(foto oleh Peter Parks / AFP / Getty Images)

Pihak berkuasa Hong Kong melancarkan operasi penangkapan besar-besaran terhadap ahli-ahli politik dan aktivis-aktivis gerakan pro-demokrasi pada 6 Januari 2021 dalam usaha terbaru Kerajaan Hong Kong untuk melenyapkan suara pembangkang dan menyekat ruang demokrasi di bandaraya itu.

Seramai 53 orang telah ditangkap dalam operasi yang diadakan pada awal pagi 6 Januari 2021. Semua orang yang ditangkap merupakan mereka yang pernah terlibat dalam pemilihan awal untuk calon daripada kem pro-demokrasi yang bertanding dalam Pilihanraya Dewan Perundangan Hong Kong, sama ada sebagai penganjur ataupun peserta yang bertanding dalam pemilihan awal calon pilihanraya tersebut. Antara yang ditangkap ialah Benny Tai Yiu-ting (bekas Profesor Madya Undang-undang di Universiti Hong Kong yang pernah menjadi penggerak kempen “Occupy Hong Kong with Love and Peace”), John Clancey (seorang warga Amerika Syarikat yang bekerja sebagai peguam di Hong Kong dan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Asia), Leung Kwok-hung (pemimpin Liga Demokrat Sosial dan bekas Ahli Dewan Perundangan Hong Kong), Eddie Chu Hoi-dick (bekas Ahli Dewan Perundangan Hong Kong), Lester Shum (Ahli Majlis Daerah Tsuen Wan), Roy Kwong Chun-yu (bekas Ahli Dewan Perundangan Hong Kong dan Ahli Majlis Daerah Yuen Long daripada Parti Demokratik), Winnie Yu Wai-ming (seorang jururawat yang juga merupakan Pengerusi kepada kesatuan sekerja “Hospital Authority Employees Alliance”), dan ramai lagi. Mereka yang ditangkap dijangka akan dibebaskan dengan ikat jamin pada hari ini (7 Januari 2021).

Alasan yang digunakan oleh Jabatan Keselamatan Negara Polis Hong Kong untuk menangkap 55 orang individu tersebut dengan menggunakan undang-undang keselamatan negara yang penuh kontroversi, adalah mereka dituduh “menumbangkan kuasa negara” dengan hanya mengadakan pemilihan awal bagi menentukan calon pilihanraya. Pihak polis juga menuduh sebahagian peserta pemilihan awal kem pro-demokrasi menyeru untuk menolak belanjawan kerajaan untuk memaksa pemilihan semula Ketua Eksekutif Hong Kong, sesuatu yang dibenarkan dalam undang-undang dan selari dengan prinsip demokrasi tetapi sudah dianggap subversif dalam mata golongan berkuasa yang pro-Beijing.

Penangkapan besar-besaran ini merupakan sebahagian daripada tindakan keras yang diambil oleh pihak berkuasa Hong Kong untuk mematahkan sepenuhnya kebangkitan rakyat Hong Kong yang memuncak apabila tercetusnya gelombang protes besar-besaran membantah rang undang-undang ekstradisi pada bulan Jun 2019 dan berlarutan untuk beberapa bulan lamanya. Walaupun Kerajaan Hong Kong telah menarik balik rang undang-undang ekstradisi yang penuh kontroversi tersebut, tetapi ia telah mempertingkatkan tindakan keras terhadap golongan pro-demokrasi di bandaraya itu. Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan China telah meluluskan “Undang-undang Keselamatan Negara Hong Kong” yang penuh kontroversi pada 30 Jun 2020 untuk dimasukkan ke dalam Lampiran III Undang-undang Asas Hong Kong, sekali gus menghakis autonomi bandaraya Hong Kong dengan lebih lanjut lagi dan memberi lebih banyak kuasa kepada pihak polis Hong Kong untuk menyekat ruang demokrasi di bandaraya itu. Banyak operasi penangkapan telah dilakukan selepas kelulusan Undang-undang Keselamatan Negara Hong Kong, dan penangkapan yang terbaru ini merupakan operasi yang terbesar setakat ini.

Pemilihan awal untuk calon pilihanraya daripada kem pro-demokrasi telah diadakan pada bulan Julai 2020. Pemilihan awal tersebut telah disertai oleh parti-parti politik dan individu-individu daripada spektrum politik yang meluas dalam kalangan pendukung kem pro-demokrasi, yang juga sering dianggap sebagai anti-Beijing. Lebih 600 ribu orang telah mengundi dalam pemilihan awal tersebut. Pilihanraya Dewan Perundangan Hong Kong yang sepatutnya diadakan pada bulan September 2020 telah ditangguhkan selama setahun sehingga bulan September 2021 atas alasan mencegah penularan wabak COVID-19. Sekarang ini, Kerajaan Hong Kong telah bertindakbalas terhadap pemilihan awal yang dianjurkan oleh kem pro-demokrasi, dengan melakukan penangkapan besar-besaran dengan alasan ia menggugat keselamatan negara. Mereka yang ditangkap termasuklah golongan moderat dalam kem pro-demokrasi. Dalam erti kata lain, menjadi pembangkang sudah pun dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan negara. Amat jelas sekali, “Undang-undang Keselamatan Negara Hong Kong” telah menjadi alat golongan berkuasa yang pro-Beijing untuk melenyapkan sebarang suara pembangkang di bandaraya yang pada satu ketika mempunyai kebebasan suara yang agak meluas.

One thought on “Hong Kong: Pendukung gerakan pro-demokrasi ditangkap secara besar-besaran

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *