20191121- HK75315955_2454134454703761_2556223891580125184_n.jpg

Gelombang protes yang hebat telah melanda Hong Kong sejak hampir 6 bulan yang lalu, dan masih berterusan sehingga hari ini dan membawa masa depan yang tidak menentu kepada bandaraya yang menjad pusat kewangan antarabangsa ini.

Protes yang bermula sebagai perarakan besar-besaran yang aman untuk menyuarakan bantahan terhadap rang undang-undang ekstradisi ke Tanah Besar China, telah berkembang kepada aksi pemberontakan yang meluas terhadap Kerajaan Hong Kong dan mendatangkan impak yang mendalam kepada masyarakat Hong Kong, malah menggegarkan negara China dan menjadi batu api kepada pertembungan antara kuasa-kuasa yang berkepentingan geopolitik. Walaupun rang undang-undang berkontroversi yang menjadi pencetus kepada gelombang protes telah ditarik balik, tetapi tuntutan protes telah melangkaui penarikan balik rang undang-undang ekstradisi, diperluaskan kepada seruan untuk pembaharuan politik dan menentang keganasan polis Hong Kong yang semakin serius.

Aksi protes semakin kerap berlaku di Hong Kong dalam bentuk yang berbagai-bagai, dari perarakan ke duduk bantah, dari rantai manusia ke mogok politik, dari boikot kelas ke mengepung balai polis, malah ada yang mengambil tindakan yang lebih ganas seperti merosakkan stesen MTR dan premis perniagaan yang dianggap menyokong keganasan polis. Tindakan polis Hong Kong juga semakin ganas dan zalim terhadap demonstran. Polis Hong Kong yang pada satu ketika mempunyai imej sangat positif sebagai sebuah pasukan keselamatan yang berwibawa tinggi di Asia, telah bertukar menjadi jentera penindasan yang dibayangi dengan keganasan yang semakin dahsyat dan seolah-olah sudah hilang kawalan. Malah, sudah adanya “tuntutan keenam” selain 5 tuntutan utama gerakan protes, iaitu membubarkan Pasukan Polis Hong Kong. Pertempuran yang melibatkan polis dengan demonstran juga semakin sengit dalam minggu-minggu kebelakangani ini.

Yang terbaru adalah kampus-kampus universiti di Hong Kong telah menjadi medan pertempuran antara polis dengan demonstran yang kebanyakannya anak muda. Pertempuran di Chinese University of Hong Kong (CUHK) pada 11-15 November 2019 dan pengepungan polis terhadap Hong Kong Polytechnic University (PolyU), merupakan kemuncak baru pertembungan yang hebat antara demonstran dengan polis Hong Kong.

Walaupun gelombang protes yang berlarutan untuk berbulan-bulan lama di Hong Kong sekarang ini dicetuskan oleh satu rang undang-undang yang kontroversi, tetapi asas untuk letusan masyarakat yang begitu hebat ini telah wujud sejak bandaraya Hong Kong dipindahkan dari tangan penjajah British kepada kuasa pemerintahan negara China yang berpusat di Beijing pada tahun 1997. Di bawah kerangka “Satu Negara Dua Sistem”, bandaraya Hong Kong sepatutnya menikmati autonomi yang meluas, untuk sekurang-kurangnya 50 tahun. Namun, setelah lebih 22 tahun “pengembalian” Hong Kong kepada China, rakyat Hong Kong yang tidak pernah mempunyai kuasa untuk menentukan nasib sendiri semakin terasa perluasan kongkongan kuasa Beijing terhadap bandaraya yang sepatutnya berautonomi tahap tinggi ini. Perjuangan demoktratik untuk pelaksanaan pengundian sejagat dalam pilihanraya Dewan Perundangan dan Ketua Eksekutif yang dimulakan sejak sebelum peralihan kuasa ke dalam tangan Beijing, masih menemui jalan buntu. Cubaan Kerajaan Hong Kong untuk memperkenalkan rang undang-undang keselamatan negara (Perkara 23) pada tahun 2003, pernah mencetuskan protes yang besar-besaran sehingga mendesak kerajaan Hong Kong untuk menarik balik rang undang-undang itu. Kemudiannya wujud gelombang aksi generasi muda seperti perjuangan menentang pembinaan keretapi berkelajuan tinggi Shenzhen-Hong Kong pada tahun 2009-2010 dan protes menentang “Pendidikan Moral dan Nasional” pada tahun 2011-2012. Pada tahun 2014, keputusan Kerajaan Pusat Beijing untuk memperkenalkan penapisan calon bagi pembaharuan pilihanraya Ketua Eksekutif mencetuskan Gerakan Payung yang hebat dengan tuntutan untuk pilihanraya demokratik dengan pengundian sejagat yang sebenar. Namun, pengundian sejagat masih belum dilaksanakan di Hong Kong pada hari ini.

Lebih-lebih lagi, beberapa tahun kebelakangan ini selepas kegagalan Gerakan Payung, ruang demokrasi di Hong Kong semakin mengecut dan perluasan kekuasaan Beijing ke bandaraya yang sepatutnya berautonomi tinggi ini semakin ketara. Rakyat Hong Kong, khususnya anak-anak muda, semakin hari semakin gelisah dan terdesak untuk mempertahankan diri mereka daripada ancaman kekuasaan Beijing. Apabila gerakan anti-ekstradisi tercetus pada bulan Jun 2019, dengan polis Hong Kong menggunakan kekerasan sebagai “pemangkin”, segala kegusaran, kegelisahan, ketidakpuasan hati dan kemarahan rakyat, telah meletus menjadi satu gelombang protes yang hebat.

Pergolakan masyarakat di Hong Kong selama beberapa bulan yang lepas ini tercetus daripada kebangkitan rakyat yang spontan. Sehingga hari ini, “gerakan” di Hong Kong masih tidak mempunyai kepimpinan politik yang jelas, malah tiada mana-mana kuasa sama ada kiri atau kanan dapat mengambil kepimpinanan. Ketiadaan kepimpinan utama dalam gerakan perjuangan rakyat Hong Kong beberapa bulan yang lalu, telah berjaya menyatukan ataupun sekurang-kurangnya mengelakkan perpecahan antara demonstran yang datang daripada pelbagai latar belakang dan ideologi, di samping terbentuknya “persefahaman” yang tersirat di kalangan peserta aksi untuk melakukan apa sahaja bentuk protes selagi masih dalam kerangka 5 tuntutan utama. Namun, ketiadaan kepimpinan juga mewujudkan situasi di mana gerakan ini tidak menampakkan satu halatuju yang jelas, malah banyak perkara yang bercanggah di kalangan peserta aksi. Ramai anak muda yang menyertai aksi perjuangan ini lebih kepada manifestasi kehilangan harapan terhadap masa depan Hong Kong, bukannya bermotivasikan harapan yang positif. Keganasan yang melibatkan pertembungan antara demonstran pro-demokrasi dengan penyokong pro-Beijing juga semakin kerap berlaku. Ini telah membentuk satu dinamik yang kompleks dalam gerakan perjuangan rakyat di Hong Kong.

Apa yang pasti adalah, Hong Kong tidak dapat lagi kembali kepada keadaan “bisnes seperti biasa” (business as usual). Di bawah situasi Kerajaan enggan mempeduli secara serius rintihan rakyat dan momentum pemberontakan di kalangan anak muda masih berterusan, masa depan bandaraya Hong Kong dibelenggu dengan nasib yang tidak menentu.

***********

Mari kita imbas kembali secara ringkas peristiwa penting yang berlaku di Hong Kong sejak bulan Jun 2019.

20190612 - HK-190609154457-hong-kong-2-exlarge-169

9 Jun 2019: Perarakan sejuta rakyat

Walaupun merupakan perarakan yang ketiga dianjurkan oleh Fron Hak Asasi Manusia Sivil (CHRF), tetapi ia merupakan terbesar pada masa itu, dengan lebih 1 juta orang berarak di Pulau Hong Kong. Reaksi Kerajaan Hong Kong pimpinan Carrie Lam Cheng Yuet-ngor adalah mengumumkan bahawa bacaan kedua untuk Rang Undang-undang Ekstradisi akan diteruskan pada 12 Jun 2019.

20190612 - HK3500

12 Jun 2019: Tembakan gas pemedih mata yang pertama

Puluhan ribu orang mengepung Bangunan Dewan Perundangan Hong Kong untuk membantah bacaan kedua Rang Undang-undang Ekstradisi yang dijadualkan pada hari itu. Demonstran bertempur dengan polis. Polis mengatakan demonstran “merusuh” dan bertindakbalas dengan menggunakan penyembur lada, kayu pemukul dan gas pemedih mata untuk mematahkan protes. Tembakan gas pemedih mata pada hari itu adalah kali pertama selepas gas pemedih mata ditembak pada bulan September 2014 (yang mencetuskan Gerakan Payung). Perbahasan tentang Rang Undang-undang Ekstradisi ditangguhkan berikutan aksi protes dan pertempuran pada masa itu.

15 Jun 2019: Penggantungan Rang Undang-undang Ekstradisi

Ketua Eksekutif Carrie Lam mengumumkan bahawa Rang Undang-undang Ekstradisi digantung sementara, tetapi enggan menarik balik sepenuhnya. Seorang lelaki berumur 35 tahun, Marco Leung Ling-kit, membunuh diri untuk membantah keputusan Carrie Lam, menjadikannya orang yang pertama membunuh diri kerana protes anti-ekstradisi. 

20190619-64433608_10157752646802448_1132523613996449792_n

16 Jun 2019: Perarakan terbesar dalam sejarah Hong Kong

Dianggarkan hampir 2 juta orang mengambil bahagian dalam protes di Pulau Hong Kong, menjadikannya aksi protes dengan jumlah penyertaan yang paling besar dalam sejarah Hong Kong.

20191121 - 1024px-示威者於立法會會議廳展示標語,_Jul_2019.jpg

1 Julai 2019: Pecah masuk ke Dewan Perundangan

Ratusan ribu orang berarak di Pulau Hong Kong pada ulangtahun ke-22 penyerahan Hong Kong kepada China. Pada masa yang sama, sekumpulan kecil demonstran berjumlah ratusan orang telah menyerbu dan berjaya pecah masuk ke dalam Dewan Perundangan Hong Kong pada malam ini. “5 tuntutan utama” sudah jelas dinyatakan pada masa itu dalam “Deklarasi Admiralty”.

14 Julai 2019: Pertumpahan darah di dalam pusat beli-belah di Sha Tin

Selepas perarakan di kawasan Sha Tin, polis menyerbu ke dalam pusat beli-belah New Town Plaza, dan bertindak ganas terhadap demonstran yang berkumpul di sana. Kekecohan timbul di dalam pusat beli-belah itu. Ratusan orang berprotes di pusat beli-belah tersebut beberapa hari selepas itu.

20191121 - HK 20190823181049frontPhoto.jpg

21 Julai 2019: Serangan samseng di Yuen Long

Peserta aksi protes yang pulang pada waktu malam ke kawasan Yuen Long, diserang oleh samseng berbaju putih di stesen MTR Yuen Long. Polis telah bertindak secara berlengah-lengah dan tiada tangkapan dilakukan ke atas samseng yang mengganas pada malam ini, sehingga menimbulkan spekulasi bahawa polis telah bersekongkol dengan kumpulan samseng.

5 Ogos 2019: Mogok umum

Mogok umum telah dipanggil pada hari itu, dengan ratusan ribu orang tidak pergi bekerja sama ada secara sukarela untuk menyatakan bantahan ataupun secara tidak sukarela (kerana gangguan laluan pengangkutan awam). Jalanraya dan landasan keretapi disekat. Aksi perhimpunan serentak di 7 daerah. Lebih 200 penerbangan dibatalkan pada hari itu.

11 Ogos 2019: Mata demonstran ditembak

Seorang demonstran wanita dicederakan matanya oleh peluru pundi kacang yang ditembak polis. Pada hari itu juga, polis menembak gas pemedih mata ke dalam stesen MTR, di samping adanya polis menyamar sebagai demonstran untuk menjadi ejen provokasi. Keganasan polis ini mencetuskan protes duduk bantah di Lapangan Antarabangsa Hong Kong selama 3 hari pada 12-14 Ogos 2019. 

20191121- IMG-20190818-WA0023-928x522.jpg

18 Ogos 2019: 1.7 juta orang berarak dalam hujan

1.7 juta orang mengambil bahagian dalam perhimpunan di Victoria Park, Causeway Bay, untuk membantah keganasan polis. Jumlah penyertaan aksi protes yang begitu besar menunjukkan bahawa momentum gerakan masih kuat selepas dua bulan.

20191121 - HK800px-Human_chain_on_the_top_of_Lion_Rock._Hong_Kong._20190823_(48608457766).jpg

23 Ogos 2019: Jalur Hong Kong 

Dianggarkan 210,000 orang mengambil bahagian dalam aksi “Jalur Hong Kong” (Hong Kong Way) yang membentuk rantai manusia sepanjang 50 km.

31 Ogos 2019: Peningkatan keganasan dan peristiwa stesen MTR Prince Edward

Ketika ulangtahun ke-5 pengumuman cadangan Beijing untuk menghadkan pilihanraya dengan penapisan calon, ribuan orang berprptes di jalanan. Sesetengah demonstran menyalakan api di sekatan jalan dan melontar bom petrol ke arah polis. Pada waktu malam, Skuad Taktikal Khas polis menyerbu stesen MTR Prince Edward di Kowloon dan memukul orang yang dipercayai demonstran di situ. Oleh sebab khabar angin yang tersebar dalam internet yang mengatakan operasi polis di stesen Prince Edward menyebabkan kematian, ramai orang berprotes di stesen MTR Prince Edward selepas itu dan menuntut pada syarikat MTR untuk mendedahkan rakaman CCTV di stesen MTR Prince Edward pada malam 31 Ogos 2019. 

20191121 - HKs4.reutersmedia.net1.jpg

2-9 September 2019: Boikot kelas

Pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah mengadakan aksi boikot kelas pada permulaan semester baru.

4 September 2019: Carrie Lam tarik balik Rang Undang-undang Ekstradisi

Ketua Eksekutif Hong Kong Carrie Lam mengumumkan bahawa Kerajaan Hong Kong akan menarik balik sepenuhnya Rang Undang-undang Ekstradisi, tetapi sudah terlambat 3 bulan untuk membendung perluasan gelombang protes yang di luar kawalan mana-mana pihak.

1 Oktober 2019: Polis tembak peluru hidup terhadap demonstran untuk kali pertama

Demonstrasi tercetus di beberapa daerah di Hong Kong pada hari yang bersempena ulangtahun ke-70 penubuhan Republik Rakyat China. Di kawasan Tsuen Wan, dalam satu insiden pergelutan antara demonstran dengan polis, polis melepaskan tembakan dengan peluru hidup untuk kali pertama terhadap seorang demonstran dan mencederakannya. Polis melepaskan sebanyak 1,400 das tembakan gas pemedih mata pada hari itu.

4 Oktober 2019: Larangan bertopeng dan protes terhadapnya

Carrie Lam menggunakan Ordinan Peraturan Kecemasan yang digubal oleh penjajah British sejak tahun 1922 untuk mengenakan satu undang-undang untuk mengharamkan pemakaian topeng muka dalam perhimpunan awam. Penggubala undang-undang kecemasan tersebut mencetuskan demonstrasi di beberapa daerah pada hari yang sama dan berterusan. Vandalisme terhadap kedai yang dianggap pro-Beijing dan gangguan terhadap sistem MTR semakin hebat. Larangan topeng telah diisytihar bercanggah dengan perlembagaan oleh Mahkamah Tinggi Hong Kong pada 18 November 2019 tetapi keputusan tersebut telah dicabar oleh golongan pemerintah di Beijing.

8 November 2019: Kematian peserta aksi pertama yang disahkan 

Seorang pelajar berumur 22 tahun, Chow Tsz-Lok, meninggal dunia beberapa hari selepas jatuh dari sebuah tempat letak kereta yang berdekatan dengan tempat berlakunya pertempuran antara polis dengan demonstran.

20191121 - HKs4.reutersmedia.net.jpg

11-19 November 2019: Kampus universiti jadi medan perang

Aksi mogok berlaku selama 5 hari di Hong Kong pada 11-15 November. Polis menyerbu kampus Chinese University of Hong Kong (CUHK) dan menyaksikan pertempuran sengit antara demonstran dengan polis. PolyU juga diserbu dan dikepung polis pada 17-20 November 2019.

*****

20191121 - HK68755014_10161987262970265_2452222473983229952_o_DPxze_1200x0.png
Slogan yang tertera di atas plakad: “Lima Tuntutan Utama, Kurang Satu Pun Tak Boleh!”

5 tuntutan utama protes:

  1. Penarikan balik sepenuhnya rang undang-undang ekstradisi.
  2. Penarikan balik pencirian protes sebagai “rusuhan”.
  3. Pembebasan dan pengampunan terhadap demonstran yang yang ditahan.
  4. Penubuhan suruhanjaya siasatan bebas mengenai keganasan polis.
  5. Pelaksanaan pengundian sejagat untuk pilihanraya Majlis Perundangan dan Ketua Eksekutif Hong Kong.

 

*****

20191121 - HK191102_ps_hong_kong_protest_tear_gas_0449_8e605b87157f78bb4987c0526c17d054.fit-760w.jpg

Sedikit statistik tentang gelombang protes di Hong Kong sejak 9 Jun 2019:

Jumlah aksi protes yang menentang kerajaan: sekurang-kurangnya 514 (perhimpunan pro-kerajaan: 10 kali)

Jumlah orang yang ditangkap berkaitan dengan protes (hingga 18 November 2019): 4,491 orang

Jumlah gas pemedih mata yang ditembak (hingga 13 November 2019): sekurang-kurangnya 9,326 das (pada 12 November 2019 sehari sahaja, 1567 das gas pemedih mata ditembak oleh polis)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s