20190528 - ag01oleh S. Arutchelvan 

R. Karthiges, Ketua Biro Perumahan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan seorang lagi aktivis tempatan Nathan a/l Munusamy, telah ditangkap pada 5 Jun 2018 yang ketika itu adalah bulan Ramadan, semasa mereka cuba mempertahankan rumah Mahathir bin Hajah Mydeen, seorang penduduk daripada keluarga B40 di unit PPR Padang Tembak, Pulau Pinang. Ini mungkin merupakan penahanan pertama seorang aktivis pembela hak asasi manusia selepas Kerajaan Pakatan Harapan mengambilalih kuasa di Persekutuan pada 9 Mei 2018.

Pada hari tersebut, mereka berdua berada di rumah pangsa PPR Padang Tembak, Pulau Pinang untuk mempertahankan rumah warga miskin yang diancam pengusiran paksa oleh pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Dalam suasana yang penuh tegang dan sedih, dalam situasi mereka cuba berdialog untuk menangguhkan pengusiran tetapi hasrat mereka gagal apabila mereka telah ditahan polis tanpa kerelaan mereka. Pada ketika itu, mereka sedang cuba membela rumah Mahathir bin Hajah Mydeen dan keluarganya daripada diusir keluar.

Isu ini mendapat liputan luas dalam media dan pelbagai NGO tempatan seperti ALIRAN dan SUARAM turut memberi sokongan kepada dua aktivis ini. Mereka telah dibebaskan pada hari yang sama pada jam 8.30 malam dengan jamin polis.

Isu rumah selesai tetapi pendakwaan terhadap aktivis diteruskan

Setelah mereka dibebaskan daripada tahanan, mereka tidak balik rumah tetapi terus tinggal dan membantah bersama keluarga lain yang kehilangan rumah di Pejabat Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Bangunan KOMTAR. Kegigihan berterusan mereka bersama mangsa pengusiran akhirnya membuahkan hasil apabila tiga hari selepas itu, iaitu pada 8 Jun 2018, Jagdeep Singh selaku Ahli Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pegawai Bahagian Perumahan telah menawarkan perumahan alternatif kepada 4 daripada 5 keluarga untuk tinggal di Seberang Perai Selatan. Maka, satu isu gelandangan berjaya diselesaikan oleh Kerajaan Negeri. Sudah pasti isu ini tidak akan selesai tanpa penglibatan gigih aktivis daripada PSM dan penduduk yang diancam pengusiran tersebut.

Justeru, dua orang aktivis ini sepatutnya dijunjung oleh Kerajaan Negeri kerana berjaya menyelamatkan keluarga miskin B40 daripada pengusiran dan berjaya mencapai satu penyelesaian yang baik kepada masalah ini.

Namun, hadiah yang diterima mereka adalah didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dengan tuduhan “menghalang penjawat awam daripada menjalankan kerja-kerja jawatannya”. Mereka didakwa di pada 4 Julai 2018 di Mahkamah Majistret Georgetown. Mereka kemudiannya dikat jamin dengan RM2,500 setiap orang.

20180704_144913.jpg
R. Karthiges (kedua dari kanan) dan Nathan (ketiga dari kanan) di Mahkamah Georgetown semasa didakwa pada 4 Julai 2018.

Pendakwaan tidak berasas

Pendakwaan ini mengejutkan. Jika semasa ditahan, mungkin ramai yang tidak faham isu ini; tetapi selepas isu ini diselesaikan, tindakan mendakwa mereka adalah tindakan berniat jahat dan membuang masa sahaja. Apakah motif kes ini terus didakwa pada zaman yang disifatkan oleh Tun Mahathir sebagai Merdeka Kedua?

Kedua-dua orang aktivis ini bukanlah penjenayah dan apa yang diakukan mereka juga bukanlah sesuatu yang memudaratkan masyarakat kita. Dalam insiden tersebut, tiada sesiapa yang cedera ataupun harta awam yang dirosakkan. Keterangan daripada pihak polis dan pegawai Bahagian Perumahan sendiri boleh menyokong fakta ini.

Dalam keadaan apabila Kerajaan Pakatan Harapan boleh mengugurkan tuduhan ke atas Siti Aisyah dan Doan Thi Huong yang dituduh membunuh Kim Jong-nam, abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, secara perbandingannya, kes ini adalah terlalu kecil, tidak signifikan dan tidak berasas untuk diteruskan pendakwaan

R. Karthiges ialah Ketua Biro Perumahan PSM yang terlibat dalam banyak isu perumahan berhubung dengan rakyat miskin B40. Beliau juga terlibat dalam banyak rundingan dengan kerajaan negeri dan telah memainkan peranan utama dalam isu-isu yang melibatkan rakyat miskin di Pulau Pinang. Dalam isu ini, beliau bersama Nathan telah melibatkan diri sejak bulan November 2017 apabila mendengar keluhan dan rintihan rakyat miskin.

Mereka juga telah mengadakan inisatif yang sah dan bertamadun seperti menyerahkan memorandum kepada pihak Kerajaan Negeri pada 29 Disember 2017 dan sekali lagi pada 1 Jun 2018. Semua ini dilakukan untuk mencari satu penyelesaian. Pada ketika itu, seperti juga pada masa sekarang, ia adalah bulan  Ramadan dan ada keluarga yang beragama Islam perlu berpuasa.

Pada 21 Mac 2019, peguam bela mereka berdua, V. Parthipan, telah menghantar satu representasi kepada Ketua Pendakwaan Negeri Pulau Pinang untuk merayu supaya pertuduhan terhadap kedua-dua aktivis ini digugurkan. Namun, semasa tarikh perbicaraan pada 9 Mei 2019, mereka telah dimaklumkan bahawa tiada sebarang maklumbalas daripada Pejabat Peguam Negara, dan kes ini akan disambung bicara pada 9, 22 dan 31 Julai 2019.

Tommy Thomas kena gugurkan kes ini

PSM pada hari ini (28 Mei 2019) membuat satu lagi rayuan, dan kali ini ia dihantar terus kepada Jabatan Peguam Negara untuk perhatian Peguam Negara Tommy Thomas. PSM berpandangan bahawa penerusan kes ini hanyalah membazirkan wang rakyat dan membuang masa kerajaan. Isu pokok pada akarnya sudah selesai, mengapa berpegang kepada dahan yang rapuh?

Dua orang aktivis ini membela rumah orang miskin. Mahathir dalam isu ini bukanlah orang yang ada kuasa politik atau wang. Beliau ialah mangsa satu sistem di mana tidak ada perumahan yang cukup untuk rakyat miskin. Kerajaan Negeri Pulau Pinang memang mengakui masalah ini dan telah merancang untuk membina rumah bagi rakyat miskin di negeri tersebut. Penglibatan aktivis seperti Karti dan Nathan sebenarnya adalah aset kepada Kerajaan. Kerajaan Pakatan Harapan yang sepatutnya membawa harapan baru tidak harus dibebankan dengan kes-kes kecil dan remeh seperti ini.

Gugurkan tuduhan dan fokus dalam membina rumah untuk rakyat miskin.

==========

S. Arutchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Baca selanjutnya: Peguam Negara digesa gugurkan pendakwaan terhadap aktivis yang pertahankan penduduk miskin daripada pengusiran paksa

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s