20190530 eu-eu_election_results_upd_28-05-cake-diagramme.jpgPilihanraya Parlimen Eropah baru-baru ini menyaksikan penurunan sokongan kepada parti-parti tradisional utama daripada blok berhaluan kanan dan blok demokrat sosial yang berhaluan kiri tengah, sementara blok liberal yang berhaluan tengah, blok nasionalis yang berhaluan pelampau kanan, dan blok politik hijau yang memperjuangkan perlindungan alam sekitar dapat meningkatkan kerusi dalam jumlah yang signifikan. Cabaran untuk blok kiri pula semakin hebat dengan kerusi yang kurang.

Kemaraan kuasa blok nasionalis berhaluan pelampau kanan tidak sebegitu hebat seperti yang dihebohkan tetapi ancamannya masih ketara dengan parti-parti pelampau kanan meraih kerusi terbanyak di Perancis, Itali, Hungary dan Britain.

Pilihanraya Parlimen Eropah telah diadakan dari 23 hingga 26 Mei 2019, untuk memilih sejumlah 751 orang Ahli Parlimen Eropah (MEP) yang mewakili lebih 512 juta orang rakyat dari 28 buah negara anggota Kesatuan Eropah (EU).

Parlimen Eropah merupakan sebuah institusi EU yang mempunyai kuasa perundangan dan bajet. Parlimen Eropah menjalankan fungsi perundangan secara triparti bersama dengan Suruhanjaya Eropah dan Majlis Kesatuan Eropah. Plihanraya untuk Ahli Parlimen Eropah diadakan setiap 5 tahun sejak tahun 1979. Pilihanraya Parlimen Eropah tahun ini ialah Pilihanraya Parlimen Eropah yang ke-9.

20190530 - d7a9a96eb844bdadd7cd524a2355b2b9d52129282f115606ce9d09c3632d2152.jpg
Pedro Sanche, pemimpin PSOE, Sepanyol, membuang undi

Peratusan keluar mengundi yang tertinggi dalam 20 tahun

Peratusan keluar mengundi untuk Pilihanraya Parlimen Eropah kali ini ialah 50.97%, satu peratusan yang paling tinggi sejak tahun 1994. Peratusan keluar mengundi untuk Pilihanraya Parlimen Eropah telah semakin merosot setiap kali sejak ia mula diadakan pada tahun 1979 (61.99%), dan jatuh di bawah paras 50% mulai tahun 1999, dengan kadar terendahnya pada tahun 2014 (42.54%). Peningkatan dalam peratusan keluar mengundi kali ini telah mengubah trend kemerosotan penglibatan pengundi dalam Pilihanraya Parlimen Eropah.

Belgium mencatatkan peratusan keluar mengundi yang tertinggi, iaitu 88.47%, diikuti dengan Luxembourg (84.10%), Malta (72.70%), Denmark (66.00%) dan Sepanyol (64.30%). Belgium telah mengadakan Pilihanraya Persekutuan dan Pilihanraya Wilayah pada hari yang sama dengan Pilihanraya Parlimen Eropah di negara itu.

Peratusan keluar mengundi yang terendah dicatatkan oleh Slovakia yang hanya mencapai 22.74%, sementara Slovenia (28.32%), Republik Czech (28.72%) dan Croatia (29.86%) juga agak mengecewakan dari segi peratusan keluar mengundi.

20190530 - GettyImages-695871410-714x476.jpg

Ringkasan pengagihan kerusi mengikut blok politik

  1. Kumpulan Parti Rakyat Eropah (EPP), blok berhaluan kanan tradisional yang terdiri daripada parti-parti demokratik kristian dan konservatif yang pro-EU, memperoleh sebanyak 179 kerusi. Walaupun masih kekal sebagai blok yang terbesar dalam Parlimen Eropah, tetapi jumlah kerusinya telah merosot sebanyak 42 kerusi berbanding 221 yang dikuasainya pada tahun 2014. Parti utama dalam EPP ialah Kesatuan Demokratik Kristian (CDU) yang sedang memerintah negara Jerman, Parti Rakyat Austria (ÖVP) dan Parti Rakyat (PP) di Sepanyol.
  1. Kumpulan Pakatan Progresif Sosialis dan Demokrat (S&D), blok berhaluan kiri tengah yang terdiri daripada parti-parti demokrat sosial yang bergabung dalam Parti Sosialis Eropah (PES), masih kekal sebagai blok kedua besar, tetapi kerusinya berkurang sebanyak 38 berbanding tahun 2014, menjadi hanya 153 kerusi dalam Parlimen Eropah. Parti utama dalam PES ialah Parti Demokratik Sosial Jerman (SPD), Parti Pekerja Sosialis Sepanyol (PSOE) dan Parti Buruh di UK.
  1. Kumpulan Pakatan Liberal dan Demokrat untuk Eropah (ALDE-R), blok liberal dan berhaluan tengah yang terdiri daripada parti-parti yang bergabung dalam Parti Pakatan Liberal dan Demokrat untuk Eropah (ALDE) dan Parti Demokratik Eropah (EDP), muncul sebagai blok ketiga besar, setelah berjaya memenangi 105 kerusi, bertambah sebanyak 38 kerusi berbanding tahun 2014. ALDE-R disertai oleh parti-parti berhaluan tengah yang pro-EU dan pro-pasaran bebas, dengan parti utamanya termasuk Demokrat Liberal (Lib Dems) di UK, Parti Rakyat untuk Kebebasan dan Demokrasi (VVD) di Belgium dan Republik Maju Ke Hadapan! (En Marche!) di Perancis.
  1. Kumpulan Hijau / Pakatan Bebas Eropah (Greens/EFA), blok cenderung ke kiri yang terdiri daripada parti-parti hijau dan parti-parti berfahaman kedaerahan (regionalism) serta liberal kiri, menguasai sebanyak 69 kerusi, bertambah 19 kerusi, menjadikannya blok keempat besar dalam Parlimen Eropah. Parti utama dalam Kumpulan Greens/EFA ini ialah Pakatan ’90/Hijau (Grüne) di Jerman, Parti Nasional Scotland (SNP) di UK dan Parti Hijau England dan Wales (GPEW) di UK.
  1. Kumpulan Konservatif dan Reformis Eropah (ECR), blok berhaluan kanan yang lebih kritikal terhadap EU atau Euroskeptik, menduduki tangga kelima dengan 63 kerusi, berkurang 7 kerusi berbanding tahun 2014. Parti utama dalam blok ini ialah Parti Konservatif di UK dan “Undang-Undang dan Keadilan” (PiS) di Poland.
  1. Kumpulan Eropah Bangsa dan Kebebasan (ENF), blok pelampau kanan yang terdiri daripada parti-parti nasionalis kanan yang anti-migran, memperoleh sebanyak 58 kerusi. Parti utama dalam blok ini ialah Perhimpunan Nasional (RN) di Perancis, Liga Utara (Lega) di Itali dan Parti untuk Kebebasan (PVV) di Belanda. (Jangan keliru dengan perkataan “kebebasan” dalam nama parti-parti ini, kerana parti-parti pelampau kanan ini hendak menyekat kebebasan rakyat jika berkuasa, dan mengapi-apikan sentimen kebencian perkauman.)
  1. Kumpulan Eropah Kebebasan dan Demokrasi Secara Langsung (EFDD), blok populis yang Euroskeptik dan xenofobik, memenangi sebanyak 54 kerusi, bertambah sebanyak 6 kerusi berbanding tahun 2014. Parti utama dalam blok ini ialah Parti Brexit di UK, Gerakan Lima Bintang (M5S) di Itali dan Alternatif untuk Jerman (AfD).
  1. Kumpulan Kiri Bersatu Eropah / Kiri Hijau Nordik (GUE/NGL), satu-satunya blok berhaluan kiri yang terdiri daripada parti-parti sosialis dan komunis yang kritikal terhadap kapitalisme, hanya berjaya memperoleh 38 kerusi, berkurang sebanyak 14 kerusi berbanding 52 kerusi yang dimenangi pada tahun 2014. Parti utama dalam GUE/NGL ialah Parti Kiri (Die Linke) di Jerman, Gabungan Kiri Radikal (Syriza) di Greece, Podemos di Sepanyol dan Sinn Féin di Ireland.

Krisis dalam Eropah masih kekal

Parti-parti tradisional yang besar di Eropah yang memerintah Eropah secara bergilir-gilir sejak Perang Dunia II, telah mengalami kekalahan yang teruk di peringkat benua Eropah. Kedua-dua EPP dan S&D, walaupun masih kekal sebagai dua blok yang terbesar, tetapi sokongan yang diperolehi dan kerusi yang dikuasai mereka telah merosot dengan hebatnya. Penguasaan kerusi oleh Les Républicains, Parti anggota EPP di Perancis, merosot dari 19 kepada 8. Di UK, Parti Konservatif yang masih memerintah telah hilang sebanyak 15 kerusi dan tinggal 4 kerusi dalam Parlimen Eropah.  Ini merupakan kali pertama dalam sejarah Parlimen Eropah, jumlah kerusi yang dikuasai oleh dua blok yang terbesar tidak mencukupi untuk membentuk majoriti (376 kerusi diperlukan). Oleh sebab pengagihan kerusi yang berpecah dengan hebat dalam Parlimen Eropah, kedua-dua blok terbesar memerlukan sokongan daripada kumpulan ALDE yang liberal dan mungkin juga daripada kumpulan Hijau, untuk membentuk satu pakatan pro-EU yang berspektrum politik lebih luas.

Walaupun blok Kiri mengalami kekalahan yang agak teruk, namun kebangkitan Blok Hijau dalam Parlimen Eropah pula agak memberangsangkan. Greens/EFA mencatatkan rekod pencapaiannya yang terbaik dalam sejarah Pilihanraya Parlimen Eropah. Di Jerman, Parti Hijau hampir menggandakan kerusinya (bertambah dari 11 ke 21), meletakkannya di tempat kedua selepas parti pemerintah CDU. Pencapaian Parti Hijau di Perancis juga memberangsangkan. Namun, parti hijau tidak memenangi apa-apa kerusi di Eropah Timur dan Selatan. Kebangkitan parti-parti hijau di Eropah berkait rapat dengan gerakan alam sekitar dan gelombang aksi mogok iklim yang semakin hebat khususnya di benua Eropah. Berbeza dengan parti-parti dalam blok Kiri yang mengambil pendirian yang lebih kritikal terhadap EU, blok Hijau mengambil posisi yang pro-EU.

Walaupun prestasi EPP dan S&D yang merosot dengan hebat, tetapi 4 blok pro-EU yang utama (EPP. S&D, ALDE-R dan Greens/EFA) telah menguasai lebih 500 kerusi dalam Parlimen Eropah, membentuk majoriti yang agak selesa untuk parti-parti yang pro-EU. Selain kebangkitan blok Hijau, penambahan kerusi daripada ALDE-R, khususnya parti En Marche! yang dipimpin Emmanuel Macron di Perancis dan Lib Dems di UK, telah memberi keyakinan hebat kepada puak pro-EU. Namun, blok liberal yang memainkan peranan penentu dalam Parlimen Eropah yang berpecah-pecah, pastinya akan mengambil kesempatan untuk mendesak lebih banyak dasar-dasar neo-liberal yang pro-bisnes tetapi mengancam kepentingan kelas pekerja.

Ancaman politik pelampau kanan masih tidak kurang hebat dengan kemenangan besar parti berhaluan kanan di Itali, Hungary dan Poland. Namun begitu, penguasaan kerusi puak pelampau kanan tidak sehebat yang diramalkan sebelum pilihanraya. Jumlah kerusi yang dikuasai oleh dua blok populis kanan dan pelampau kanan, EFDD dan ENF, ialah 112. Lega di Itali yang dipimpin oleh Matteo Salvini bertambah sebanyak 23 kerusi, menyumbang kepada peningkatan kerusi yang dikuasai parti pelampau kanan yang Euroskeptik.

Krisis ekonomi akan berterusan dan polarisasi politik di kebanyakan negara di Eropah membentuk senario politik di Eropah kini yang penuh dengan perpecahan. Golongan yang kononnya berhaluan tengah (kumpulan ALDE-R) yang mendapat peningkatan sokongan sebenarnya hanya akan meneruskan dasar ekonomi neo-liberal yang tidak membantu dalam merapatkan jurang kekayaan yang melebar. Ancaman kuasa pelampau kanan, walaupun tidak sehebat yang diramalkan dalam keputusan Pilihanraya Parlimen Eropah, tetapi kewujudan perwakilannya dalam jumlah yang signifikan bukannya sesuatu yang boleh dibiarkan begitu sahaja. Kuasa kiri pula menghadapi cabaran hebat untuk membina semula kekuatan kelas pekerja.

==========

Marilah kita melihat sepintas lalu keputusan Pilihanraya Parlimen Eropah di beberapa buah negara.

20190530 - EU - 53639.jpg
Nigel Farage, pemimpin Parti Brexit, UK

UK

Dua parti utama, Parti Konservatif dan Parti Buruh, telah mengalami kekalahan yang teruk. Parti Konservatif mencatatklan keputusan paling teruknya dalam sejarah dari segi perolehan undi, apabila ia hanya meraih sebanyak 8.8% undi popular dan hanya mendapat 4 daripada 73 kerusi Parlimen Eropah untuk UK, sesuatu yang amat sukar untuk dibayangkan bagi sebuah parti yang masih memerintah UK. Parti pembangkang utama UK, Parti Buruh, juga tidak kurang kegagalannya dalam Pilihanraya Parlimen Eropah kali ini, apabila hanya menang 10 kerusi dengan undi popular 13.7%. Kedua-dua parti ini dihukum oleh pengundi daripada kedua-dua spektrum pro-Brexit dan anti-Brexit, kerana kegagalan mereka dalam mengemukakan penyelesaian yang berkesan dalam isu penarikan diri UK daripada EU (ataupun dikenali sebagai Brexit).

Satu referendum mengenai Brexit telah diadakan pada 23 Jun 2016 dengan 51.9% undi menyokong UK keluar dari EU. Isu berkaitan dengan perjanjian untuk Brexit tidak dapat diselesaikan kerana perbezaan pendirian di kalangan perwakilan dalam parlimen dan juga perbezaan pendapat di kalangan ahli politik dalam dua parti yang utama. Satu kempen yang bergelar “Undi Rakyat” (People’s Vote) sejak tahun lepas dengan seruan untuk mengadakan satu undian awam (referendum) mengenai perjanjian Brexit yang muktamad antara UK dengan EU, telah mendapat sambutan hebat. Lebih 1 juta orang menyertai satu perarakan besar-besaran di London pada 23 Mac 2019, untuk menyatakan sokongan terhadap referendum Brexit yang kedua, di mana ia tidak dipersetujui oleh pimpinan kedua-dua parti utama (Parti Konservatif dan Parti Buruh). Ramai penyokong EU dalam kedua-dua parti utama telah mengalihkan sokongan mereka kepada parti-parti pro-EU seperti Lib Dems, Parti Hijau dan Parti Nasional Scotland.

Parti Brexit pimpinan Nigel Farage, sebuah parti pelampau kanan yang menyebarkan fahaman xenofobia dan anti-migran, menjadi pemenang terbesar dengan mendapat sokongan daripada pengundi-pengundi pro-Brexit, sementara Lib Dems mendapat faedah daripada pengundi anti-Brexit. Parti Brexit meraih sebanyak lebih 5 juta undi (30.5%) dan memenangi 29 kerusi, menjadikan parti yang baru ditubuhkan 6 bulan ini parti UK yang terbesar dalam Parlimen Eropah. Lib Dems pula meraih sebanyak lebih 3 juta undi (19.6%), dan berjaya mendapat 16 kerusi (bertambah sebanyak 15 kerusi), menjadikannya parti UK yang mempunyai kerusi Parlimen Eropah yang kedua banyak. Parti Hijau pula mendapat hampir 11.8% undi dan memenangi 7 kerusi, membolehkan ia menduduki tangga ke-4 di belakang Parti Buruh.

Pendirian Parti Buruh pimpinan Jeremy Corbyn yang dianggap tidak jelas dalam isu Brexit dan keengganannya untuk menyokong referendum kedua mengenai isu Brexit, telah menyebabkan Parti Buruh kehilangan banyak sokongan kepada Lib Dems dan Parti Hijau, sementara pengundi Parti Buruh yang pro-Brexit pula mengalihkan sokongan kepada Parti Brexit. Jeremy Corbyn yang turut menghadapi tekanan dalam Parti Buruh telah memberikan isyarat untuk mempertimbangkan sokongan bagi referendum kedua.

20190530 - EU - 19331751.jpg
Jean-Luc Mélenchon (kiri) dan Manon Aubry (kanan) daripada La France Insoumise

Perancis

Parti pelampau kanan Rassemblement National yang dipimpin oleh Marine Le Pen, walaupun kekal sebagai parti terbesar di Perancis dalam Parlimen Eropah, tetapi telah kurang satu kerusi menjadikannya hanya mendapat 23 kerusi dengan 23.33% undi (merosot 1.54 titik peratusan). Gabungan La République En Marche! (REM) pimpinan Presiden Perancis Emmanuel Macron dengan parti berhaluan tengah Mouvement Démocrate (MoDem), juga mendapat 23 kerusi tetapi dengan perolehan undi yang lebih rendah (22.41%).

Jean-Luc Mélenchon yang menduduki tempat keempat dalam pililhanraya presiden pada tahun 2017 dengan undi sebanyak 19.58%, hanya berjaya mendapatkan 6.31% undi untuk La France Insoumise (FI) yang dipimpinnya dalam Pilihanraya Parlimen Eropah kali ini. Menurut analisis akhbar Libération, majoriti yang aktif dalam gerakan Jaket Kuning (Gilet Jaunes) yang tercetus sejak bulan November 2018, mengundi untuk parti pelampau kanan Rassemblement National, bukannya La France Insoumise yang menawarkan alternatif kiri.

Parti Hijau di Perancis, Europe Écologie Les Verts (EELV), mencapai keputusan pilihanrayanya yang terbaik apabila mendapat 13 kerusi dengan 13.48% undi.

Jerman

Walaupun parti pemerintahan Kesatuan Demokratik Kristian (CDU) berkurangan sebanyak 6 kerusi berbanding tahun 2014, tetapi masih kekal sebagai parti Jerman terbesar dalam Parlimen Eropah dengan 23 kerusi. Bersama dengan sekutunya Kesatuan Sosial Kristian (CSU) di Bavaria, blok EPP di Jerman menguasai sebanyak 29 kerusi dengan 28.86% undi.

Parti hijau, Bündnis 90/Die Grünen (Grüne), mencatatkan keputusan pilihanraya terbaik dalam sejarahnya, apabila meraih sebanyak 20.53% undi dan memenangi sebanyak 21 kerusi. Ska Keller, pemimpin utama Grüne dalam Parlimen Eropah, berkata, “Semua orang selalu bercakap tentang pelampau kanan, dan ya, memang mereka satu ancaman besar, tetapi terdapat juga perkara lain yang sedang berlaku – mogok iklim, perarakan yang pro-Eropah, gerakan anti-korupsi. Ini menunjukkan bahawa terdapatnya Eropah yang satu lagi ini yang perlu kita memberi lebih banyak perhatian.”

Parti pelampau kanan, Alternative für Deutschland (AfD), walaupun berjaya menambahkan kerusinya dari 7 pada tahun 2014 kepada 11, dengan 10.97%, namun keputusan ini tidak sehebat yang diramalkan sebelum ini. Parti pelampau kanan yang homofobik, islamofobik, xenofobik dan berfahaman nasionalis sempit ini, memperoleh 12.6% undi dalam pilihanraya umum Jerman pada tahun 2017, dan menjadi ancaman utama kepada masyarakat demokrasi di Eropah. Pencapaian AfD yang tidak begitu hebat seperti diramalkan, memberi sedikit kelegaan kepada masyarakat Eropah yang bimbang tentang kemaraan pelampau kanan, tetapi ancaman daripadanya masih tidak boleh dipandang ringan.

Parti Demokrasi Sosial Jerman (SPD) hanya memperoleh 16 kerusi (kurang sebanyak 11) dengan 15.82% undi (merosot sebanyak 11.4%), menjadikannya parti yang mengalami kekalahan paling teruk di Jerman dalam Pilihanraya Eropah kali ini.

Die Linke di Jerman memperoleh keputusan yang mengecewakan apabila hanya meraih sebanyak 5.50% undi dan menguasai 5 kerusi sahaja. Sokongan kepada Die Linke telah merosot sebanyak 1.9 titik peratusan berbanding 7.4% pada tahun 2014, dan jauh rendah berbanding 9.2% undi yang diperolehinya dalam Pilihanraya Persekutuan Jerman pada tahun 2017.

Itali

Parti pelampau kanan Lega Nord (LN) yang dipimpin oleh Timbalan Perdana Menteri Itali Matteo Salvini, muncul sebagai parti Itali yang terbesar dalam Parlimen Eropah setelah meraih 34.33% undi dan memenangi 28 kerusi. Sementara itu, parti populis yang bersekutu dengan LN dalam membentuk kerajaan campuran, Gerakan Lima Bintang (M5S) yang dipimpin oleh seorang lagi Timbalan Perdana Menteri Itali Luigi Di Maio, menduduki tangga ketiga dengan 14 kerusi (17.07% undi). M5S merupakan parti terbesar dalam Parlimen Itali sekarang ini, sementara Lega ialah parti ketiga besar; namun kedudukan kedua-dua parti ini saling bertukar dalam Pilihanraya Parlimen Eropah kali ini.

Parti berhaluan kiri tengah, Parti Demokratik (PD), hilang sebanyak 12 kerusi dengan hanya mendapat 19 kerusi (22.74% undi, merosot sebanyak 18.03 titik peratusan).

Parti berhaluan kiri, La Sinistra (LN), yang merupakan pengganti kepada L’Altra Europa yang menang 3 kerusi pada tahun 2014, gagal mendapat apa-apa kerusi. Gerakan kiri di Itali yang selalu berpecah telah melemahkan prestasi parti berhaluan kiri dalam pilihanraya di Itali.

20190530 - pbGettyImages-542848216-1.jpg
Pablo Iglesias, pemimpin Podemos, Sepanyol

Sepanyol

Parti Pekerja Sosialis Sepanyol (PSOE) yang dipimpin oleh Perdana Menteri Pedro Sánchez, berjaya menguasai 20 kerusi (tambah 6 kerusi berbanding tahun 2014) dengan 32.84% undi. Parti berhaluan kanan yang merupakan pesaing tradisional kepada PSOE, Parti Rakyat (PP), menduduki tangga kedua dengan 12 kerusi (kurang 4 kerusi).

Unidas Podemos cambiar Europa, gabungan berhaluan kiri yang terdiri daripada Podemos, Izquierda Unida (IU), En Comú Podem, Equo dan Batzarre, hanya menguasai 6 kerusi dengan 10.05% undi, sekadar menduduki tangga ke-4. Daripada 6 kerusi ini, 5 akan bergabung dalam blok GUE/NGL sementara satu lagi (kerusi Equo) akan bergabung dalam blok Hijau/EFA. Blok kiri di Sepanyol mendapat 11 kerusi pada tahun 2014 (5 daripada Podemos dan 6 daripada La Izquierda Plural yang diterajui IU), maka keputusan kali ini agak mengecewakan untuk kuasa kiri di Sepanyol.

Parti anti-kemerdekaan Catalonia Ciudadanos (Cs) menduduki tangga ketiga dengan 7 kerusi (12.17% undi), sementara parti pelampau kanan Vox mendapat 3 kerusi dengan 6.20% undi (walaupun mendapat 10.3% undi dalam pilihanraya umum pada akhir bulan April 2019).

Imbangan kuasa yang menjurus ke haluan kiri dalam pilihanraya umum Sepanyol sebulan yang lepas, telah bertukar menjurus ke haluan kanan dalam Pilihanraya Parlimen Eropah.

20190530 - EU - The-Greek-Prime-Minister-s-Syriza-Party-has-suffered-defeat-at-the-EU-Elections-1132448.jpg
Alexis Tsipras, pemimpin SYRIZA, Greece

Greece

Parti kiri yang mentadbir Greece, Gabungan Kiri Radikal (SYRIZA) yang dipimpin Alexis Tsipras, telah mengumumkan pilihanraya awal selepas parti tersebut gagal mendapat kerusi terbanyak dalam Pilihanraya Parlimen Eropah di Greece. SYRIZA hanya mendapat 6 kerusi dengan 23.78% undi, menduduk tangga kedua di belakang Nea Dimokratia (ND), parti tradisional berhaluan kanan, yang mendapat 8 kerusi dengan 33.11% undi.

SYRIZA menang dalam pilihanraya umum Greece pada bulan Januari 2015 dengan platform menentang dasar penjimatan (austerity) yang dipaksakan oleh EU, dan membentuk kerajaan campuran untuk memerintah Greece sehingga ketika ini. Namun, kerajaan SYRIZA terpaksa tunduk di bawah tekanan hebat daripada kekuasan EU untuk menerima perjanjian yang meneruskan dasar penjimatan, walaupun referendum pada bulan Julai 2015 menolak sebarang perjanjian dengan EU yang melaksanakan dasar penjimatan. Seluruh kelas pemerintah Eropah tidak mahu Greece mewujudkan alternatif kiri yang membebaskan rakyat daripada cengkaman sistem kapitalis.

Parti Komunis Greece (KKE) yang tidak menyertai mana-mana blok dalam Parlimen Eropah, mampu mengekalkan 2 kerusinya dalam Parlimen Eropah.

Berita baik untuk Greece adalah parti pelampau kanan “Fajar Emas” yang meraih 9.39% undi dan memenangi 3 kerusi pada tahun 2014, telah menurun sokongannya kepada 4.88% dan hanya mendapat 2 kerusi dalam Pilihanraya Parlimen Eropah kali ini.

Pencapaian parti kiri yang menghampakan secara keseluruhan

Parti-parti berhaluan kiri yang bergabung dalam kumpulan “Kiri Bersatu Eropah / Kiri Hijau Nordik” (GUE/NGL), mencatatkan keputusan yang agak mengecewakan secara keseluruhan dalam Pilihanraya Parlimen Eropah kali ini. GUE/NGL telah hilang sebanyak 14 kerusi. Analisis awal mencadangkan bahawa kuasa Kiri di Eropah telah merosot ke tahap tahun 1989 apabila Tembok Berlin dirobohkan.

Prestasi GUE/NGL yang paling teruk adalah dalam dua Pilihanraya Parlimen Eropah sebelum ini pada tahun 2009, iaitu hanya menguasai 35 kerusi.

Parti dari GUE/NGL menang 6 kerusi di Perancis, Sepanyol dan Greece masing-masing. SYRIZA yang merupakan parti pemerintah dan menduduki tempat pertama pada tahun 2014, telah dipintas oleh parti berhaluan kanan walaupun kerusi yang dikuasainya tidak berubah. Podemos yang muncul daripada gerakan rakyat menentang dasar penjimatan yang hebat dan pada satu ketika menjadi kuasa kiri yang bakal menggantikan PSOE, gagal meneruskan penonjolannya sebagai alternatif yang berwibawa dengan sokongan undi yang berkurang sebanyak separuh berbanding kemuncaknya dalam pilihanraya umum pada tahun 2015-16.

Sebagai salah sebuah parti kiri terbesar di Eropah dari segi keanggotaan, 5 kerusi dan 5.5% undi untuk Die Linke di Jerman adalah keputusan yang paling teruk sepanjang penglibatannya dalam Pilihanraya Parlimen Eropah.

Namun, bukannya semua negara menunjukkan gambaran yang murung untuk blok Kiri. Di Portugal, blok GUE/NGL masih kekalkan 4 kerusi dalam Parlimen Eropah. Kedua-dua parti yang bergabung dalam GUE/NGL, Bloco de Esquesda (BE) dan Coligação Democrática Unitária (CDU), masing-masing menguasai 2 kerusi Parlimen Eropah, menduduki tangga ketiga dan keempat dari segi sokongan undi. BE bertambah satu kerusi berbanding tahun 2014, dengan meraih sebanyak 9.82% undi. CDU yang merupakan gabungan antara Parti Komunis Portugal (PCP) dan Partido Ecologista “Os Verdes (PEV), telah kurang satu kerusi berbanding tahun 2014, dengan meraih sebanyak 6.88% undi. Parti berhaluan kiri tengah, Parti Sosialis (PS), bertambah satu kerusi kepada 9 kerusi dengan meraih sebanyak 33.38% undi, menjadikannya parti Portugal yang terbesar dalam Parlimen Eropah. Sementara itu, parti hijau di Portugal Pessoas-Animais-Natureza (PAN) telah memenangi kerusi yang pertamanya dengan 5.08% undi.

Di Cyprus, Parti Progresif Rakyat Pekerja (AKEL), sebuah parti Marxis-Leninis yang merupakan parti pembangkang utama di negara itu, menguasai 2 daripada 6 kerusi Parlimen Eropah untuk Cyprus, dengan 27.49% undi.

Di Ireland, dijangkakan 2 orang MEP dari GUE/NGL (Sinn Féin) akan masuk ke Parlimen Eropah; sementara di Irealand Utara, UK, Sinn Féin juga kekalkan 1 kerusi.

Pencapaian yang memberangsangkan dapat disaksikan di Belgium, di mana Parti Pekerja Belgium (PTB-PVDA) yang pada awalnya sebuah parti nyamuk yang amat kecil, akhirnya memenangi kerusi pertamanya dalam Parlimen Eropah dengan meraih sebanyak 5.74% undi. Pencapaian PTB-PVDA dalam pilihanraya umum Belgium yang diadakan pada hari yang sama dengan Pilihanraya Parlimen Eropah untuk Belgium, juga amat memberangsangkan dengan menambahkan kerusinya dari 2 kepada 10 dalam Parlimen Persekutuan Belgium.

GUE/NGL juga mendapat 1 kerusi di Belanda (Socialistische Parti, SP)(-2), Republik Czech (Parti Komunis Bohemia dan Moravia, KSČM)(-2), Sweden (Vänsterpartiet, V)(kekal sama), Finland (Vasemmistoliitto, V)(kekal sama) dan Denmark (Pakatan Merah-Hijau, Ø)(pertama kali bertanding).

Parti berhaluan kiri yang pernah memegang 3 kerusi Parlimen Eropah di Itali, sekarang tiada satu kerusi pun. Parti berhaluan kiri di Slovenia, Levica, walaupun meraih sebanyak 6.34% undi, tetapi gagal mendapat kerusi (kerana hanya 8 kerusi Parlimen Eropah untuk Slovenia).

Kejayaan parti berhaluan kiri yang menang dalam pilihanraya di Greece beberapa tahun yang lepas nampaknya sesuatu yang sudah lama berlalu. Kelas pemerintah telah menggunakan segala tekanan yang mungkin untuk menundukkan SYRIZA, dengan kesannya dapat dirasai oleh kebanyakan parti berhaluan kiri, di samping mewujudkan perpecahan di kalangan kuasa kiri, dan yang paling penting adalah menyekat realisasi alternatif kiri yang mampu mencabar kekuasaan sistem kapitalis neo-liberal yang mendominasi benua Eropah.

Adalah tidak mungkin untuk Syriza menang dalam pilihanraya umum Greece yang bakal diadakan, berikutan keputusan Pilihanraya Parlimen Eropah yang tidak memihak kepadanya dan parti berhaluan kanan utama dalam negara itu telah membangkit semula menjadi kuasa politik yang paling kuat di Greece dengan sokongan 33% undi.

Parti-parti berhaluan kiri di Eropah kebanyakannya mengambil posisi mengkritik EU sebagai alat pengukuhan kuasa kapitalis neoliberal, tetapi masih menyertai prosesnya untuk memperjuangkan kepentingan kelas pekerja. Namun, posisi parti-parti berhaluan kiri ini tidak mudah disampaikan kepada rakyat biasa, khususnya dalam keadaan masyarakat yang semakin dipolarisasikan akibat krisis ekonomi dan kemunculan kuasa pelampau kanan. Ketidakpuasan hati rakyat biasa terhadap institusi pemerintah Eropah tidak menjelma ke dalam undi sokongan kepada Kiri, sebaliknya lebih mudah dipancing oleh parti berhaluan kanan yang mempermainkan sentimen rasis dan xenofobia; sementara mereka yang bimbang pada ancaman puak pelampau kanan menaruh harapan pada parti-parti liberal yang pro-EU.

Dalam keadaan Parlimen Eropah yang berpecah-pecah dengan tiadanya satu blok yang mendominasi, kelas pemerintah Eropah akan membentuk satu gabungan politik yang merentasi spektrum yang meluas untuk mengekalkan kestabilan kuasa. Boleh dijangkakan bahawa badan pembuat keputusan EU di Brussels akan dikuasai oleh gabungan kuasa liberal dan konservatif untuk 5 tahun akan datang, sementara ruang untuk politik kiri akan menjadi semakin sempit. Walaupun parti-parti hijau yang memperjuangkan keadilan alam sekitar akan memainkan peranan semak-dan-imbang dalam keadaan senario politik Eropah yang berpecah-pecah, tetapi kerjasama blok Hijau dengan kuasa liberal dan konservatif yang pro-EU bakal mengundang risiko kepada parti-parti hijau yang mungkin akan kehilangan kewibawaan dalam masa yang singkat jika bersubahat dengan kelas pemerintah Eropah untuk meneruskan dasar neo-liberal yang menekan rakyat biasa.

Semestinya perjuangan masyarakat akan berterusan dalam menghadapi dasar pemerintah Eropah yang anti-pekerja dan ancaman puak pelampau kanan. Cabaran untuk golongan kiri adalah membina semula kekuatan masyarakat yang progresif untuk menangkis serangan kapitalis.

2 thoughts on “Pilihanraya Parlimen Eropah: Imbangan kuasa baru dalam Eropah yang berpecah-pecah?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *