oleh Ramlan bin Ramli
Aku ingin jadi ulama
Segala kataku adalah fatwa
Maka dari mula
Aku mengisi borang mulia
Mendapat nombor keahlian persis aulia
Tiket masuk syurga
Aku ingin jadi ulama
Bicaraku dan bicaranya sama
Tapi aku betul dan dia dusta
Kerana lidahku punya mutiara
Tintaku punya cahaya
Tingkahku berlapik sabda
Partiku benteng segala angkara
Walau hilang berbilion juta
Disesah licin wang negara
Asalkan ada seiya kata
Antara aku dan dia
Dilapik kertas berharga.
Aku ingin jadi ulama
Berdiri tegap di mimbar agama
Memegang tongkat cokmar kuasa
Merantai jiwa para pencinta
Pencari redha tuhan yang esa
Kerana mereka pengikut setia
Wala’ teguh bagaikan hamba
Aku ingin jadi ulama
Impianku di masa lena
Kerana mimpi sangat berharga
Mampu mensahihkan khabar dan reka
Asalkan petah menyabung bicara
Kepada dungu yang tak punya citra
Santri talaqi bertahun hanya sesia
Digalang hujah mimpi pujangga.
Aku teringin jadi ulama.
1 November 2019, Restoren AA Maju, Bandar Country Homes