masa Depan. Thanathorn Juangroongruangkit, pemimpin Parti Maju Masa Depan yang dilucutkan statusnya sebagai ahli parlimen, menyeru dalam video Facebook pada 13 Disember 2019, “kami percaya bahawa tibanya masa untuk rakyat yang tidak akan bertoleransi dengan rejim NCPO (Majlis Keamanan dan Ketertiban Nasional, badan pemerintah tentera selepas kudeta tahun 2014) menonjolkan diri mereka, menunjukkan keinginan mereka untuk mengambil bahagian dalam politik.”
Demonstran yang berhimpun di Bangkok semalam menjerit “Undur Prayut!” , “Hidup demokrasi!”. Apabila Thanathorn tiba di tempat protes, para demonstran memberi isyarat tangan tabik hormat tiga jari Hunger Games, satu gerak isyarat simbolik anti-kediktatoran tentera yang popular di kalangan demonstran pro-demokrasi di Thailand. Aksi demonstrasi berlangsung secara aman dengan kehadiran anggota polis yang tidak ramai di situ.
Ketika berucap di depan demonstran, Thanathorn berkata, “Hari ini adalah penonjolan kekuatan kita supaya ramai orang yang lain boleh menyertai kita pada masa akan datang. Kita berhimpun di sini hanya sebagai raptai. Prayut, jangan takut lagi. Aksi yang sebenar adalah pada bulan depan!”
Angkatan tentera yang dipimpin oleh Prayut melancarkan kudeta pada 22 Mei 2014 untuk menjatuhkan kerajaan Yingluck Shinawatra yang dipilih secara demokratik. Prayut menggunakan alasan untuk menamatkan protes jalanan yang berterusan pada masa itu untuk melakukan rampasan kuasa. Aksi protes jalanan telah diharamkan dan demonstrasi besar-besaran tidak lagi menjadi kebiasaan seperti sebelum itu, sama ada mobilisasi daripada golongan Baju Merah pro-demokrasi ataupun golongan Baju Kuning setiaraja. Pemerintah tentera NCPO memperkenalkan Perlembagaan baru yang pada tahun 2016 yang menghakis ruang demokrasi dengan hebat dan memperkukuhkan kuasa pemerintahan tentera. Perlembagaan terbaru ini “diluluskan” selepas satu referendum yang diadakan di bawah suasana politik yang menindas suara pembangkang.
Pilihanraya umum di Thailand yang pertama selepas kudeta tentera 2014 dan di bawah Perlembagaan semi-demokratik terbaru diadakan pada 24 Mac 2019. Parti Pheu Thai yang ditubuhkan oleh penyokong bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra dan juga penyokong Baju Merah menjadi parti yang terbesar dalam Parlimen Thailand dengan menguasai 135 daripada 500 kerusi Dewan Rakyat, sementara Parti Palang Pracharath, parti konservatif pro-tentera yang dipimpin oleh penyandang jawatan Perdana Menteri sejak kudeta tentara 2014 Prayut sendiri hanya memperoleh 116 kerusi dalam Dewan Rakyat. Parti Maju Masa Depan yang paling lantang bersuara mencabar kekuasaan tentara menjadi parti ketiga besar dengan memenangi 81 kerusi. Namun, kemenangan kerusi oleh pemimpin Parti Maju Masa Depan Thanathorn Juangroongruangkit telah dirampas oleh jentera negara yang masih dikuasai pihak tentera tidak lama kemudian. Suruhanjaya Pilihanraya membatalkan kelayakan Thanathorn sebagai ahli parlimen dengan tuduhan bahawa Thanathorn masih memegang saham dalam sebuah syarikat media, V-Luck Media, semasa beliau mendaftar sebagai calon pilihanraya, sesuatu yang dikatakan melanggar undang-undang pilihanraya terbaru Thailand. Thanathorn membela dirinya terhadap tuduhan tersebut dengan mengatakan bahawa semua saham yang dipegangnya telah dipindahkan kepada ibunya sebelum mendaftarkan diri untuk bertanding. Thanathorn dicalonkan oleh gabungan parti-parti anti-pemerintahan tentera sebagai Perdana Menteri, tetapi kalah kepada Prayut dalam pengundian dalam Parlimen yang masih dikuasai oleh pihak tentera yang memiliki kuasa sepenuhnya untuk melantik kesemua 250 orang ahli Dewan Senat yang mempunyai kuasa veto terhadap apa-apa keputusan Dewan Rakyat. Status ahli parlimen Thanathorn ditarik balik secara rasmi berikutan keputusan Mahkamah Perlembagaan Thailand pada 20 November 2019. Sekarang ini, Parti Maju Masa Depan yang dipimpin Thanathorn pula menghadapi nasib diharamkan sepenuhnya.
Parti Maju Masa Depan ditubuhkan pada tahun 2018 oleh sekumpulan aktivis muda dan ahli akademik atas platform menentang pemerintahan kediktatoran tentera. Thanathorn ialah salah seorang pengasas parti dan dipilih sebagai Pemimpin Parti dalam persidangan pertama Parti. Berasal dari sebuah keluarga peniaga kaya, Thanathorn pernah menyandang jawatan Naib Presiden Thai Summit Group, syarikat pembuat alatan kereta yang terbesar di Thailand. Parti Maju Masa Depan telah bergabung dengan 6 parti anti-tentera yang lain dalam satu pakatan parti pembangkang untuk mendesak perubahan kepada perlembagaan yang ditulis oleh kuasa pemerintah tentera.
Demonstrasi yang menentang kerajaan pimpinan Prayut terbaru ini besar kemungkinan akan mengembalikan lagi momentum gerakan pro-demokrasi di Thailand.
Perjuangan demokrasi di Thailand merupakan satu proses yang berpanjangan dan berliku-liku. Thailand pernah merupakan negara di Asia Tenggara yang paling awal melalui proses pendemokrasian, tetapi usaha memajukan ruang demokrasi telah dibantut oleh golongan Baju Kuning setiaraja dan pihak tentera yang anti-demokratik sejak lebih satu dekad kebelakangan ini. Sejak tahun 1932, selepas sistem raja mutlak digantikan dengan sistem raja berperlembagaan, Thailand telah mengalami lebih kurang 20 kali kudeta tentera, dengan 12 kali yang berjaya termasuk kudeta terbaru pada tahun 2014.