20190528 - ag01.jpg28 MEI 2019 – PUTRAJAYA: Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah menyerahkan satu memorandum pada hari ini kepada Jabatan Peguam Negara, dengan seruan pada Peguam Negara Tommy Thomas supaya menggugurkan pendakwaan terhadap Karthiges dan Nathan yang ditangkap semasa mempertahankan penduduk miskin di rumah pangsa PPR Padang Tembak Pulau Pinang daripada pengusiran paksa pada tahun lalu.

Kedua-dua orang yang kena tuduh, Karthiges a/l Rajamanickam (AJK Pusat PSM merangkap Ketua Biro Perumahan PSM) dan Nathan a/l Munusamy (rakan kepada salah seorang penduduk PPR yang diusir), ditangkap pada 5 Jun 2018 semasa mereka cuba membela penduduk PPR yang menghadapi pengusiran paksa pada masa itu. Mereka telah didakwa di Mahkamah Majistret Georgetown atas pertuduhan menghalang penjawat awam dan kes masih berjalan. Walaupun isu pokok berkaitan dengan perumahan telah diselesaikan tetapi mereka masih didakwa di mahkamah. Kes akan sambung bicara pada 9, 22 dan 31 Julai 2019.

Semasa menyerahkan memorandum kepada wakil Jabatan Peguam Negara, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM Choo Chon Kai berkata bahawa pendakwaan ini tidak patut diteruskan kerana ianya membazir masa pihak pendakwaraya dan sumber kehakiman, sedangkan ada lagi banyak kes penting yang memerlukan perhatian sistem kehakiman.

Turut hadir semasa penyerahan memorandum ialah A. Sivarajan (Setiausaha Agung PSM) dan S. Arutchelvan (Ahli Jawatankuasa Pusat PSM).

S. Arutchelvan berkata, “Kes ini akan memburukkan nama Kerajaan Pakatan Harapan kerana aktivis yang membela hak perumahan golongan rakyat B40 didakwa di mahkamah dengan tuduhan yang remeh. Jika pendakwaan kes pembunuhan warga Korea Utara Kim Jong-nam boleh digugurkan apabila kerajaan merasakan tidak rasional untuk meneruskannya, maka kes yang sebenarnya tidak perlu didakwa ini pun patut digugurkan. Pihak Peguam Negara tidak patut membazirkan wang dan membuang masa dalam kes ini.”

Latar belakang kes

Pada 5 Jun 2018, Karthiges a/l Rajamanickam dan Nathan a/l Munusamy berada di rumah pangsa PPR Padang Tembak, Pulau Pinang, untuk memberi bantuan kepada penduduk di unit PPR yang menghadapi pengusiran paksa daripada pihak Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Mereka cuba berbincang dengan pegawai daripada Unit Penguatkuasaan dan Strata Bahagian Perumahan di hadapan unit yang dihuni oleh Mahathir bin Hajah Mydeen dan ahli keluargannya, untuk menangguhkan pengusiran tersebut, tetapi polis telah menahan mereka berdua. Mereka berdua dilepaskan dengan jamin polis pada malam hari itu juga.

Karthiges a/l Rajamanickam ialah aktivis PSM yang terlibat dalam banyak isu perumahan berhubung dengan rakyat miskin B40, sementara Nathan a/l Munusamy ialah rakan kepada salah seorang penghuni unit rumah PPR Padang Tembak yang menghadapi pengusiran pada masa itu.

Pada 4 Julai 2018, Karthiges a/l Rajamanickam dan Nathan a/l Munusamy didakwa di Mahkamah Majistret Georgetown, di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, iaitu tuduhan “menghalang penjawat awam daripada menjalankan kerja-kerja jawatannya”, dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (tiap-tiap seorang daripada beberapa orang bertanggung atas suatu perbuatan yang dilakukan oleh semuanya seolah-olah dilakukan olehnya seorang). Mereka berdua diikat jamin dengan wang jaminan sebanyak RM2,500 setiap orang.

Karthiges a/l Rajamanickam telah membantu beberapa keluarga yang menghuni di unit rumah PPR Padang Tembak yang menghadapi pengusiran daripada Bahagian Perumahan Pulau Pinang sejak bulan November 2017. Penduduk rumah PPR berkenaan diusir kerana dikatakan kehilangan kelayakan untuk tinggal di situ dengan alasan seperti tunggakan bayaran sewa, had gaji melebihi had, berkahwin dengan warga asing, tidak mencukupi usia untuk memohon dan sebagainya. Penduduk yang terkesan telah mempertikaikan dasar penetapan kelayakan yang tidak munasabah seperti had maksimum pendapatan isi rumah/perseorangan yang begitu rendah. Dengan bantuan Karthiges a/l Rajamanickam, 5 keluarga yang menghadapi pengusiran paksa telah menyerahkan memorandum kepada pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 29 Disember 2017, dan kemudiannya pada 1 Jun 2018, untuk memohon perbincangan dengan pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya menangguhkan pengusiran dan mencari penyelesaian yang sewajar.

Namun, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak berjumpa dengan penduduk PPR Padang Tembak berkenaan, dan operasi pengusiran telah diadakan pada 5 Jun 2018. Karthiges a/l Rajamanickam cuba memohon perbincangan dengan pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada hari itu untuk menangguhkan pengusiran tersebut kerana pada ketika itu adalah bulan Ramadan dan ada keluarga yang diusir (termasuk keluarga Mahathir bin Hajah Mydeen) beragama Islam dan perlu menunaikan ibadah puasa. Pihak Bahagian Perumahan masih meneruskan pengusiran tanpa mengadakan perbincangan dengan penduduk.

Selepas pengusiran paksa pada 5 Jun 2018, penduduk yang kehilangan tempat tinggal terpaksa mengadakan protes di Komtar, di mana terletaknya Pejabat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, untuk menuntut keadilan. Dengan bantuan daripada badan bukan kerajaan seperti Aliran, penduduk akhirnya dapat berjumpa dengan YB Jagdeep Singh selaku Ahli Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pegawai Bahagian Perumahan pada 8 Jun 2018. Penduduk telah ditawar perumahan alternatif di Seberang Perai Selatan dalam perjumpaan tersebut. Isu berkaitan dengan perumahan penduduk PPR Padang Tembak boleh dikatakan telah selesai, tetapi dua orang yang ditahan semasa operasi pengusiran masih didakwa di Mahkamah Majistret Georgetown selepas itu.

Setelah beberapa kali sebutan yang ditangguh kerana pihak Timbalan Pendakwaraya tidak menyerahkan dokumen yang diperlukan, perbicaraan kes telah ditetapkan dan berlangsung pada 9 dan 10 Mei 2019.

Semasa perbicaraan kes pada 10 Mei 2019, Timbalan Pendakwaraya telah memohon untuk mengemukakan bahan bukti baru, iaitu video rakaman, yang tidak pernah dikemukakan dan diserahkan kepada peguam bela OKT sebelum itu, walaupun 10 bulan telah berlalu selepas pendakwaan di mahkamah. Oleh yang demikian, perbicaraan kes terpaksa ditangguhkan lagi ke tarikh baru pada 9, 22 dan 31 Julai 2019.

Peguam bela OKT, Tetuan V. Parthipan & Co, pernah menyerahkan representasi kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang pada 31 Mac 2019, untuk memohon supaya menggugurkan pertuduhan terhadap Karthiges a/l Rajamanickam dan Nathan a/l Munusamy. Namun, tiada balasan daripada pihak Timbalan Pendakwaraya sehingga sekarang.

Pendakwaraya tidak patut bazir masa dalam kes pendakwaan terhadap Karthiges dan Nathan

PSM berpandangan bahawa kes pendakwaan terhadap Karthiges a/l Rajamanickam dan Nathan a/l Munusamy patut digugurkan, atas sebab-sebab berikut:

  1. Karthiges a/l Rajamanickam dan Nathan a/l Munusamy berada di PPR Padang Tembak semasa tangkapan polis adalah hanya untuk membantu penduduk miskin yang sedang diusir secara paksa dengan memohon perbincangan dengan pihak penguatkuasa, tetapi mereka terus ditangkap dan kemudiannya didakwa.
  2. Karthiges a/l Rajamanickam dan Nathan a/l Munusamy tidak melakukan apa-apa tindakan yang kasar terhadap pegawai penguatkuasaan Bahagian Perumahan semasa mereka ditangkap. Perkara ini dapat disahkan dalam keterangan yang diberikan oleh pegawai Bahagian Perumahan yang terlibat.
  3. Isu perumahan yang berkaitan dengan pengusiran paksa di PPR Padang Tembak pada 5 Jun 2018 telah diselesaikan beberapa hari selepas itu. Jika tawaran rumah alternatif oleh Bahagian Perumahan Pulau Pinang diberikan sejak awal lagi, sememangnya penahanan terhadap Karthiges a/l Rajamanickam dan Nathan a/l Munusamy boleh dielakkan. Adalah tidak masuk akal untuk meneruskan kes pendakwaan yang melibatkan penangkapan semasa pengusiran ini sedangkan isu utama berkaitan dengan perumahan telah diselesaikan.
  4. Pendakwaan terhadap Karthiges a/l Rajamanickam dan Nathan a/l Munusamy atas pertuduhan yang remeh sebegini, sedang membazir tenaga pihak Pendakwaraya dan sumber sistem kehakiman negara. Pihak pendakwaraya dan sistem kehakiman sepatutnya memberi tumpuan kepada kes yang lebih penting, bukannya membazirkan masa dalam kes ini.
  5. Pihak Timbalan Pendakwaraya dalam kes ini nampaknya tidak dapat memfokus pada kes ini dan gagal bertindak secara profesional, seperti lambat menyerahkan dokumen dan mengemukakan bahan bukti pada saat-saat terakhir sehingga menyebabkan penangguhan perbicaraan. Seperti yang dinyatakan dalam perkara 10(iv) di atas, perbicaraan kes ini telah mengalihkan perhatian pihak pendakwaraya daripada urusan kes yang lebih penting dan sedang membazir sumber kehakiman.

Oleh yang demikian, PSM meminta pada pihak Jabatan Peguam Negara dan Pendakwaraya supaya menggugurkan pendakwaan terhadap Karthiges a/l Rajamanickam dan Nathan a/l Munusamy.

4 thoughts on “Peguam Negara digesa gugurkan pendakwaan terhadap aktivis yang pertahankan penduduk miskin daripada pengusiran paksa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *