20190601 - DNyRSEcVwAEVcS4.jpgPilihanraya Parlimen Eropah pada tahun ini menghasilkan keputusan yang pedih dan mengecewakan untuk parti-parti berhaluan kiri di Eropah, dengan kerusi yang dikuasai oleh Kiri Bersatu Eropah / Kiri Hijau Nordik (GUE/NGL) telah merosot dari 52 kepada 38. Namun, prospek untuk golongan kiri tidak begitu malap malah wujudnya harapan yang memberangsangkan di Belgium, apabila Parti Pekerja Belgium mencatatkan pencapaian pilihanraya yang terbaiknya dalam sejarah.

Selain mendapatkan Ahli Parlimen Eropah yang pertama, Parti Pekerja Belgium turut melipatgandakan bilangan ahli parlimen dalam Dewan Perwakilan Belgium (Parlimen Persekutuan Belgium), Parlimen Brussels, Parlimen Wallonia dan Parlimen Flanders.

Pada 26 Mei 2019, selain berlangsungnya Pilihanraya Parlimen Eropah, Belgium juga mengadakan Pilihanraya Persekutuan dan Pilihanraya untuk Parlimen Wilayah secara serentak.

Sebanyak 150 kerusi Dewan Perwakilan Belgium dipertandingkan dan diagihkan dengan kaedah perwakilan berkadar dalam 11 daerah mengundi; antaranya 87 kerusi tergolong dalam kumpulan berbahasa Belanda (wilayah Flanders) dan 63 kerusi daripada kumpulan berbahasa Perancis (wilayah Wallonia dan Wilayah Ibu Negara Brussels). Terdapat 4 buah Dewan Perundangan di peringkat wilayah, iaitu Parlimen Flanders, Parlimen Wallonia, Parlimen Brussels dan Parlimen Komuniti Berbahasa Jerman.

Dalam Pilihanraya Persekutuan Belgium, Perikatan Flanders Baru (Nieuw-Vlaamse Alliantie, N-VA), sebuah parti berhaluan kanan yang berfahaman konservatif dan nasionalis Flemish (gerakan pemisahan wilayah Flanders yang memperjuangkan perlindungan Bahasa Belanda dan budaya Flemish), kekal menjadi parti terbesar dalam parlimen walaupun hilang sebanyak 8 kerusi, menjadikannya menguasai 25 kerusi dengan meraih 16.03% undi.

Parti populis pelampau kanan yang berfahaman nasionalis Flemish, Vlaams Belang (VB), muncul sebagai pemenang terbesar dalam pilihanraya dengan meraih sebanyak 11.95% undi dan menguasai 18 kerusi, dengan peningkatan sebanyak 15 kerusi berbanding pilihanraya tahun 2014. VB menduduki tangga kedua dari segi perolehan undi dan merupakan parti ketiga besar dalam Parlimen Persekutuan Belgium. Peningkatan yang mendadak dalam penguasaan kerusi parlimen oleh VB merupakan satu amaran bahawa ancaman puak pelampau kanan yang mengapi-apikan sentimen nasionalis sempit, rasis dan anti-migran masih ketara.

Parti Socialiste (PS), parti berhaluan kiri tengah daripada komuniti berbahasa Perancis, walaupun kekal sebagai parti kedua besar dalam Dewan Perwakilan Belgium, tetapi bilangan kerusi yang dikuasainya telah berkurang sebanyak 3 kepada 20 kerusi, dengan meraih 9.46% undi. Christen-Democratisch en Vlaams (CD&V), parti berhaluan kanan yang pernah merupakan parti terbesar di wilayah Flanders sebelum dipintas oleh N-VA pada tahun 2010-an, hanya mendapat 12 kerusi (kurang sebanyak 6 kerusi) dengan meraih 8.89% undi.

DrukwerkDrukwerk

Parti Pekerja Belgium cipta sejarah

Parti Pekerja Belgium (Partij van de Arbeid van België / Parti du Travail de Belgique, PVDA-PTB), ialah sebuah parti berhaluan kiri yang bergerak di seluruh negara Belgium, berbeza dengan kebanyakan parti politik di Belgium yang hanya menumpu pada satu komuniti bahasa sahaja sama ada di Wilayah Flanders atau wilayah berbahasa Perancis. Parti Pekerja Belgium tidak pernah memenangi apa-apa kerusi dalam Parlimen Persekutuan atau mana-mana parlimen wilayah sehingga tahun 2014. Parti Pekerja Belgium menang 2 kerusi dalam Pilihanraya Persekutuan pada tahun 2014, di samping menang 4 kerusi dalam Parlimen Brussels dan 2 kerusi dalam Parlimen Wallonia. Dalam pilihanraya kali ini, Parti Pekerja Belgium mencipta sejarah dengan menghantar 12 orang masuk ke dalam Parlimen Persekutuan Belgium.

Dalam Pilihanraya Persekutuan, Parti Pekerja Belgium meraih sebanyak 584,621 undi, bersamaan 8.62% daripada jumlah undi, membolehkannya menguasai sebanyak 12 kerusi dalam Dewan Perwakilan Belgium. Ini merupakan satu peningkatan yang signifikan dari segi perolehan undi dan penguasaan kerusi. Undi yang diperoleh Parti Pekerja Belgium bertambah sebanyak 4.9 titik peratusan ataupun lebih 330,000 undi, sementara kerusi bertambah sebanyak 10.

Sebelum tahun 2010, Parti Pekerja Belgium hanya meraih kurang daripada 1% undi dalam setiap Pilihanraya Persekutuan, dengan pencapaian yang paling teruknya pada tahun 2003 yang hanya mendapat 20,825 undi (bersamaan 0.2% undi). Pada tahun 2010, selepas Parti Pekerja Belgium melakukan pembaharuan, undi yang diperoleh Parti Pekerja Belgium bertambah secara mendadak kepada 101,088 (bersamaan 1.6% undi) tetapi tidak menang apa-apa kerusi lagi.

Dalam Pilihanraya Parlimen Brussels, Parti Pekerja Belgium meraih sebanyak 13.47% undi (meningkat 9.61 titik peratusan) dan menguasai sebanyak 10 daripada 89 kerusi dalam Parlimen Brussels, bertambah sebanyak 6 kerusi. Dalam Pilihanraya Parlimen Wallonia, Parti Pekerja Belgium meraih sebanyak 13.68% undi (meningkat 7.53 titik peratusan) dan menang sebanyak 10 daripada 75 kerusi dalam Parlimen Wallonia (bertambah 8 kerusi). Parti Pekerja Belgium berjaya menang kerusi dalam Parlimen Flanders untuk kali pertama dengan meraih 5.32% undi (meningkat 2.79 titik peratusan) dan menguasai 4 daripada 124 kerusi dalam Parlimen Flanders.

Dalam Pilihanraya Parlimen Eropah yang diadakan secara serentak, Parti Pekerja Belgium memenangi kerusi pertamanya dalam Parlimen Eropah dengan meraih 5.74% undi. Marc Botenga menjadi Ahli Perlimen Eropah yang pertama untuk Parti Pekerja Belgium.

20190601 ptb.jpg

Parti Pekerja Belgium melakukan pembaharuan untuk memperkembangkan organisasi

Asal usul Parti Pekerja Belgium boleh dijejak kembali kepada zaman radikalisasi anak muda Belgium dalam gerakan pelajar pada tahun 1960-an. Pelajar-pelajar yang dipengaruhi ideologi kiri radikal pada masa itu telah melibatkan diri dalam perjuangan kelas pekerja, dan menubuhkan sebuah kumpulan politik berhaluan kiri yang bergelar “Semua Kuasa Kepada Pekerja” (Alle Macht Aan De Arbeiders, AMADA) pada tahun 1968. Anggota-anggota AMADA kemudiannya menubuhkan Parti Pekerja Belgium pada tahun 1979 sebagai sebuah parti yang berfahaman Maois.

Parti Pekerja Belgium ditubuhkan sebagai alternatif ortodoks kepada Parti Komunis Belgium yang dianggap semakin revisionis pada era 1960-an. Untuk beberapa dekad lamanya Parti Pekerja Belgium wujud sebagai sebuah parti “nyamuk” dan berada di pinggiran politik nasional Belgium, tetapi telah berjaya meletakkan dirinya dalam arus perdana politik Belgium untuk 10 tahun yang baru-baru ini.

Parti Pekerja Belgium merupakan sebuah parti yang kecil pada awalnya, dengan undi yang diperolehinya dalam pilihanraya tidak pernah melebih 1% sehingga tahun 2010-an. Setelah kekalahan teruk Parti Pekerja Belgium dalam pilihanraya pada tahun 2003, apabila undi yang diperolehinya berkurang dari 30,930 (dalam pilihanraya tahun 1999) kepada 20,825, Parti Pekerja Belgium mula mengubah caranya bekerja dan berkomunikasi dengan massa. Parti Pekerja Belgium meneruskan fokusnya dalam mengorganisasi pekerja-pekerja industri dan menjalankan kerja-kerja akar umbi dengan komuniti setempat, di samping membuang amalannya yang disifatkan “sektarian” untuk mendekatkan dirinya dengan rakyat biasa. Parti Pekerja Belgium memperjuangkan isu-isu rakyat yang konkrit seperti mengurangkan harga ubat, menurunkan kadar cukai tambah nilai (VAT) untuk penggunaan tenaga domestik, meningkatkan bayaran pencen, memperkenalkan kawalan sewa rumah dan sebagainya.

Menurut Peter Mertens, Presiden Parti Pekerja Belgium, dalam satu temuramah oleh majalah Jacobin pada tahun lalu, “Kami memulakan setiap kempen dengan soal selidik yang meluas di kalangan orang awam, untuk menentukan apakah isu-isu utama dalam program kami yang akan kami berkempen. Di Brussels, seperti di bandar-bandar lain, kami bermula dengan mengedarkan risalah dengan 20 soalan kepada pengundi-pengundi, menanya pada mereka perkara apa yang diambilberat oleh mereka di kawasan mereka berada. Fasa pertama penyelidikan diadakan setahun yang lalu, dan di bandar seperti Antwerp, sebagai contoh, kami mengutip jawapan daripada 9,000 orang. Ini adalah kerja yang intensif – bermakna (aktivis) militan kami mengadakan diskusi 20-minit, dari pintu ke pintu di setiap kawasan di setiap bandar. Di kebanyakan bandar, isu yang dibangkitkan adalah persoalan perumahan, kemudiannya kemiskinan, dan yang ketiga mobiliti – kekurangan pengangkutan awam, atau kosnya yang tinggi. ”

20190501- mertenspvda.jpg
Peter Mertens

Peter Mertens berkata, “Kami melihat bagaimana parti-parti berhaluan kanan berjaya dalam penceritaan; mereka mengambil cerita yang konkrit dan dari situ membangunkan idea yang lebih umum atau agenda imperialis. Mereka bermula dari masalah seperti orang menipu dalam menerima faedah untuk orang kurang upaya – jenis cerita yang boleh menjadi berita muka depan, dan semua orang berkata bahawa mereka tahu adanya orang menyalahgunakan perlindungan sosial. Kemudiannya ada sejenis golongan kiri – di Belgium, tetapi saya ingat ia lebih meluas – yang merespon dengan statistik dan carta pengagihan pendapatan, di mana semuanya betul tetapi sangat abstrak dan tidak memikat emosi, hanya melibatkan otak dan bukannya hati. Kami sebagai golongan kiri juga perlu mencari cara penceritaan kami sendiri dalam kehidupan sebenar, dan kemudian baru pergi ke tahap yang abstrak.”

“Kita memerlukan cerita kita sendiri, misalnya pesara yang hanya menerima pencen €800 sebulan dan perlu membelanjakan €500 dalam sewa rumah, menyebabkan mereka hanya tingga €10 sehari untuk meneruskan hidup. Maka kita berkata, bukannya hanya Puan X yang hidup dalam keadaan sebegini, tetapi adanya sejuta orang rakyat begini, kerana politik Belgium dan semenangnya juga politik Eropah. Jadi, kami mengaitkan cerita yang membangkit emosi dengan tahap politik yang lebih abstrak. Ini merupakan perubahan yang kami lakukan pada tahun 2008. Parti Pekerja Belgium telah aktif untuk beberapa dekad, tetapi tidak berkembang besar, dan generasi pertama parti mempunyai kesukaran untuk memperbaharui dirinya. Kami berisiko untuk menjadi semakin kecil, sehingga akan pupus. Jadi, kami mengubah pendekatan kami untuk komunikasi dan organisasi; kami terus mewujudkan unit asas di tempat kerja, di mana ia ialah kerja utama untuk parti kami, tetapi juga mewujudkan unit asas dengan kumpulan kawasan setempat dan bekerja dalam majlis jalanan.”

“Kami sebelum ini menetapkan standard yang tinggi dalam kriteria untuk menjadi ahli parti. Sekarang kami mempunyai tahap keahlian yang berbeza, termasuk kalangan antara mereka yang rapat dengan parti. Mereka membayar €20 setahun secara online dan mereka tidak diorganisasikan secara penuh (kami memanggil mereka sebagai “ahli pemberi-nasihat” yang tidak boleh mengundi dalam kongres mengikut perlembagaan parti). Memperkenalkan ini adalah satu langkah yang besar untuk parti kami yang diambil pada tahun 2008; sebelum ini anda perlu merupakan seorang Marxis yang berkesedaran untuk menyertai parti, sekarang kami mempunyai lapisan lebih luas yang kami mendidik melalui tindakan mereka secara bersama-sama.”

20190601 - B9718621208Z.1_20190218114232_000+GDOD0HPO0.1-0
Raoul Hedebouw

Salah seorang “bintang politik” untuk Parti Pekerja Belgium, Raoul Hedebouw, yang digelar sebagai “Lionel Messi untuk Parti Pekerja Belgium”, dipilih menjadi Ahli Parlimen Persekutuan Belgium pada tahun 2014, menjadi antara 2 orang pertama daripada Parti Pekerja Belgium yang masuk ke Parlimen.

Raoul Hedebouw menyertai Parti Pekerja Belgium ketika beliau masih berumur belasan dan terlibat dalam mengorganisasi protes pelajar sekolah menengah. Beliau menjadi jurucakap nasional Parti Pekerja Belgium mulai tahun 2008 dalam usaha pembaharuan parti. Hedebouw dipilih menjadi Ahli Majlis Bandar Liège pada tahun 2012 sebelum dipilih menjadi Ahli Parlimen Persekutuan pada tahun 2014. Hedebouw membesar dalam keluarga Flemish yang bercakap Bahasa Belanda di bandar Liège di Wilayah Wallonia yang berbahasa Perancis, menjadikannya salah seorang daripada sebilangan kecil ahli politik dalam negara yang dipecahkan mengikut bahasa ini yang dapat menampilkan diri secara baik dalam kedua-dua siaran TV berbahasa Perancis dan Belanda. Ini telah memberi kelebihan kepada Parti Pekerja Belgium untuk menonjolkan diri sebagai sebuah parti yang merentasi perbezaan bahasa dalam negara Belgium.

20190601- pridephotosalimhellalet.jpg

Penampilan sebagai alternatif yang boleh dipercayai

Dalam keadaan politik yang semakin tepu dengan pengaruh fahaman populis berhaluan kanan yang mempermainkan sentimen perkauman dan xenofobia, pencapaian Parti Pekerja Belgium yang memberangsangkan bukannya sesuatu yang muncul secara tiba-tiba, malah ia adalah hasil usaha kerja-kerja organisasi yang berterusan dengan penuh dengan kesungguhan.

Daripada 12 orang Ahli Parlimen Parti Pekerja Belgium yang dipilih ke dalam Dewan Perwakilan Belgium, terdapatnya seorang bekas pekerja pembersihan kapal terbang (Maria Vindevoghel), seorang bekas pemandu bas (Youssef Handichi) dan seorang bekas pekerja yang diupah oleh Caterpillar (Roberto D’Amico), di mana mereka mempunyai latar belakang penglibatan dalam kesatuan sekerja.

Ramai di kalangan calon yang ditampilkan oleh Parti Pekerja Belgium ialah pekerja dan aktivis kesatuan sekerja. Walaupun Parti Pekerja Belgium ialah parti untuk pekerja, tetapi terdapat juga peniaga kecil menyokongnya, kerana pemimpin politik liberal yang sering mengatakan bahawa mereka berpihak pada perniagaan kecil dan sederhana sebenarnya hanya membantu syarikat multinasional untuk mengelak cukai.

Hasil daripada kerja-kerja akar umbi yang dijalankan secara berterusan di kawasan kelas pekerja, Parti Pekerja Belgium juga menarik ramai anak muda daripada gerakan iklim untuk menyertainya. Dalam pilihanraya tempatan di Belgium pada tahun 2018, usaha Parti Pekerja Belgium telah membuahkan hasil dengan pencapaian yang menggalakkan.

Marc Botenga, Ahli Parlimen Eropah yang pertama untuk Parti Pekerja Belgium, berkata, “Kami menegaskan bahawa kami bukan seperti parti-parti yang lain sementara juga menawarkan penyelesaian yang konkrit.”

“Kami percaya pada kerja akar umbi,” ulas Marc Botenga, “Kami tidak sabar untuk perubahan tetapi juga membinanya secara sabar, mengiktiraf dan mengatakan bahawa undi kepada Parti Pekerja Belgium hanya satu langkah dalam membina sebuah gerakan balas (yang mencabar sistem kapitalis).”

Pencapaian yang bersejarah dan memberangsangkan untuk Parti Pekerja Belgium, telah memberi satu nafas baru kepada gerakan kiri di Eropah dalam menghadapi ancaman pelampau kanan dan mencabar kekuasaan sistem kapitalis.

One thought on “Pilihanraya Belgium: Parti Pekerja bangkit sebagai alternatif nyata

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *