oleh Jeyakumar Devaraj

Parti Sosialis Malaysia (PSM) sangat kecewa dan bimbang kerana Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sendiri sedang menimbulkan ketegangan antara kaum. Rakyat mengundi PH dengan harapan bahawa PH akan membina sebuah masyarakat yang lebih adil dan harmoni. Majoriti rakyat Malaysia ialah orang yang sangat bertoleransi dan kebanyakan rakyat dari berbagai kaum ingin mewujudkan persefahaman dan keharmonian antara kaum kerana kita sedar bahawa kita perlu berganding bahu untuk menjamin masa depan yang lebih baik untuk anak-anak kita.

Namun, akhir-akhir ini Pakatan Harapan nampaknya sedang bermain dengan kegusaran antara kaum.  Baru sekitar dua minggu lepas, Menteri Pendidikan mengumumkan pelaksanaan pembelajaran Khat untuk murid-murid tahun 4 di semua sekolah. PSM bersetuju bahawa ada keperluan bagi kumpulan etnik yang berbeza untuk saling belajar dan juga menghargai budaya kaum yang lain. Itu akan dapat membantu untuk membina keharmonian antara kumpulan etnik yang berbeza. Bagaimanapun, keputusan untuk memperkenalkan pembelajaran Khat secara mengejut tanpa berbincang ini, sekadar menghasilkan kesan yang sebaliknya. iaitu mewujudkan perpecahan antara kaum yang lebih teruk lagi.

Tidakkah Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik menyedari bahawa ramai ibubapa bukan Melayu khuatir tentang kecederungan untuk mengislamkan pelajar bukan Melayu di sekolah-sekolah awam? Berdasarkan latarbelakang ini, cadangan pembelajaran Khat pada ketika ini hanya meningkatkan perasaan syak wasangka tersebut, termasuk anggapan bahawa kerajaan sedang cuba “mengislamkan” masyarakat kita dengan lebih lanjut lagi.

Lebih mengeruhkan lagi keadaan ini adalah, Kerajaan Negeri Selangor cuba membawa rang undang-undang yang membenarkan penukaran agama kanak-kanak secara satu pihak oleh salah seorang ibu atau bapa. Walaupun isu ini hanya melibatkan beberapa pasangan suami isteri dalam tempoh sepuluh tahun lepas, tetapi ia ialah satu isu yang telah tersebar luas dan amat mudah mencetuskan emosi.

Pakatan Harapan patut sedar bahawa politik perkauman yang telah wujud selama 60 tahun dalam masyarakat kita, telah mewujudkan prasangka dan ketakutan dalam semua kumpulan etnik bahawa kepentingan mereka yang sah dari segi ekonomi, budaya dan agama, berkemungkinan akan tergadai. Jadi, kenapa memperkenalkan inisiatif-inisiatif yang tidak diperlukan ini? Apa sebenarnya yang sedang berlaku dengan Pakatan Harapan? Ada orang yang membuat spekulasi bahawa pencetusan isu-isu perkauman ini sengaja dilakukan untuk melemahkan pihak-pihak tertentu dalam Pakatan Harapan, dan/atau untuk mengalihkan perhatian daripada isu-isu yang melibatkan pemimpin tertentu.

Pakatan Harapan telah mendapat kuasa dengan janji untuk memperkukuhkan integrasi kaum dan juga kesaksamaan, jadi kenapa mengkhianati pengundi-pengundi kalian?

PSM ingin menasihatkan Majlis Presiden PH untuk mewujudkan satu jawatankuasa berperingkat tinggi untuk meneliti semua dasar atau inisiatif baru yang menyentuh isu-isu bahasa, agama dan pendidikan, sebelum membenarkan menteri-menteri berkaitan untuk mengumumkannya.

Pada waktu yang sama, PSM merayu kepada semua kumpulan masyarakat yang sedang memobilisasi untuk membantah dua inisiatif baru-baru ini supaya lebih berwaspada dalam penggunaan perkataan dan slogan semasa menyuarakan bantahan. Rakyat mempunyai hak untuk berkumpul dan membantah keputusan yang tidak disenangi rakyat ini. Tetapi keputusan yang tidak disenangi rakyat ini tidak sepatutnya memberikan kebenaran kepada sesiapapun untuk mengecam dan memaki hamun mana-mana agama atau kaum yang lain.

Persefahaman dan keharmonian antara kaum ialah perkara yang rapuh tetapi perlu kita semua memupuknya secara bersama. Ianya menjadi sangat penting bagi kita untuk membina sebuah masyarakat yang lebih adil untuk kita semua. Janganlah kita membenarkan politik kotor yang bersarang dalam PH merencatkan usaha kita untuk membina Malaysia yang lebih baik dan harmoni.

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *