20190815 - buruh.jpgPertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menggesa kerajaan untuk melindungi pemohon kerja daripada diskriminasi, dengan meminda Akta Kerja 1955, Ordinan Buruh Sabah dan Ordinan Buruh Sarawak. Begitunya seruan daripada pertubuhan yang memperjuangkan kesamarataan gender ini.

Pada bulan September 2018, Kementerian Sumber Manusia telah mencadangkan untuk meminda Akta Kerja bagi melindungi pemohon kerja dan pekerja daripada diskriminasi atas dasar gender, agama, kaum, kelainan upaya, status kahwin, wanita mengandung dan bahasa pertuturan. Namun, sewaktu hari terbuka yang dianjurkan Kementerian Sumber Manusia pada 6 Ogos 2019, WAO difahamkan bahawa Kementerian akan menyisihkan pemohon kerja daripada peruntukan anti-diskriminasi tersebut.

“Kami amat bimbang sekiranya penyisihan ini diteruskan kerana ia akan menjadikannya suatu peruntukan anti-diskriminasi yang lemah, sekali gus memberi kesan negatif kepada beribu-ribu pemohon kerja setiap tahun. Justeru, kami menggesa pihak Kementerian untuk memasukkan kembali istilah pemohon kerja ke dalam peruntukan tersebut,” begitu katanya WAO dalam kenyataannya yang dikeluarkan pada 14 Ogos 2019.

“Selain itu, kami turut difahamkan bahawa pihak Kementerian mungkin memasukkan senarai faktor diskriminasi – gender, agama, kaum, kelainan upaya dan lain-lain lagi. – ke dalam peraturan berasingan dan memisahkannya daripada Akta Kerja itu sendiri.”

“Sekali lagi, kami menggesa pihak Kementerian agar mengekalkan senarai faktor diskriminasi tersebut dalam Akta Kerja kerana sifatnya lebih kekal dan kukuh jika termaktub dalam akta berbanding peraturan yang berbentuk prosedur,” tegas WAO.

Diskriminasi sewaktu pengambilan kerja berleluasa

Perlindungan untuk pemohon kerja di bawah undang-undang anti-diskriminasi adalah amat penting, kerana diskriminasi kerap berlaku sewaktu fasa pengambilan kerja.

Menurut kaji selidik WAO, kira-kira 40% wanita yang ditinjau melaporkan bahawa mereka disoal oleh penemuduga sama ada mereka sedang mengandung atau merancang untuk mengandung.

“Malah, terdapat juga kes yang melaporkan bahawa pihak pengurusan hotel mengenakan larangan bertudung terhadap pekerja wanita di bahagian menyambut tetamu. Diskriminasi seumpama ini kerap berlaku ketika fasa pengambilan pekerja, kerana wanita beragama Islam yang memakai tudung sewaktu temuduga tidak diterima bekerja,” kata WAO.

“Kaji selidik dan pelbagai kisah yang dipaparkan di media turut mengetengahkan bermacam-macam bentuk diskriminasi atas dasar perkauman dan faktor lain semasa pengiklanan kerja dan fasa temu duga. Dalam hal ini, pemohon kerja yang didiskriminasi langsung tidak dapat menuntut keadilan — melainkan pihak Kementerian memasukkan istilah pemohon kerja ke dalam peruntukan anti-diskriminasi yang bakal dipinda,” ulas WAO.

Benarkah undang-undang anti-diskriminasi menyekat hak majikan?

“Mungkin ada sesetengah pihak berpendapat bahawa majikan berhak memilih sesiapa sahaja yang mereka suka dan undang-undang anti-diskriminasi hanya akan menjejaskan merit pekerja yang diambil mereka. Namun, pada hakikatnya, undang-undang anti-diskriminasi inilah yang dapat memastikan bahawa pekerja diambil berdasarkan kelayakan mereka, dan bukan atas dasar prejudis atau berat sebelah,” kata kenyataan WAO berkenaan dengan tanggapan bahawa undang-undang anti-diskriminasi “menyekat hak majikan”.

“Sebagai contoh, kajian oleh penyelidik di Cornell University mendapati bahawa kaum ibu sering dianggap kurang daya saing dan komitmen berbanding wanita tanpa anak – walaupun mereka mempunyai kelayakan yang sama. Hal ini bererti, diskriminasi oleh majikan terhadap kaum ibu menyebabkan ramai wanita berpotensi tinggi diketepikan.

Lagi pula, peruntukan anti-diskriminasi yang dicadangkan Kementerian membenarkan pengecualian kepada majikan untuk memberi keutamaan kepada seseorang pemohon kerja sekiranya beliau mempunyai ciri yang diperlukan secara khusus oleh pekerjaan tersebut.

Sebagai contoh, jika kerja yang dipohon mewajarkan kefasihan dalam suatu bahasa, maka pengambilan pekerja berdasarkan kriteria tersebut tidaklah dianggap bersifat diskriminasi. Akan tetapi, majikan perlu membuktikan bahawa kefasihan bahasa tersebut merupakan suatu ‘ciri khusus’ bagi pekerjaan yang dimaksudkan,” tambah WAO.

Akta Kerja untuk pekerja semata-mata?

Hujah lain yang menyanggah peruntukan anti-diskriminasi dalam Akta Kerja untuk pemohon kerja, adalah skop Akta Kerja yang dikatakan hanya merangkumi pekerja dan majikan semata-mata – dan bukan bakal pekerja.

“Hujah ini tidak munasabah. Mengapa tidak Akta Kerja dipinda untuk merangkumi bakal pekerja?” WAO mempertikaikan hujah ini, “Adalah tidak masuk akal untuk menyatakan bahawa undang-undang pekerjaan tidak melindungi golongan yang memohon pekerjaan.”

“Kewujudan undang-undang yang melindungi pemohon kerja sudah menjadi perkara biasa di negara-negara lain,” jelas WAO, “Sebagai contoh, Jepun, Korea Selatan, Australia, Amerika Syarikat, Kanada dan Afrika Selatan, semuanya mempunyai undang-undang kerja yang melarang pelbagai bentuk diskriminasi sepanjang fasa permohonan kerja dan ketika menjadi pekerja. Sementara itu, Hong Kong dan United Kingdom juga mempunyai undang-undang anti-diskriminasi khusus bagi melindungi pemohon kerja dan pekerja daripada bermacam-macam bentuk diskriminasi.”

“Oleh hal yang demikian, Malaysia sepatutnya mengambil langkah positif bagi memastikan pemohon kerja dilindungi daripada semua bentuk diskriminasi.”

“Jumaat lepas (9 Ogos 2019), Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran menyebut bahawa pihak Kementeriannya mahu berbincang dengan semua pihak berkepentingan dalam isu pindaan Akta Kerja ini. Kami amat berbesar hati dan menyambut mesra hasrat untuk berbincang selanjutnya dengan pihak Kementerian berkenaan hal ini,” kata WAO dalam menyatakan hasratnya untuk membincangkan isu ini selanjutnya dengan Kementerian Sumber Manusia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *