20191122-og-fb-photo-belanjawan-dark.png

oleh V. Selvam / PSM Selangor

Belanjawan Negeri Selangor 2020 Belanjawan Negeri Selangor 2020 telah dibentangkan pada 1 November 2019 di Dewan Undangan Negeri Selangor oleh Menteri Besar Selangor Amirudin Shari. Walaupun Belanjawan ini dikatakan Bajet berjimat, namun kritikan terhadapnya adalah ia tidak menangani isu-isu rakyat Selangor secara menyeluruh.

Antara isu-isu rakyat yang perlu perhatian adalah:

1. Perumahan untuk rakyat

Walaupun Belanjawan Selangor 2020 meneruskan program Rumah Idaman mampu milik yang mensasarkan B40 dan M40, harga rumah yang dikenakan masih tinggi iaitu, RM250,000. PSM sebelum ini telah mengutarakan bahawa harga rumah yang ditetapkan perlu mengambil kira gaji minimum RM1100, dan kenyataan Bank Negara pada bulan Ogos 2018 yang menyatakan bahawa harga rumah sepatutnya tidak boleh melebihi tiga kali ganda purata pendapatan tahunan. Oleh itu, PSM Selangor menyarankan kepada Kerajaan Negeri Selangor bahawa harga rumah untuk golongan B40 dan M40 harus ditetapkan dalam lingkungan RM39,000 hingga RM100,000.

Selain itu, Belanjawan Selangor 2020 gagal menangani masalah sebenar di flat kos rendah. Penduduk rumah pangsa menghadapi masalah penyelengaraan yang serius sehingga menyebabkan banyak flat berada dalam keadaan tidak terurus. Badan Pengerusan Bersama (JMB) yang ditubuhkan majoritinya gagal mengutip yuran peyelenggaraan. Walaupun bantuan seperti Skim Ceria dengan peruntukan RM10 juta bagi tahun 2020 disediakan, ianya tidak mencukupi dan tidak menyelesaikan masalah penyelenggaraan.

Selangor ialah sebuah negeri di mana terdapat banyak flat kos rendah. Jadi, PSM Selangor menggesa Kerajaan Negeri Selangor supaya menjadi contoh dengan mengambilalih penyelenggaraan dan menjadikannya tanggungjawab Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). PSM sebelum ini pernah memberikan cadangan ini kepada Kerajaan Negeri Selangor.

PSM Selangor juga mendapati bahawa pengusiran paksa masih berlaku di Selangor seperti di Paya Jaras dan Ampang, dan penduduk yang diusir digelar penduduk haram. PSM Selangor ingin menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Selangor harus menghormati para peneroka bandara supaya tidak menggelar mereka sebagai haram, kerana penduduk berkenaan telah menduduki sesuatu tempat untuk tempoh yang lama dengan bekalan kemudahan seperti air, elektrik dan jalanraya yang disediakan oleh Kerajaan.

2. Kelestarian alam sekitar

PSM Selangor mengambil maklum usaha Kerajaan Negeri Selangor dalam memelihara alam sekitar. Belanjawan Selangor 2020 telah menggariskan banyak inisiatif seperti penggunaan teknologi hijau, penanaman pokok di bandar, projek kitar semula dan pengurusan pepejal.

Namun, PSM Selangor gagal melihat rancangan pemeliharaan alam sekitar yang lebih menyeluruh oleh Kerajaan Negeri Selangor. PSM Selangor melihat masalah penebangan hutan untuk projek pembangunan dan perladangan masih berlaku secara giat di Selangor. Pembinaan Lebuhraya SUKE, pembangunan berhampiran atau di kawasan hutan komuniti seperti di Shah Alam, Gombak dan lain-lain, adalah contoh ancaman kemusnahan alam sekitar.

3. Bas Smart Selangor

PSM Selangor mengalu-alukan skim bas percuma, Bas Smart Selangor dengan jumlah peruntukan sebanyak RM30 juta pada tahun 2020. PSM sentiasa berpegang kepada prinsip pengangkutan awam harus efisien dan tidak membebankan rakyat. Bas Smart Selangor menepati prinsip ini, namun ianya tidak cukup menyeluruh. Terdapat banyak lagi kawasan di Selangor yang tidak mempunyai kemudahan pengangkutan awam. Pengendali bas swasta tidak mahu memberikan perkhidmatan di kawasan yang tidak menguntungkan mereka. Oleh itu, perkhdmatan Bas Smart Selangor perlu memberi keutamaan kepada kawasan seperti ini.

Walau bagaimanapun, PSM Selangor kesal dengan bayaran RM1 yang dikenakan kepada warga asing. Walaupun RM1 adalah satu jumlah yang rendah, ini adalah satu polisi diskriminasi terhadap warga asing. Tambahan pula, perkhidmatan seperti Bas Smart Selangor biasanya digunakan oleh golongan yang berpendapatan rendah, termasuklah warga asing yang menjadi sumber buruh murah di Malaysia. Apa yang perlu diambilkira oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah kemudahan pengangkutan perlu dilihat sebabai satu perkhidmatan untuk memudahkan orang ramai bergerak. Jadi, perkhidmatan asas seperti ini tidak harus disediakan atas satu dasar yang mendiskriminasi.

4. Program mesra warga emas

Kini hak warga emas semakin mendapat perhatian di peringkat global. Warga emas mempunyai hak asasi mereka yang perlu dilindungi dan polisi kerajaan harus selaras dengan ini. Malah, Kuala Lumpur Declaration on Ageing yang diterima oleh negara-negara ASEAN pada tahun 2015 menekankan pendekatan berdasarkan hak dan keperluan (rights-based and need-based) untuk warga emas menjalani kehidupan mereka. Ini termasuk akses kepada perkhidmatan awam, perolehan pendapatan, penjagaan kesihatan, sistem sokongan dan lain-lain lagi.

Oleh itu, PSM Selangor mengambil maklum skim Jom Shopping Warga Emas di mana  Kerajaan Selangor menyediakan RM20 juta dan djangkakan lebih 200 ribu warga emas akan mendapat manafaat ini. Warga emas akan diberikan baucar RM100 semasa musim perayaan. PSM Selangor berpendirian bahawa skim ini tidak langsung mengambil pendekatan right-based atau need-based, sebaliknya skim ini seolah-olah memperlekehkan warga emas. Kerajaan Negeri Selangor harus menghapuskan skim ini dan menggantikannya dengan skim yang benar-benar mengambil kira kepentingan dan keperluan warga emas seperti pencen bulanan kepada mereka yang layak, perlindungan kesihatan dan sistem sokongan yang lebih menyeluruh.

5. Masalah tanah peneroka Sri Tanjung, Dengkil, Selangor

Isu tanah peneroka Sri Tanjung, Dengkil telah berlanjutan untuk lebih 20 tahun. Apabila Pakatan Rakyat dan sekarang Pakatan Harapan mengambilalih Kerajaan Negeri Selangor, isu ini telah dibawa kepada perhatian ketiga-ketiga orang Menteri Besar dalam 11 tahun yang lalu. Namun, sehingga kini tiada satu penyelesaian bagi isu ini.

Kampung Sri Tanjung ini ialah projek Kerajaan Selangor pada tahun 1988. Haji Dato’ Khairudin selaku Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor pada masa itu telah merasmikan pembukaan tanah projek tanaman kontan (kini dikenali sebagai Kampung Sri Tanjung). Beliau juga telah berjanji kepada peneroka bahawa sesiapa yang menjaga kebersihan tanah ini akan diberikan hak milik tanah (geran tanah). Tanah tersebut dibahagikan seekar setiap orang dengan harga RM 400.00 oleh pengerusi M.A.Y.C Sepang (En. Alwi) pada masa itu. Seramai 140 orang telah diberi tanah untuk diusahakan pada masa itu.

Sudah lebih 30 tahun berlalu, namun permohonan untuk geran bagi tanah yang diusahakan oleh peneroka-peneroka ini tidak mendapat perhatian dan tiada perkembangan.

Lebih teruk lagi, pada masa sekarang peneroka Kampung Sri Tanjung dalam keadaan menghadapi pengusiran kerana ada syarikat yang masuk dan cuba mengusahakan tanah tersebut. Bukan itu sahaja, ada juga orang yang mempunyai kaitan politik yang memohon untuk mendapatkan geran bagi tanah yang diterokai oleh peneroka asal.

Kesimpulan

Saranan daripada Pejabat Perhubungan Negeri Selangor Parti Sosialis Malaysia (PSM) adalah Kerajaan Selangor perlu lebih memberi penekanan kepada isu-isu rakyat Selangor dari segi perumahan dan juga menangani isu-isu rakyat berasaskan hak asasi dan keperluan (rights-based and needs based).

Kami juga membantah apa-apa bentuk diskriminasi terhadap sesiapa pun dalam menggunakan kemudahan di negeri Selangor, kerana semua manusia berhak hidup dalam suasana tanpa diskriminasi.

==========

V. Selvam ialah Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri Selangor Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *