20190821 - 69138408_2160656970728240_6677496156009791488_n
(Foto oleh Jes, Biro Media Jaringan Komuniti Orang Asli Pos Piah)

Sebuah syarikat pembalakan cuba menyogok komuniti Orang Asli di Pos Piah, Sungai Siput, Perak, tetapi menemui kegagalan apabila Orang Asli di situ enggan menerima wang sogokan.

Pada Ogos 2019, seorang penyelia syarikat pembalakan yang bernama Afiq bersama taukenya mengunjung rumah seorang Orang Asli yang bernama Najib bin Alang di Kampung Ketled Pos Piah. Najib bin Alang ialah Pengerusi Jaringan Komuniti Orang Asli Pos Piah. Mereka menyatakan bahawa tujuan kunjungan mereka adalah untuk membincangkan bagaimana memajukan masyarakat Orang Asli seperti membuka projek Durian Musang King. Mereka telah mengajak Najib pergi ke Pahang bagi melihat projek Musang King di sana.

Sebelum dua orang dari syarikat pembalakan itu pulang, Afiq telah menyerahkan wang sebanyak RM1150 secara paksa kepada Najib, tetapi telah ditolak oleh Najib. Afiq mengatakan bahawa wang ini diberi untuk dibelanjakan oleh semua penduduk di situ.

Oleh sebab Najib bertegas untuk tidak menerima wang “sumbangan” yang bersifat sogokan kepada masyarakat Orang Asli Pos Piah dengan niat merampas tanah adat Orang Asli, beliau telah membuat satu aduan polis di Ibupejabat Polis Sungai Siput pada 5 Ogos 2019 (No Repot: LINTANG/000328/19) berhubung perkara ini. Dalam aduan polisnya, Najib telah menyatakan tujuannya untuk memulangkan semua wang duit kepada pihak syarikat pembalakan dan meminta pada pihak polis supaya menasihatkan syarikat pembalakan berkenaan agar tidak suka-suka memberi wang kepada masyarakat Orang Asli untuk apa-apa tujuan.

Pegawai polis di IPD Sungai Siput telah menghubungi Afiq yang berkata akan hadir ke Balai Polis Lintang. Apabila penduduk-penduduk Pos Piah sampai ke Balai Polis Lintang, pegawai penyiasat kes ini yang bernama Wan telah meminta pada si pengadu untuk menyelesaikan perkara ini secara sendiri di kampung dan terima sahaja wang tersebut sebagai “sumbangan”.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Jaringan Komuniti Orang Asli Pos Piah pada 20 Ogos 2019, masyarakat Orang Asli di Pos Piah berkata, “Oleh sebab kami tidak mahukan wang ini, kami berniat untuk memulangkannya kepada pihak syarikat pembalakan dan memohon agar pihak polis membantu dalam proses pemulangan ini.”

“Jika pihak polis tidak dapat membantu dalam proses pemulangan wang ini, kami akan meminta bantuan kepada pihak badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyerahkannya kembali kepada pihak syarikat berkenaan,” tegas Jaringan Komuniti Orang Asli Pos Piah.

Masyarakat Orang Asli Pos Piah amat jelas dengan pendirian mereka dalam mempertahankan tanah adat mereka dan tidak terpengaruh oleh “sumbangan wang” daripada syarikat pembalakan yang sebenarnya merupakan sogokan untuk mendapatkan tanah adat Orang Asli bagi keuntungannya.

One thought on “Syarikat pembalakan cuba sogok Orang Asli Pos Piah tapi ditolak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *