(foto: Ricardo Arduengo / Reuters)

Haiti dilanda gelombang protes terbaru berikutan kerajaan Haiti yang gagal menangani krisis dalaman negara itu meminta bantuan daripada kuasa besar dunia dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk mengerahkan bantuan ketenteraan ke negara itu.

Ribuan rakyat Haiti berprotes di jalanan di seluruh negara Haiti pada 17 Oktober 2022 untuk menuntut perletakan jawatan Ariel Henry sebagai pemangku Presiden dan pemangku Perdana Menteri Haiti. Para demonstran juga membantah pendudukan tentera asing ke atas bumi Haiti yang mencabul hak rakyat Haiti untuk menentukan nasib sendiri.

Baru-baru ini, Ariel Henry telah menyatakan niatnya untuk meminta bantuan daripada masyarakat antarabangsa dalam menangani krisis kemanusiaan di negara itu yang dikatakannya berpunca daripada geng-geng penjenayah. Pada pertengahan bulan September 2022, terminal bahan api utama di Haiti telah disekat oleh anggota-anggota geng yang membantah kenaikan harga petroleum selepas Henry mengumumkan bahawa kerajaannya tidak lagi mampu mensubsidi bahan api. Tindakan ini berlaku pada ketika rakyat Haiti berprotes terhadap dasar kerajaan yang menyusahkan rakyat. Sekatan terhadap terminal bahan api ini telah membawa kesan yang buruk kepada masyarakat Haiti yang sudah pun dilanda pelbagai masalah, termasuk mengganggu operasi hospital, stesen petrol dan perawatan air, lebih-lebih lagi pada ketika negara itu berdepan dengan perebakan penyakit taun yang membawa maut. Antara “bantuan” yang diminta oleh Henry daripada “masyarakat antarabangsa”, khususnya kuasa-kuasa besar termasuk Amerika Syarikat (AS), ialah pengerahan tentera asing ke Haiti, sesuatu yang bakal mengancam kedaulatan negara Haiti.

Sejak bulan Ogos 2022, rakyat Haiti telah bermobilisasi dalam jumlah yang besar untuk memprotes terhadap masalah kemiskinan dan ketidakjaminan makanan yang semakin teruk di samping kenaikan harga barangan keperluan asas serta perkhidmatan asas. Negara Haiti sedang menghadapi masalah kekurangan makanan dan kekurangan bahan api yang mengancam kehidupan rakyat seluruh negara itu. Selain itu, masalah keganasan seperti pembunuhan dan penculikan berleluasa yang melibatkan geng penjenayah juga menghantui masyarakat Haiti.

Rakyat Haiti yang berprotes amat tidak berpuas hati terhadap pentadbiran kerajaan pimpinan Ariel Henry yang mengambil alih kuasa selepas pembunuhan Jovenel Moïse pada bulan Julai 2021. Henry mendapat sokongan daripada Amerika Syarikat (AS), Pertubuhan Negara-negara Amerika (OAS), PBB dan “Kumpulan Teras” (yang terdiri daripada Duta AS, Brazil, Jerman, Kanada, Perancis, Sepanyol dan Kesatuan Eropah ke Haiti serta wakil OAS dan PBB di Haiti) untuk meneruskan dasar ekonomi neoliberal yang diamalkan oleh kerajaan sebelum ini. Henry yang memangku jawatan Presiden dan Perdana Menteri Haiti selama lebih setahun yang lalu, bukannya sebuah kerajaan yang sah dan demokratik.

Pembunuhan Presiden Jovenel Moïse pada bulan Julai 2021 yang melibatkan askar upahan dari Colombia, telah mewujudkan vakum politik di Haiti pada ketika negara itu sedang dilanda krisis sosio-ekonomi yang mendalam. Henry memegang kuasa pentadbiran secara interim dengan sokongan daripada kuasa-kuasa besar asing. Sejak pembunuhan Moïse, geng-geng penjenayah telah diaktifkan lagi dan kekuasaan mereka semakin mengembang. Geng-geng penjenayah sering digunakan oleh golongan elit Haiti untuk melindungi kepentingan mereka, mendiamkan pengkritik dan menentang pesaing mereka. Pengaktifan geng-geng penjenayah dalam setahun yang lalu merupakan sebahagian daripada strategi Henry untuk kekal berkuasa. Sekarang ini, Henry pula cuba menggunakan keganasan daripada geng-geng penjenayah sebagai alasan untuk meminta campur tangan ketenteraan dari luar dan menjenayahkan gerakan rakyat yang mencabar kekuasaannya.

(foto: Ralph Tedy Erol / Reuters)

Rakyat Haiti yang berprotes di jalanan telah menegaskan bahawa mereka akan mempertahankan kedaulatan negara mereka daripada ancaman pendudukan tentera asing dan rakyat Haiti akan menentukan nasib sendiri dengan mencari solusi yang konkrit kepada masalah mereka tanpa campur tangan kuasa asing. Mereka telah menyatakan bahawa matlamat perjuangan utama mereka sekarang ini ialah pelaksanaan Perjanjian Montana. Perjanjian Montana ialah pendekatan penyelesaian krisis di Haiti yang dicadangkan oleh satu gabungan kumpulan masyarakat sivil, agama dan politik di Haiti pada bulan Ogos 2021 selepas berlakunya pembunuhan Moïse. Perjanjian Montana mencadangkan pembentukan sebuah kerajaan peralihan yang mengambil alih kuasa daripada Ariel Henry untuk memulihkan negara Haiti daripada krisis institusi yang disebabkan oleh kerajaan yang memerintah sebelum ini, membina semula masyarakat dan mengadakan pilihan raya untuk kerajaan baharu.

Haiti pernah melalui revolusi hebat pada penghujung abad ke-18 yang merupakan satu-satunya pemberontakan hamba yang berjaya menubuhkan sebuah negara berdaulat yang bebas daripada perhambaan dan negara moden kedua di Hemisfera Barat yang mencapai kemerdekaan daripada kekuasaan Eropah (selepas AS). Namun, negara berdaulat yang diwujudkan oleh bekas hamba ini telah dihukum oleh kuasa-kuasa imperialis Barat sejak awal penubuhannya. Negara Perancis yang merupakan bekas penjajah di Haiti telah memaksa Haiti untuk membayar “ganti rugi” yang berjumlah besar, sementara AS yang dikuasai oleh golongan elit berkulit putih pula enggan mengiktiraf kemerdekaan Haiti sehingga tahun 1862. Haiti telah dinafikan akses kepada Revolusi Perindustrian untuk membangunkan ekonomi modennya, sehingga menjadikannya terus berada di pinggiran sebagai pembekal bahan mentah kepada negara perindustrian maju dalam pembahagian kerja sistem ekonomi global yang tidak setara. Bukan sekadar ini sahaja, Haiti telah berdepan dengan pelbagai pencerobohan sejak kemerdekaannya. Malah, tentera AS menduduki Haiti secara langsung pada tahun 1915-1934 untuk melindungi kepentingan kapitalis AS di Haiti dan menguatkuasakan Doktrin Monroe (yang mengekalkan dominasi AS di Hemisfera Barat). Kuasa imperialis AS pernah menyokong pemerintahan kediktatoran Duvalier dari tahun 1957 hingga 1986. Ancaman demi ancaman pencerobohan kuasa asing ke atas Haiti telah menghalang negara pulau itu daripada mendapatkan kedaulatan yang sebenar dan menyekat rakyatnya daripada membina sebuah kehidupan yang bermaruah selama ini.

Ketidakstabilan di Haiti dalam tempoh dua dekad yang lalu boleh dijejak kembali kepada kudeta kedua yang menjatuhkan Presiden Jean-Bertrand Aristide pada tahun 2004. Rampasan kuasa pada tahun 2004 itu disokong oleh kuasa imperialis AS. Keadaan di Haiti menjadi lebih teruk lagi selepas ia dilanda gempa bumi pada tahun 2010. Seluruh institusi negara Haiti telah dilumpuhkan berikutan gempa bumi pada tahun 2010. Negara-negara maju seperti AS mengambil kesempatan bencana di Haiti untuk mengimport masuk banyak pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang pada awalnya dikatakan memberi bantuan kemanusiaan tetapi pada hakikatnya menggantikan kerajaan Haiti dalam membekalkan perkhidmatan awam kepada masyarakat tempatan, selanjutnya melemahkan seluruh institusi negara Haiti. Institusi negara yang lemah mengakibatkan kerajaan tidak mempunyai banyak keupayaan dalam menangani krisis yang berlarutan. Sementara itu, kuasa imperialis sering mencampur tangan untuk melindungi kepentingan kapitalis AS. Misalnya, apabila Parlimen Haiti cuba meningkatkan gaji minimum pada tahun 2009, kerajaan AS mencampur tangan bagi pihak syarikat-syarikat tekstil dan pakaian untuk menghalang rang undang-undang itu daripada diluluskan. Ramai daripada golongan bawahan yang menjadi mangsa kepada dasar ekonomi yang berpihak kepada kepentingan kuasa asing telah menjadi sumber kepada anggota geng penjenayah yang dipergunakan oleh elit politik untuk kepentingan mereka sendiri.

Haiti telah dilanda gelombang protes yang besar sejak tahun 2018 yang dicetuskan oleh kemarahan rakyat terhadap dasar ekonomi neoliberal yang diamalkan oleh kerajaan pimpinan Presiden Jovenel Moïse pada masa itu, termasuk kenaikan harga bahan api. Gelombang protes ini telah berterusan dari semasa ke semasa walaupun pada ketika pandemik COVID-19 yang melanda pada tahun 2020. Moïse yang enggan meletak jawatan walaupun didesak hebat oleh rakyat, telah dibunuh pada bulan Julai 2021, tetapi penggantinya yang bukan dipilih secara demokratik itu, Ariel Henry, masih meneruskan dasar yang melindungi kepentingan kuasa imperialis dan golongan elit yang korup dengan terus mengorbankan kehidupan rakyat bawahan. Rakyat Haiti telah meneruskan usaha perjuangan mereka untuk melawan rejim yang anti-rakyat.

Rakyat Haiti tidak memerlukan “bantuan kemanusiaan” daripada kuasa asing yang datang bersama dengan tentera yang menduduki negara itu. Rakyat Haiti mempunyai hak untuk hidup secara aman di negara mereka tanpa sebarang campur tangan kuasa asing dan tanpa kerajaan yang anti-rakyat. Penyelesaian kepada krisis di Haiti terletak dalam tangan rakyat Haiti melalui organisasi perjuangan sosial dan politik mereka, bukannya dalam tangan golongan elit yang korup dan kuasa asing yang hanya membawa lebih banyak bencana kepada rakyat Haiti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *