Tahukah anda, tokoh revolusi China moden, Sun Yat-sen, pernah berhasrat untuk menghapuskan sambutan “Tahun Baharu Cina”?

Perayaan Tahun Baharu Cina ialah perayaan yang penting untuk masyarakat Cina di seluruh dunia. Ia menyambut permulaan tahun yang baharu dalam kalendar tradisional masyarakat Cina.

Kalendar tradisional masyarakat Cina juga dikenali sebagai “Nong Li” yang membawa maksud “Kalender Pertanian”, kerana ia merupakan takwin yang digunakan oleh masyarakat pertanian di zon beriklim sederhana (iaitu mempunyai empat musim) selaras dengan aktiviti bercucuk tanam mengikut perubahan musim. Ia juga dikenali sebagai “Huang Li” (Kalendar Huang atau Kalendar Kuning) kerana kononnya dicipta pada zaman pemerintahan Huangdi (Maharaja Huang), salah seorang pemerintah lagenda zaman kuno yang wujud dalam mitos masyarakat Cina. Satu lagi pandangan ialah kalendar ini mula digunakan pada zaman Dinasti Xia (2070 SM – 1600 SM), pemerintahan pertama di Tanah Besar China yang mengamalkan sistem dinasti monarki berketurunan, maka ia juga dipanggil sebagai “Kalendar Xia”. Kalendar tradisional Cina ini ialah sejenis kalendar lunisolar, iaitu sistem kalendar menggabungkan kedua-dua unsur takwin lunar (kalendar bulan yang menandakan tarikh mengikut fasa bulan) dengan takwin suria (kalendar matahari yang mengambilkira kitaran musim mengikut kedudukan matahari). Kalendar sebegini juga digunakan oleh masyarakat Asia Timur yang lain (seperti Jepun sebelum Zaman Pembaharuan Meiji, Korea, Tibet, Vietnam dan sebagainya), Babylon, kebanyakan negara kota Greece Purba dan sebagainya.

Pembahagian tempoh suria dalam kalendar lunisolar masyarakat Asia Timur

Dalam kalendar matahari dan kalendar lunisolar, pada kebiasaannya, Musim Bunga menandakan permulaan setahun dan mempunyai makna penting khususnya untuk masyarakat pertanian dahulu, kerana golongan petani yang mengusahakan tanah boleh mula bercucuk tanam semula selepas melalui musim sejuk yang membekukan. Musim sejuk merupakan musim yang sukar diharungi, bukan sahaja amat susah untuk bercucuk tanam, malah ramai orang (khususnya mereka daripada golongan bawahan) boleh mati kebekuan semasa musim sejuk. Masyarakat pertanian semasa zaman pra-kapitalis sangat berkait rapat dengan tanah dan bergantung kepada iklim semula jadi untuk menjalani kehidupan mereka. Hubungan metabolik antara manusia dengan alam semula jadi ini telah dimusnahkan dalam sistem ekonomi kapitalis.

Masyarakat pertanian pra-kapitalis di Tanah Besar China dahulu kala menyambut kedatangan musim bunga dengan penuh meriah kerana dapat hidup bertahan melalui satu musim sejuk yang penuh kesukaran, di samping menaruh harapan kepada tahun yang baharu untuk memperoleh kehidupan yang lebih baik daripada hasil usaha bercucuk tanam dan mengelakkan diri daripada sebarang bencana alam (seperti kemarau dan banjir) yang boleh menjejaskan rezeki mereka. Walaupun kebanyakan orang tidak lagi menjalani aktiviti pertanian secara langsung pada zaman pembangunan ekonomi industri yang maju, tetapi sambutan tradisional ini masih diteruskan dengan bentuk dan makna yang baharu.

Perayaan Tahun Baharu Cina ini terus disambut oleh sama ada masyarakat di Tanah Besar China ataupun diaspora masyarakat Cina yang tinggal di seluruh dunia pada hari ini, termasuklah masyarakat Cina di Malaysia yang tidak mempunyai empat musim seperti di Zon Iklim Sederhana. Untuk masyarakat Cina di Malaysia, perayaan Tahun Baharu Cina sudah menjadi satu perayaan tradisional yang melibatkan aktiviti-aktiviti pertemuan semula (reunion) keluarga, dan meraikan “musim bunga” (tanda harapan baharu) secara simboliknya.

Di negara China hari ini, Tahun Baharu Cina juga dikenali sebagai “Perayaan Musim Bunga” (Chun Jie). Akan tetapi, panggilan “Perayaan Musim Bunga” ini bukannya sesuatu yang wujud lama sangat. Malah, ia hanya bermula lebih kurang seabad yang lalu.

Kerajaan Tentera Hubei ditubuhkan di bandar Wuchang selepas pemberontakan anti-Qing pada 10 Oktober 1911.

Pada tahun 1911, berlakunya revolusi yang menjatuhkan pemerintahan kerjaaan monarki Dinasti Qing. Peristiwa yang mencetuskan revolusi pada tahun 1911 ialah pemberontakan di bandar Wuchang. Wuchang ini ialah sebahagian daripada bandaraya Wuhan hari ini, iaitu tempat mula-mula dikesannya penularan wabak COVID-19 pada penghujung tahun 2019 yang kemudiannya berkembang menjadi pandemik global. Republik China ditubuhkan di bandar Nanjing pada 1 Januari 1912. Tokoh revolusioner yang terkemuka pada masa itu, Sun Yat-sen, telah dilantik sebagai Presiden Sementara untuk Republik China yang baharu itu. Kerajaan Republik China pimpinan Sun Yat-sen mengumumkan pemansuhan Kalendar Lama, iaitu kalendar tradisional Cina “Nong Li”, dan menggantikannya dengan kalendar baharu yang berasaskan Kalendar Gregorian. Tindakan ini boleh dianggap sebagai ketekadan kerajaan baharu untuk berputus daripada sistem masyarakat lama yang bersifat feudal.

Menggantikan kalendar lama dengan kalendar baharu merupakan salah satu langkah yang biasa digunakan oleh golongan revolusioner moden untuk memperkenalkan idea pemodenan dan berpisah dengan amalan masyarakat lama yang hendak diubah oleh mereka. Satu lagi contoh di mana kerajaan baharu yang ditubuhkan selepas revolusi menggantikan kalendar lama dengan kalander baharu yang berasaskan Kalendar Gregorian, ialah Kerajaan Soviet Rusia yang ditubuhkan selepas Revolusi Oktober pada tahun 1917. Revolusi Oktober itu berlaku pada 25 Oktober dalam kalendar lama (Kalendar Julian) yang digunakan di Rusia semasa zaman pemerintahan Tsar, dan jika mengikut kalendar baharu (Kalendar Julian), ia bersamaan dengan 7 November 1917.

Sun Wen atau Sun Yat-sen (1866-1926)

Seperti penggerak perjuangan nasionalis yang lain, golongan revolusioner nasionalis China pada awal abad ke-20 berpegang pada idea-idea untuk mewujudkan sebuah negara China moden yang berekonomi maju dan mengamalkan sistem demokrasi perwakilan seperti negara bangsa moden di Eropah. Ini dapat dicerminkan dalam doktrin “San Min” (Prinsip Tiga Rakyat, iaitu pemerintahan rakyat, kuasa rakyat dan kebajikan rakyat) yang diperkenalkan oleh Sun Yat-sen. Namun, revolusi politik yang menggantikan rejim lama dengan rejim baharu pada peringkat pemerintah atasan, tidak bermakna akan mengubah serta-merta sistem sosio-ekonomi yang sudah lama bertapak dalam sesuatu masyarakat, begitu juga dengan ideologi masyarakat lama yang tertanam dalam minda rakyat biasa secara umum. “Kebudayaan” lama yang mencerminkan struktur sosio-ekonomi dalam masyarakat lama yang hendak diubah oleh golongan revolusioner masih wujud dalam pemikiran dan tabiat kehidupan orang ramai yang sudah lama hidup dalam susunan masyarakat yang sedia ada. Oleh itu, walaupun Kerajaan Republik China yang baharu memperkenalkan kalendar yang baharu, dengan sambutan Tahun Baharu jatuh pada 1 Januari Tahun Kalendar Gregorian, namun masyarakat negara China secara umumnya masih menyambut Tahun Baharu mengikut Kalendar Lama. Sun Yat-sen pernah mencadangkan untuk menghapuskan perayaan Tahun Baharu Kalendar Lama, tetapi tidak berjaya malah tidak mendapat sambutan daripada masyarakat umum di China pada masa itu yang kebanyakannya masih merupakan golongan petani yang tinggal di kawasan luar bandar.

Kerajaan Sementara Republik China yang ditubuhkan selepas Revolusi 1911 dan bertapak di Nanjing, merupakan sebuah pemerintahan yang agak lemah. Panglima-panglima perang yang pernah berkhidmat di bawah Kerajaan Dinasti Qing yang memiliki kuasa ketenteraan agak besar masih menguasai wilayah-wilayah yang berlainan. Yuan Shikai, seorang pegawai tinggi dan panglima tentera semasa Kerajaan Qing yang memimpin Tentera Beiyang (iaitu angkatan tentera yang paling kuat di China pada masa itu), telah menguasai bandar Beijing, iaitu ibu negara Kerajaan Dinasti Qing, selepas Maharaja terakhir Dinasti Qing turun takhta. Untuk mengelakkan perang saudara dan kemungkinan campurtangan kuasa besar luar yang akan melemahkan lagi republik baharu itu, Sun Yat-sen bersetuju untuk melepaskan jawatan Presiden Sementara kepada Yuan Shikai. Yuan Shikai menjadi Presiden Republik China pada 10 Mac 1912. Namun begitu, masalah ketidakstabilan politik tetap wujud dalam Republik China. Pertembungan antara golongan panglima-birokrat lama dengan golongan revolusioner nasionalis moden ini masih berterusan.

Parti Nasionalis China (Kuomintang) yang ditubuhkan dan dipimpin oleh Song Jiaoren, salah seorang sekutu kepada Sun Yat-sen, menang besar dalam Pilihanraya Parlimen Republik China yang pertama yang diadakan pada bulan Disember 1912 hingga Januari 1913. Namun, Song Jiaoren dibunuh pada bulan Mac 1913, dengan Yuan Shikai dianggap oleh ramai orang sebagai dalang di sebalik pembunuhannya (walaupun tidak pernah dibuktikan) kerana Yuan Shikai pernah mengaturkan pembunuhan terhadap beberapa orang jeneral yang revolusioner dan Song Jiaoren berkempen untuk menentang parti yang disokong oleh Yuan Shikai semasa pilihanraya. Pergolakan yang menyaksikan Yuan Shikai cuba memperkukuhkan kuasanya mencetuskan pemberontakan pada tahun 1913 oleh penyokong-penyokong Kuomintang dan gabenor-gabenor di beberapa buah wilayah di Selatan China untuk menentang Kerajaan Beiyang yang dipimpin oleh Yuan Shikai. Pemberontakan ini ditewaskan dan Sun Yat-sen terpaksa melarikan diri ke Jepun selepas itu (dan pulang semula ke China pada tahun 1917). Yuan Shikai juga pernah mengembalikan sistem pemerintahan monarki dengan mengisytihar dirinya sebagai Maharaja pada bulan Disember 1915 tetapi hanya bertahan selama 102 hari kerana mendapat tentangan hebat daripada pelbagai pihak, sehingga tercetusnya satu lagi perang yang anti-monarki. Yuan Shikai mati beberapa bulan selepas turun takhta sebagai Maharaja.

Yuan Shikai (1859-1916)

Berbalik kepada sambutan Tahun Baharu Cina. Semasa pemerintahan Kerajaan Beiyang di bawah pimpinan Yuan Shikai sebagai Presiden Republik China, ketika pentadbiran Kabinet Hsiung Hsi-ling (31 Julai 1913 hingga 12 Februari 1914), Menteri Dalaman pada masa itu, Zhu Qiling, mengemukakan cadangan supaya menjadikan empat perayaan musim masyarakat etnik Han China sebagai cuti umum. Empat perayaan yang dicadangkan itu ialah:

  • Hari Pertama Kalendar Lama (iaitu Tahun Baharu Cina) sebagai “Perayaan Musim Bunga”;
  • Perayaan Duan Wu yang disambut pada setiap 5 haribulan ke-5 Kalendar Lama (iaitu perayaan “bot naga”) sebagai “Perayaan Musim Panas”;
  • Perayaan Pertengahan Musim Luruh pada setiap 15 haribulan ke-8 Kalendar Lama (iaitu Perayaan Tanglung atau Perayaan Kuih Bulan) sebagai “Perayaan Musim Luruh”; dan
  • Solstis musim sejuk sebagai “Perayaan Musim Sejuk”.

Namun, dengan mengambilkira Kerajaan Republik China yang baru ditubuhkan itu menekankan prinsip “Kesatuan Lima Bangsa” (iaitu kewujudan bersama antara lima bangsa utama di Tanah Besar China: Han, Manchu, Mongol, Hui dan Tibet; Hui di sini merujuk kepada semua warga yang beragama Islam di Tanah Besar China pada masa itu), Kerajaan Yuan Shikai hanya meluluskan Perayaan Musim Bunga sebagai cuti umum, dan mula melaksanakan keputusan itu pada tahun 1914. Sejak itu, penduduk di Tanah Besar China (malah masyarakat cina di merata tempat kemudiannya) meraikan dua “Tahun Baharu”, iaitu Tahun Baharu Kalendar Baharu pada 1 Januari setiap tahun mengikut Kalendar Gregorian, dan Tahun Baharu Kalendar Lama.

Bendera Republik China yang digunakan dari tahun 1912 hingga 1928, melambangkan “Kesatuan Lima Bangsa”. Warna merah mewakili orang Han, warna kuning mewakili orang Manchu,warna biru mewakili orang Mongol, warna putih mewakili orang Hui, dan warna hitam mewakili orang Tibet.

Oleh sebab “Perayaan Musim Bunga” ialah perayaan seluruh negara China yang diluluskan oleh Yuan Shikai, seorang pemerintah autokratik yang berfahaman konservatif dan reaksioner, ramai orang yang anti-Yuan pada masa itu telah memboikot sambutan Perayaan Musim Bunga. “Perayaan Musim Bunga” dianggap sebagai produk pemulihan kuasa reaksioner masyarakat lama yang konservatif untuk menghancurkan pencapaian Revolusi 1911 dan menggagalkan usaha pemodenan masyarakat China, maka golongan revolusioner yang berpemikiran moden dan menentang kekuasaan golongan hulubalang zaman Dinasti Qing dalam Kerajaan Pusat Beijing telah memboikot Perayaan Musim Bunga.

Selepas Kuomintang menewaskan Kerajaan Beiyang dalam Perang Ekspedisi Utara (1926-1928), Chiang Kai-shek, seorang pemerintah diktator tentera daripada puak berhaluan kanan dalam Kuomintang, mula menguasai Kerajaan Nasionalis yang berpusat di Nanjing. Chiang Kai-shek melancarkan operasi “pembersihan” yang melibatkan penangkapan dan pembunuhan anggota-anggota Parti Komunis China secara besar-besaran. Kerajaan Pusat Republik China atau Kerajaan Nasionalis di Nanjing ini, mengeluarkan perintah untuk melaksanakan sepenuhnya penggunaan Kalendar Baharu, dan memansuhkan sepenuhnya penggunaan Kalendar Lama.

Kerajaan Pusat Republik China yang dipimpin oleh Chiang Kai-shek mula mengharamkan sambutan Tahun Baharu Kalendar Lama pada tahun 1929, selaras dengan dasarnya menghapuskan sepenuhnya penggunaan Kalendar Lama. Pendekatan yang diambil oleh Kerajaan Chiang Kai-shek termasuklah membatalkan cuti umum Perayaan Musim Bunga, mengharamkan penutupan kedai semasa Tahun Baharu Kalendar Lama, mengharamkan pembakaran mercun, mengharamkan hiasan Tahun Baharu Cina dan mengharamkan pengucapan Tahun Baharu Cina… Logik untuk penghapusan sambutan Tahun Baharu Kalendar Lama ini adalah masyarakat umum harus memiliki pemikiran yang baharu untuk membawa pembaharuan masyarakat supaya mencapai tahap kemodenan yang diingini. Mengikut logik sebegini, semangat inovasi dan pembaharuan tidak akan wujud sekiranya budaya lama tidak disingkirkan. Bagi pemerintah diktator seperti Chiang Kai-shek dan golongan pemoden yang menganggap masyarakat pertanian itu penghalang kepada kemajuan, mereka hanya dapat memikirkan kaedah yang bersifat autoritarian untuk menghapuskan amalan budaya masyarakat lama.

Komik yang menolak sambutan Tahun Baharu Kalendar Lama, diterbitkan dalam suratkhabar Kuomintang di wilayah Hunan pada tahun 1929.

Namun begitu, perintah daripada Kerajaan Nasionalis (Kuomintang) ini ditentang hebat oleh masyarakat umum, termasuk anggota-anggota Parti Komunis China. Memaksa masyarakat yang masih kebanyakannya hidup bergantung pada ekonomi pertanian itu untuk mengubah amalan sambutan perayaan tradisional mereka yang berkait rapat dengan kehidupan ekonomi mereka, memang sesuatu yang pelik untuk mereka dan tidak dapat diterima langsung. Parti Komunis China pada masa itu juga telah mengalihkan strategi perjuangannya ke kawasan luar bandar kerana kegagalan gerakan pekerja di kawasan bandar yang ditindas hebat oleh golongan pemerintah pada tahun 1920-an berikutan kegagalan Revolusi Besar (1925-1927). Untuk mengambil hati dan mendapatkan sokongan petani-petani di kawasan luar bandar dalam membina kubu-kubu revolusi, semestinya Parti Komunis China menyokong masyarakat petani di kampung-kampung untuk mengekalkan tradisi sambutan Tahun Baharu Kalendar Lama. Sokongan masyarakat petani di luar bandar menjadi asas utama kepada kejayaan pemberontakan Parti Komunis China sehingga menjatuhkan pemerintahan Kuomintang berikutan Perang Anti-Jepun (1937-1945) dan dua perang saudara (1927-1936 dan 1945-1949) yang berpanjangan.

Kerajaan Kuomintang akhirnya gagal mengharamkan sambutan Tahun Baharu Kalendar Lama ini. Pada tahun 1934, Kerajaan Kuomintang menghentikan usaha pemansuhan penggunaan Kalendar Lama, dan juga tidak lagi mencampurtangan dalam perayaan Tahun Baharu Kalendar Lama oleh masyarakat umum.

Apabila tercetusnya perang berikutan pencerobohan kuasa imperialis Jepun, perayaan Tahun Baharu Cina yang hendak dihapuskan oleh golongan nasionalis telah memainkan peranan untuk menyatukan masyarakat dan negara China untuk menghadapi ancaman musuh yang dahsyat. Selepas Perang Dunia II, sambutan Tahun Baharu Cina membawa maksud baharu untuk mereka yang telah mengharungi kemusnahan dan kesusahan hidup semasa peperangan. Sejak itu, sambutan Tahun Baharu Cina terus disambut oleh masyarakat Cina di merata tempat, walaupun kebanyakan tempat sudahpun beralih daripada masyarakat pertanian kepada masyarakat perindustrian atau pasca-perindustrian. Malah, di banyak tempat, sambutan ini juga diberi makna baharu mengikut peredaran zaman dan keadaan setempat.

Kebudayaan mana-mana masyarakat pun bukannya perkara yang statik dan tidak berubah mengikut peredaran zaman. Kebudayaan masyarakat dan amalan yang dianggap “tradisi” hari ini merupakan hasil daripada dinamik perkembangan masyarakat yang pernah melalui peringkat sejarah yang berbeza. Adanya “tradisi” yang kita amalkan pada hari ini merupakan sesuatu yang radikal dan mencabar tradisi lama pada zaman dahulu. Adanya juga sebab-sebab kenapa sesuatu tradisi itu dapat berkekalan untuk bergenerasi lamanya, walaupun mungkin sudah melalui perubahan dari segi bentuk dan intipati dengan peredaran zaman. Adalah penting untuk kita melihat dinamik di sebalik perkembangan budaya masyarakat supaya mengelakkan diri kita daripada terjerat dalam perangkap minda konservatif yang menganggap semua budaya itu adalah statik dan tidak akan berubah selama-lamanya.

Hiasan Tahun Baharu Cina dengan tulisan “Musim Bunga”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *