oleh Sharan Raj

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa Kerajaan Pakatan Harapan untuk menyalurkan penjimatan subsidi petrol kepada pengangkutan awam.

Kerajaan Persekutuan dijangka hanya akan membelanjakan RM784.8 juta setahun berbanding RM6.91 bilion setahun untuk subsidi umum petrol sebelum ini. Penjimatan sebanyak RM6 bilion perlu disalurkan untuk memperkasakan pengangkutan awam, termasuk di luar negeri Selangor. Pengangkutan awam di luar bandar dan bandar kecil telah diabaikan sehingga menyebabkan rakyat bergantung kepada kenderaan peribadi. Kebergantungan ini menyebabkan rakyat Malaysia menggunakan 14.4 bilion liter petrol setahun.

Majoriti rakyat Malaysia akan mendapat pengangkutan awam yang berkualiti sebelum 2025 jikalau RM6 bilion dibelanjakan setahun. Dana tersebut boleh digunakan untuk membeli 3,000 buah bas elektrik. Ketika ini, RapidKL memiliki lebih kurang 1,500 buah bas diesel.

Pembangunan pengangkutan awam akan mewujudkan pekerjaan untuk anak muda dan mengurangkan kadar pengangguran. Pengangkutan awam akan mengurangkan pencemaran, masalah kesihatan, kos sara hidup dan kadar kemalangan jalanraya. Ekonomi akan menjadi lebih kukuh dengan pengurangan import bahan api petroleum.

Harga bahan api diesel harus dikawal untuk mengelakkan harga barang melambung. Industri pengangkutan awam, logistik dan penduduk Malaysia Timur sangat bergantung kepada bahan api diesel. Komuniti orang Asli dan Orang Asal menggunakan diesel untukĀ  bot-bot kecil mereka yang menyusuri sungai.

Harga diesel dan RON95 (Malaysia Timur) perlu disemak setiap bulan berbanding setiap minggu untuk mewujudkan kestabilan kepada pengusaha stesen petrol, industri logistik, pengusaha bas ekspres dan orang Asli. Bahan api RON97 dan RON100 yang digunakan oleh kereta mewah, kereta sukan dan kereta berprestasi tinggi harus diapungkan juga.

20191010 - subsidi

==========

Sharan Raj ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Biro Alam Sekitar & Krisis Iklim PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *